Majalah: An-Nabaa' - Keris
Edisi: 69 dan 70
Kolum: Temuramah
Genre: Kewartawanan
Terbitan: Julai dan September 2008 [KPKM]
KERIS (K): Assalamualaikum. Buat pembuka bicara, boleh saudara perkenalkan latar belakang diri saudara secara ringkas?
Wa-‘alaikumu s-salam. Bismillah. Ismi Mohd Zaki M.Noor, kelahiran Johor. Anak kedua daripada lapan orang adik beradik. Menuntut di Universiti Al-Azhar, Kuliah Lughah Arabiah, Syu'bah Ammah, Kaherah. Mendapat pendidikan awal di peringkat menengah di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor sehingga tingkatan 5, sebelum ke Sekolah Menengah Ugama Arab Khairiah, Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan, untuk mengambil STU, seterusnya melanjutkan pelajaran ke Mesir menggunakan STAM di Maahad Johor pada tahun 2003.
Mempunyai pelbagai minat dan kecenderungan, dan di antaranya menulis, selain berfikir, mengkaji, dan lain-lain. Memiliki pengalaman dalam penulisan dalam beberapa bidang seperti kewartawanan, penulisan artikel dan suara kampus, juga penulisan cerpen dan sajak. Telah menghasilkan beberapa buah cerpen dan sajak, dan sebahagian kecilnya sudah pernah terbitnya di surat khabar dan majalah. Penglibatan dalam penulisan artikel dalam beberapa medan seperti SUKEJ, SEGA, dan beberapa Buletin seperti Warta, Al-Bashirah dan Buletin Keris. Mempunyai kecenderungan dalam penulisan karya sastera sekalipun bermula dengan penulisan artikel. Pernah terlibat dalam pembikinan dua antologi, iaitu antologi Khali Kota Fustat dan Antologi CDRK.
Saya mengucapkan terima kasih kerana sudi menemuramah saya, walaupun saya kira masih ramai lagi yang lebih layak ditemuramah daripada saya. Saya cuba memberi respon terbaik yang saya mampu sedapat-dapatnya.
K: Sudah berapa lama agaknya saudara bergiat dalam bidang penulisan, dan dari mana pula datangnya minat untuk menulis?
Kalau bercerita tentang asal, saya menulis untuk membantu Suara Kampus Edisi Johor (SUKEJ). Itulah sebab pertama dan mula-mula. Kerana itu saya merasakan, sesiapa yang ingin menjadi penulis haruslah berasa bersungguh untuk menaikkan suara kampus negeri masing-masing. Tetapi, ia akan banyak bergantung pula kepada persatuan yang menguruskan suara kampus. Keazaman kepimpinan dan kesungguhan mereka sebenarnya banyak memberi kesan kepada kewujudan penulis-penulis di Mesir; itu pandangan peribadi saya.
Kerana itu saya sering merasakan, medan penulisan itu adalah antara tapak-tapak pertama yang sangat penting, lebih-lebih lagi kepada orang yang seperti saya, yang pada asalnya tidak terfikir langsung mahu menjadi penulis. Kecuali mereka yang memang jiwanya menulis, barangkali sejak sebelum disogokkan medan ini, mereka sudah mula menulis. Menulis bagi mereka barangkali kerana itulah fitrah. Kembali, kerana keinginan saya membantu BKPJM dalam menerbitkan suara kampus, dan kerana azam senior-senior saya ketika itu telah memupuk pula sedikit demi sedikit rasa sungguh-sungguh saya dalam penulisan ini.
Sudah berapa lama saya bergiat dalam penulisan? Seingat saya, saya pernah cuba-cuba mengarang sajak ketika di sekolah rendah dulu. Itu sekali, dan cuma satu. Ketika di menengah, saya ada mengarang beberapa sajak juga, sekitar 10 barangkali. Tetapi lebih tepat, saya mula menulis ketika di Mesir. Saya diberi peluang untuk terlibat dalam banyak medan, di mana semua medan ini serius dalam kerja. Seperti Warta ketika itu saya menjadi wartawan, kemudian saya terlibat dalam SEGA tahun 2004 kalau saya tidak silap, dengan kebanyakan wakil daripada semua BKAN dan DPM adalah tenaga baru dan tiada pengalaman. Kemudian terlibat dengan beberapa medan lain, dan yang paling lama ada SUKEJ, selama beberapa ketika.
