Muktamar Sanawi PMRAM kali 75 memberikan beberapa kesimpulan tersendiri kepada diri saya khususnya. Apatah lagi, saya datang muktamar kerana hendak bertanyakan satu soalan yang sudah dihadamkan sekian lama, 2 tahun, tetapi kehendak Tuhan, saya tertanyakan soalan lain, kemudian mood saya hilang.
Saya amat terkesan dengan komen seorang BP kepada saya, dan saya terus terang, saya takutkan firasat orang mukmin. Bukankah firasat orang mukmin itu terang, kerana mereka melihat dengan cahaya Allah? Komen itu merumuskan bahawa kata-kata saya 'bahaya', dan saya tiba-tiba berasa takut kalau ia menjadi benar. Barangkali kerana saya begitu keras dalam menyatakan sesuatu, dan kurang mempertimbangkan hal-hal yang lain. Walaupun niat saya ikhlas.
Barangkali saya harus belajar mengawal cakap, atau patut berhenti bercakap buat sementara waktu. Maksud saya, kepada khalayak seperti muktamar begini. Mempunyakan sudut pandang yang berbeza memang baik untuk mencari kelemahan, tetapi ia boleh jadi membahayakan kalau diambil serius dan dipegang jadi ikutan. Memang saya selalu berada di pihak membangkang, agar sudut-sudut yang selalu terlupakan menjadi suntikan dan peringatan, tetapi untuk memecahbelahkan kesatuan ini, saya enggan.
Saya juga belajar bahawa, beberapa kesimpulan yang saya dapati sejak beberapa ketika dahulu, adalah berpadanan dengan hasil muktamar kali ini. Melihat belakang Ustaz Ahmad Yusuf, kemudian melihat tepi Ustaz Hairul Nizam, dan paling penting, adalah melihat dalam ke luar, luar ke dalam, ada pelbagai makna yang saya faham dari keseluruhan muktamar ini.
Walaubagaimanapun, tahniah kepada semua yang hadir dan melibatkan diri. Muktamar ini memang suatu yang bermakna, tak kira apa tanggapan dan kesimpulan kita.
No comments:
Post a Comment