Saya tak ingat pernah menulis pasal politik, atau kalau ada, anggaplah saya terlupa. Tetapi saya tidak menulis bukan kerana saya tak mahu masuk campur, atau bersikap penakut untuk menyatakan apa yang saya yakini. Mungkin barangkali kerana saya tak terjun sedalam mereka jadi saya mungkin kekurangan informasi, jadi berjaga-jaga itu lebih baik dari tersilap. Atau barangkali saya sudah jemu menghadap keremehan masalah atau isu yang penyelesaiannya adalah mudah, pada saya. Atau mungkin sebab saya rasa saya masih ada tugasan lain yang saya perlu buat.
Politik ada kaitan mengenai pertubuhan, pentadbiran, kuasa. Janganlah berpandangan pendek dan cetek. Politik bukan saja di dalam negara. Di sini, di tempat saya belajar, dalam pertubuhan yang saya sertai, juga ada politik. Politik macam saya cakap ada kaitan dengan pertubuhan, pentadbiran dan kuasa. Jadi sedikit sebanyak, saya faham juga walaupun mungkin masih jauh dari faham yang sempurna, mengenai politik.
Dan bagi saya, walaupun ada yang mengata Ezam 'jilat' semula, kerana kemasukannya ke dalam *MNO, saya rasa saya boleh faham fikirannya. Walaupun saya tidak pasti sama ada dia boleh berjaya atau akan gagal dalam tujuannya di akhir nanti, itu bagi saya kurang penting, kerana di mata dia menurut kefahaman saya, adalah suatu tujuan yang dia buru. Dan dari luar, zahirnya, dia keluar masuk parti itu ini.
Saya tidak bermaksud membela dia, kalau itu yang kalian faham. Neraca yang dia gunakan untuk membuat keputusan, dan neraca yang saya gunakan untuk menilai dia, saya kira adalah sama. Iaitu menilai berdasarkan hasil. Hasillah yang dia buru. Dan dia menilai, usaha yang akan dilakukan itu akan berhasil sekiranya dia menyertai *MNO. Dan saya tidak pasti, adakah benar dia boleh berhasil atau tidak, itu akan bergantung kepada banyak perkara.
Barangkali, dalam peratusan yang besar, dia menilai dia boleh berjaya, atau berpeluang berjaya. Atau sekurang-kurangya dia merasakan, kekal di titik yang lama kurang berperatus untuk berjaya. Atau boleh menghalang dia dari berjaya. Dari kaca mata pembangkang barangkali dia seorang yang tidak tetap pendirian, atau mudah berubah, atau memburu manfaat, atau sebagainya. Itu kaca mata parti. Ingat pesan saya, cuba memahami dia dari kaca mata 'hasil'.
Mereka yang menilai sesuatu berdasarkan hasil akan menyusun langkah-langkah 'perlu dan mesti' dilakukan, untuk supaya apa yang diburunya 'berhasil'. Di mata mereka, kerja dan usaha adalah perkara pertama yang mesti dilakukan, bukan kata-kata semata-mata. Dan kebiasaannya, mereka mungkin bersikap tutup mata kepada perkara yang tidak berkaitan dengan usaha dan kerja mereka, kerana apa gunanya ambil peduli dengan sesuatu yang tidak berkaitan dengan penghasilan target dan matlamat.
Saya tak mempertahankan dia kerana merasa dia betul atau sebagainya. Saya cuma katakan, saya rasakan saya boleh faham apa fikirannya, kerana dalam beberapa gerak kerja saya juga, saya menjadikan hasil sebagai target pertama saya. Saya buang keluar perkara yang tidak berkaitan dengan penghasilan kerja dan target. Tumpukan perhatian kepada pelaksanaan, dan buang tepi cakap-cakap kosong, atau bela diri yang tak berkaitan. Dan saya tak kata saya sentiasa betul dan tidak ada salah. Mungkin saya dah penat dengan cakap tong kosong, atau bak masal Arab, asma-'u ja'-ja-'atan wa la aro thihnan.
