Sunday, September 28, 2008

Ramadan Kali Ini

Ada beberapa macam perkara yang saya cuba ketika Ramadan ini, walaupun ia usaha-usaha yang kecil, dan tidak sebanding mana. Namun bila mengenangkan betapa banyak juga cacat dan lompong yang kedapatan pada puasa dan Ramadan saya, saya jadi malu pada diri sendiri. Saya berdoa kepada Tuhan untuk mengampunkan dosa saya, memperbaiki akhlak saya, dan menerima amal kebaikan saya walau sekecil mana pun.

Satu hakikat yang kerap saya terfikirkan sejak kecil dulu adalah mengenai salah satu tujuan puasa yang selalu diulang-ulang ke pendengaran – adalah untuk menjadikan diri kita merasa susah payah perit lapar dahaga fakir miskin. Tetapi lama kelamaan, saya dapati sebenarnya kita tidak melalui pengalaman kelaparan, kedahagaan, keperitan mereka dalam nisbah yang sebenar. Kita cuma menderitai barangkali satu persepuluh, atau mungkin kurang lagi dari itu.

Imsak dan penahanan diri kita dari makan dan minum adalah penahanan bertempoh, dengan di hujungnya di waktu berbuka kita sudah membayangkan makanan, minuman yang bakal kita jamah. Tetapi kesusahan orang fakir adalah sampai ke tahap mereka sendiri tidak boleh memastikan adalah hari mereka akan berakhir dengan sepinggan nasi, atau sepinggan angin. Derita mereka sudah melali hingga mereka bukan menahan lapar untuk tempoh sehari, barangkali dua hari berturut. Atau barangkali lebih lagi.

Atau sebetulnya Ramadan bagi mereka yang miskin adalah syurga kerana kedermawanan orang, hingga mereka dapat makan sehari sekali di hujung hari ketika berbuka, tatkala kita menanggapi Ramadan adalah perjuangan dan kelaparan yang menguji kesabaran. Kerana itu saya kerap terfikir, bagaimanakah rasanya menahan lapar dua hari berturut, atau bagaimanakah deritanya kaum fakir itu bila mendepani hari tanpa kepastian sepinggan nasi di hujung harinya?

Kemudian, mengenai kelebihan memberi makan dan minum kepada orang yang berpuasa, adalah antara perkara yang patut dicontohi dan direbut. Seperti menyediakan air untuk mereka minum, atau mengajak kawan-kawan berbuka di rumah kita, atau memberikan makanan pengisi perut sekadar yang mampu, walau sedikit. Tidaklah perlu meragukan kebijaksanaan Tuhan untuk mengganjari pahala kepada hambanya.

Saya teringat kalam seorang mufti yang memperbodohkan kita dan mempersendakan Tuhan apabila mengatakan; kalaulah harta si kaya itu dapat menyelamatkannya dengan pengaruh duit itu menggalakkan orang menghadiahi amalan, maka pastilah semua orang kaya itu di dalam syurga dan semua orang miskin di dalam neraka. Apakah Tuhan itu terlalu jahil sehingga tidak tahu mengganjari hamba-Nya, sedangkan Dia Maha Mengetahui betapa banyak rezeki yang Dia agihkan kepada setiap makhluk. Apakah Tuhan itu terlalu bodoh di pandangannya sehingga tidak mampu mengganjari makhluk dengan adil, sesuai dengan tahap kemampuan mereka yang berbeza?

Apakah terlalu pelik sekiranya kita katakan, sepuluh sen dari seorang miskin yang dia sedekahkan barangkali lebih tinggi nilainya dari sepuluh ribu ringgit milik seorang kaya yang dia sedekahkan? Oh, demi kebesaran Tuhan yang Maha Bijaksana, saya tidak redha persendaan terhadap kebijaksanaan Tuhan ini dituturkan. Apakah Tuhan tidak pernah menyatakan bahawa setiap kebaikan itu dibalas sepuluh, dan boleh diganda sehingga 700 ratus bahkan lebih lagi, mengikut iradah dan kehendak-Nya?

Kalaupun si miskin dan si kaya yang bersedekah itu sama saja tahap keikhlasannya sekalipun, adakah patut kita meragukan kemampuan Tuhan untuk memberikan balasan pahala yang sama adil kepada kedua-duanya, dengan nilaian adil yang tidak boleh kita bayangkan kerana kecetekan ilmu kita yang tidak dapat menandingi ketinggian ilmu Tuhan yang Maha Mengetahui? Tidak kira apa hujah kita, panjang mana alasan kita, tapi bukankah Tuhan itu Maha Bijaksana memberi keputusan?

Juga, dalam Ramadan ini saya lalui dengan tiga helai baju dan dua helai seluar, serta beberapa buah kitab, manakala baki baju dan yang lainnya saya simpan di rumah kawan. Saya belum terlalu zuhud sehingga membasuh baju di badan, dan menjemurnya di badan. Saya masih dapat bertukar baju walau dapat kuantiti yang sedikit. Mungkin Ramadan kali ini di musim panas, jadi tiada masalah kalau terpaksa membuka baju seketika untuk dibasuh.

Di akhir tulisan, mari pohonkan keampunan bagi diri dan kepada ibu bapa, kepada anak-anak, kepada kaum keluarga, kepada sahabat handai, kepada semua yang mempunyaikan kasih sayang kepada kita, kepada jiran-jiran kita, kepada kawan-kawan kita, kepada seluruh muslimin; perkenankanlah Tuhan. Kerana ibu bapa itu bersambung hubung kaitnya kepada kita, anak itu bersambung kaitnya dengan kita, kaum keluarga juga bersambung kait dengan kita; orang-orang yang mengasihi kita, mendampingi kita juga kawan-kawan serta jiran juga bersambung kait dengan kita dalam muamalah dan sehari-hari, juga kaum muslimin yang kita punya tanggungjawab dan hak kepada mereka dan mereka juga sama kepada kita; seluruhnya, semuanya, bersambung dan berkait, lalu apakah kalau Tuhan mahu memberikan hukum kepada mereka, maka kita boleh berasa aman dan terlepas diri?

Maka pohonkanlah keselamatan kepada semua, agar rahmat yang turun kepada mereka juga dapat melimpah kepada kita sedikit atau banyak, lalu kalau semua orang yang kita berkaitan dan bersambung itu dicurahi rahmat dan keampunan, maka kita dikelilingi dari setiap sudut orang-orang yang terampun dan terahmat. Kerana itu, adakah pelik untuk mengatakan, mendoakan orang lain turut bererti mendoakan diri?

No comments: