Pendedahan Penulisan Kreatif di Arma semalam bagi saya kurang berkesan, atau sebetulnya saya sendiri tidak menguasai hadirin sepenuhnya, atau saya sebetulnya gementar kerana beberapa situasi yang berbeza, atau saya rasa ragu-ragu mahu memakai nasihat Faiz dan Ellyeen berkenaan pakaian dan penampilan, sehingga ragu-ragu itu sedikit menjejaskan fokus saya. Atau sebetulnya kekuatan saya banyak datang dari kawan-kawan yang biasa menemani, dan keseorangan membuatkan saya sedikit takut.
Saya juga teringatkan pesan Hisyam mengenai peri pentingnya membuatkan sedikit gerak kerja, atau amali menulis praktik dalam pembentangan. Tetapi semasa pembentangan, apa yang paling menggusarkan saya adalah, mereka yang hadir mendengar tanpa sekelumit niat pun mahu mendengar. Atau terpaksa datang, atau terpaksa dengar. Atau sebetulnya, saya merasakan, penyampaian saya harus berbeza apabila mendepani situasi tanggapan pendengar yang berbeza.
Saya pernah ke Shibin, Mansurah, Zaqaziq, Kelantan, Negeri Sembilan; dan kali ini atas jemputan KL, semua itu adalah pengalaman berharga, dan saya menghargainya. Bagi saya, apa yang penting, orang yang mahu akan memilih jalannya, dan orang yang enggan, tanpa perlu dipaksa, akan ke jalan lain. Kita tak perlu menolak, tetapi mereka akan melorongkan diri. Walaubagaimanapun, terima kasih kepada penganjur, dan tahniah kepada yang hadir. Selamat mengenali penulisan kreatif, dan menceburinya.
No comments:
Post a Comment