Manusia ada masa tumbang dan ada masa bangkit. Tak semestinya akan kekal statik dan teguh; ada waktunya goyah dan kau boleh lihat, kekukuhan itu kadangkala agam dan boleh jadi tiba-tiba juga rapuh menanti tumbang.
Oleh kerana ada masanya manusia itu tumbang, maka mereka perlu masa untuk bangkit, bahkan memerlukan engkau supaya sabar dan tidak agresif apatah lagi terburu-buru; fahami, jiwai, sedari; kalau kau faham erti tumbang bangkit dan jatuh naik dengan hatimu, engkau akan lebih lembut menggauli manusia.
Tumbang itu sudah sakit, jangan kau tambah kesakitan itu dengan sikap terburu-burumu itu, tetapi cuba neutralkan agresif sifat itu menjadi tenaga untuk bersabar dan berprasangka baik juga berperilaku sopan. Jatuh itu kalau tinggi merisikokan kecederaan; hatinya, jiwanya, fikirannya, kekuatannya, kepercayaannya; jangan kau curah ketidaksabaranmu hingga mendalamkan lagi lukanya, membesarkan parutnya; kau tidak dapat apa-apa.
Oleh kerana ada masa tumbang dan jatuh, perlukan juga pada masa untuk bangkit dan berdiri teguh; kau manusia wajar dan timbang rasa, renungkanlah tumbang bangkit manusia dengan keazaman dan kekukuhan di jiwa; dalam hal ini ada pengajaran dan merenungnya ada hikmah.
Tumbang dan bangkit semula. Bila tiba masa dan ketikanya. Akan bangkit semula.