Mereka yang menjadikan hasil sebagai target kerja dan usaha boleh tersilap langkah pada satu titik, kalau dia lupa diri. Iaitu menjadikan matlamat itu menghalalkan cara. Dalam erti kata yang lebih detil, apabila dia memilih untuk melakukan sesuatu yang salah, demi kerana hendak merealisasikan suatu perkara yang betul. Soalnya, adakah masuk semula ke dalam *MNO suatu yang salah, dan adakah ia termasuk dalam matlamat yang menghalalkan cara?
Saya kira agak awal untuk mengatakan ia salah. Walaupun konsep 'mencuci dari dalam' seperti kes bekas TPM kita satu masa dulu sering memberikan gambaran bahawa usaha ini tidak akan berjaya, saya kira kita perlu menilai satu perbezaan keadaan ini dengan keadaan yang dulu. Iaitu kepala negara kita, Perdana Menteri, maksud saya. Perdana Menteri dalam kes bekas TPM bukanlah orang yang sama dengan Perdana Menteri dalam hal ini. Oleh itu, saya kira, sedikit awal untuk kita menghukum, usaha mencuci ini pasti gagal.
Bagi saya, dalam beberapa hal, Perdana Menteri kita sekarang lebih baik daripada bekas Perdana Menteri yang dulu. Walaupun ya, mungkin (barangkali) masih ada juga cacat dan kurang sempurna atau barangkali salah dan tutup mata. Tetapi kalau membandingkan antara keduanya, yang sekarang ini lebih baik bagi saya daripada Perdana Menteri yang dulu. Kalau meminjam kalam Ezam sendiri, ketika ditemuramah TV* setelah menyerahkan borang kemasukannya ke dalam *MNO berkata, wujudnya reform dan pro reform dalam kerajaan sekarang ini, yang memungkinkan kejayaan dalam usahanya membanteras rasuah.
Kerana Ezam pada pandangan saya merasakan peluang untuk reformasi dalam kerajaan boleh berlaku, dan matlamatnya, iaitu membanteras rasuah boleh berjaya, maka kerana itu dia memasuki *MNO. Tentulah, tujuan utamanya bukan supaya parti lamanya menang, atau membantu pembangkang mengambil alih kerajaan, dan bukan juga memperkukuh kerajaan sedia ada, tetapi rasuah, kalau memetik kalam dia sendiri.
Soal adakah perubahan dalam kerajaan boleh berlaku, dan adakah kerajaan memungkinkan ini berlaku, akan banyak berkait dengan keputusan Perdana Menteri. Dengan sangka baik saya terhadap beliau, sejak belanjawan negara yang lepas dalam beberapa perkara terutama mempercumakan pendidikan, sokongan yang kuat terhadap pelajaran, modal insan, menambah kakitangan berpendidikan agama dalam jawatan perguruan sebagai satu usaha menjernihkan sosial generasi muda, walaupun ya, masih terlalu banyak kekurangan dan kesilapan yang mesti diperbaiki, saya berharap perubahan ini benar-benar berlaku dalam kerajaan, dan rasuah dihapuskan.
Ops, dalam sepanjang tulisan ini, saya tidak menyatakan saya menjadi penyokong kerajaan atau pembangkang. Kalau anda penyokong kuat parti kerajaan, dan anda ikhlas, tentunya anda mahukan rasuah ini dihapuskan. Dan kalaupun anda penyokong pembangkang yang mahu mengambil alih kerajaan demi mewujudkan kerajaan yang lebih baik, anda juga akan mahu rasuah ini dihapuskan. Kalau Ezam benar-benar melakukannya, dan kalau benar ia berjaya, tiada antara kita, baik penyokong kerajaan atau penyokong pembangkang, yang akan rugi.
Dan dalam sangka baik saya kepada Ezam, dengan tidak mengetahui isi hati dan tujuannya, saya berharap tujuannya benar, caranya benar, dan berhasil.
No comments:
Post a Comment