Dalam beberapa hal, saya merasakan berpendirian tegas dan sedaya upaya bersikap disiplin adalah perlu. Maksud saya, dalam menguruskan tugas. Tapi dalam masa yang sama, saya juga merasa kecewa bila berdepan dengan mereka yang sedikit kurang disiplin, bersikap lengah, kurang ambil berat, bersikap sambil lewa, sekadar lepas batuk di tangga, atau asal jadi sudah, atau mahu lepas tugas.
Kerana itu, saya enggan mahu terlibat dengan kepimpinan jenis ini. Atau sebetulnya, saya kurang percaya, atau saya tak mahu diperalatkan hingga diperah hingga kering, atau saya tak suka melihat sikap-sikap tersebut, atau saya sebetulnya marah. Dan kerana itu saya katakan dengan sedikit keras, saya akan memberi komitmen kepada orang yang komited dengan kerja. Orang yang kerja main-main, mungkin saya pun akan main-main dengan mereka, atau malas ambil peduli, atau enggan berpenat lelah berkerja dengan orang yang tak mahu dengan sungguh-sungguh.
Itulah yang saya kata. Betul, ada kemungkinan kerja boleh siap dengan campur tangan saya. Tapi saya dah serik melihat sikap manusia suka lepas tangan padahal itu tanggungjawab dia. Betul, kerja mungkin boleh siap, tapi apalah ertinya kalau saya seorang buat kerja, atau kalaupun dibantu, orang lain yang seharusnya memegang pundak sikapnya kekal macam itu, tak berubah dan tak sedar. Betul, kerja mungkin boleh langsai, tapi orang yang harus ambil iktibar jadi terlupa ambil iktibar dan bila melihatkan kerja mereka siap, mereka terus rasa lega dan langsung rasa tak bersalah pernah mengabaikan kerja mereka.
Saya tahu, sikap ini agak kasar, tapi sebetulnya saya mahu memberi pengajaran, atau mahu membukakan mata yang pejam, atau mencelikkan akal yang tidur, atau mahu membalas dendam, atau mahu menyatakan betapa sikap mereka itu tidak patut, atau mahu menekankan bahawa saya tak mahu bekerja dengan orang yang buat kerja main-main, atau kalau rasa tak bersalah, anggaplah juga saya tak bersalah sama.
Tapi dunia ini, disiplin adalah agak keras, tapi ia perlu, demi memastikan anda tidak menyia-nyiakan usaha orang bawahan. Mungkin kebutaan kita menilai perkara ini kerana kita tak merasa duduk bawah, tak merasa usaha kita diabaikan dan dibuang begitu saja, tak memahami derita susah payah, hingga lupa untuk memahami nilainya.
No comments:
Post a Comment