Saturday, November 11, 2006

Jumaat Tadi

Jumaat tadi macam-macam berlaku. Dari solat Jumaat, saya terlanjur menghantar jenazah ke kuburan (maqbarah mandarah), cuma kelakarnya bila saya tersalah jawab pada seorang Arabiy yang bertanya - di mana mayat dikebumikan. Nak tunjuk hala Mandarah, tertunjuk hala Asofirah. Oleh kerana terlambat sampai ketika azan baru dikumandangkan, saya memilih solat di luar beralaskan tikar, tetapi rasa tersilap sebab lupa pakai baju sejuk, sangka tak sejuk mana, padahal! Arab pun pakai baju dua tiga lapis dan berbaju sejuk, saya berlapis sehelai saja.

Oh ya. Saya solat di masjid yang berhampiran dauran, sebab khutbahnya sedap, bahasa khatib bersih dan kaya dengan uslub, tetapi kurang bernasib baik kerana saya solat di luar, maka pembesar suara bergema dan akhirnya, susah mahu menangkap bunyi kalimah dan semuanya kedengaran kabur plus masalah pendengaran.

Asalnya, mahu beli kibdah sebaik saja pulang dari solat, saya tangguhkan lepas hantar ke dorih. Itulah. Dari maqbarah saya menuju ke mahattah Mandarah, mahu angkat kibdah, tetapi tersangkut di persimpangan jalan antara jalan ke Abu Qir, jalan ke kuliah, jalan ke Asofirah, betul-betul berhadapan kubri, kerana ada muzoharat. Inilah kali pertama ikut sama muzoharat alias tunjuk perasaan aka demonstrasi tentang isu pencerobohan 2 setan dunia; Israel dan Amerika terhadap Palestin.

Tersangkut sekitar 15 hingga 30 minit, saya sendiri kurang pasti, memerhatikan lepas satu satu orang naik ke pentas dan menyampaikan ucapan, kemudian berpuluh-puluh kanak-kanak membawa sepanduk kecil dan mengikat bermacam-macam bantahan di kepala. Ada juga yang naik ke atas kubri membentangkan sepanduk; keretapi melintas berkali-kali; di persimpangan tiga jalan itu juga kenderaan lalu, sesekali menghadang pandangan mata saya. Saya kurang pasti siapa yang menganjurkan, barangkali IM, sebab mereka menang pilihanraya lepas, tetapi yang pastinya sekurang-kurangnya ada 500 hingga 1000 orang berkumpul barangkali juga lebih. Bila jam sudah hampir ke jam dua, saya beransur ke kedai membeli keperluan sebelum pulang ke rumah.

Jumaat tadi juga, saya baru perasan harga telur sudah turun. Dari harga setinggi 80 sen dan kalau murah-murah pun dapat 70 sen menurun hingga ke paras 40 hingga 50 sen sebiji. Daging ayam pun mulai murah. Kemudian, bila sampai rumah, datang mesej dari Lokman via GT katanya kawan saya sudah hampir mahu tiba meminta saya menyambutnya di mahattah berhampiran.

Jumaat tadi, bila berkeliaran berjam lamanya di luar dengan sehelai lapis, saya rasa kantuk amat dan tidur di hujung hari bila malam sudah hampir menetas. Lepas solat maghrib pun sambung tidur juga.

Hm. Bila dah lama tak menulis bahasa sudah agak kaku.

1 comment:

Anonymous said...

ada org kata, lbh tepat muzoharat hari tu kerana saddam di hukum bunuh?