Betul. Kesungguhan anda untuk menulis itu sangat penting, tetapi kewujudan medan juga sangat penting. Saya merasakan dalam peratusan yang sangat besar, andai medan dan ruang menulis ini diabaikan oleh kepimpinan dan usaha-usaha menggalakkannya tidak ada, tidak mustahil kewujudan penulis akan diancam kepupusan dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Dan kerana itu saya merasakan, sikap sungguh-sungguh bukan saja perlu ada pada penulis, tetapi perlu ada dalam diri kepimpinan yang mengawal program dan medan penulisan dalam ruang lingkup tanggungjawab masing-masing.
Kalau berbicara minat menulis, sebetulnya ia agak subjektif. Minat itu perasaan, dan perasaan itu di dalam hati. Saya suka katakan bahawa, torik ta’-bir (medium penyampaian) kita adalah dua; iaitu suara dan tulisan. Saya selalu mendapati bahawa ruang dan peluang untuk bersuara bagi ahli adalah sangat terhad. Kalau anda ingin banyak peluang bersuara, anda perlu bergelar kepimpinan terlebih dahulu. Kerana itu saya secara tidak langsung membuat kesimpulan umum, bahawa bersuara adalah hak milik kepimpinan.
Dan pilihan yang ada untuk ahli biasa seperti saya untuk menyuarakan pendapat kepada umum manusia, adalah dengan menulis. Dari situ, mungkin boleh dikatakan sebagai sebab atau pendorong minat saya menulis. Di awal-awal penulisan saya, saya banyak menulis artikel pendapat, dan barangkali sebab dan puncanya adalah kerana hal ini. Kerana saya sudah jenuh menunggu peluang untuk dapat bercakap dan meluahkan idea saya, maka saya menulis. Itu mungkin boleh dikatakan antara minat-minat pertama ketika awal-awal menulis dulu.
Kerana itu, saya sendiri tidak pasti, adakah saya menulis kerana kesedaran saya mengenai kepentingan penulisan? Ia mungkin lebih kepada keinginan dalaman saya yang sedikit memberontak melihat beberapa perkara yang saya tidak setuju, mengkajinya, dan memberikan penilaian bahkan penyelesaian kalau ada. Tetapi setiap orang tidak sama. Ada yang memang benar-benar ikhlas menulis kerana minat dan kesedaran dalam diri dan kesedaran tentang kepentingannya. Ini adalah sebaik-baiknya. Dan segolongan yang lain, ada yang menulis demi wang, harta, kenamaan, kemasyhuran, dan lain-lain lagi.
K: Jadi boleh juga dikatakan menulis, bagi saudara, bisa dijadikan satu profesion seumur hidup?
Bagi saya, ya. Ia boleh menjadi profesion seumur hidup. Tetapi sebelum ia mampu menjadi profesion seumur hidup, penulis tersebut perlu memahami hakikat dirinya - mengapa ia menulis? Kalau ia menjadikan penulisan sebagai sumber rezeki dan dia irtizak dari situ, maka dia akan menulis untuk hidup. Kalau ia menganggap penulisan adalah untuk mencari kemasyhuran dan kenamaan, ia akan berhenti apabila telah masyhur, atau akan menulis demi mempertahankan kemasyhuran yang dia bina. Kalau ia menulis kerana demi sesuatu matlamat seperti mengubah masyarakat, maka dia tidak akan senang untuk berhenti selagi masyarakat masih kekal dan belum berubah. Kalau dia menulis demi mengubah pemikiran manusia di sekelilingnya, maka dia belum rela berhenti selagi pemikiran ini terus membelenggu manusia. Dan kalau dia memang menulis demi diri sendiri, demi sesuatu yang dia rasakan penting, atau mahu menterjemah seluruh usianya selagi ia hidup kepada tulisan, yang berkemungkinan mampu dipetik generasi akan datang walau entah bila, maka dia akan terus menulis selagi ia masih hidup.
Saya pernah menulis dengan bermacam-macam sebab dan dawaa-'ie. Kadang-kadang tidak dapat lari dari nama, apatah lagi kerana biah mujamalah kita di bumi Mesir itu memang begitu. Tetapi jangan mudah berasa tersilap jalan. Godaan kenamaan itu memang sentiasa ada. Tetapi kalau kita memang bukan memburunya, kita tidak perlu berasa pening dan tidak perlu mengendahkannya. Apa yang penting adalah, adakah kita benar-benar mahu menulis. Saya berasa bangga kerana kesedaran anak-anak Kelantan melalui An-Naba' ini terhadap penulisan dan kepentingannya, sekaligus membayangkan usaha mereka yang tidak padam. Saya yakin, kebangkitan penulis-penulis daripada Kelantan terutamanya akan semakin marak dengan usaha-usaha seperti ini.
Bercakap mengenai profesion seumur hidup, saya lebih suka menganggap penulisan sebagai salah satu kemahiran dalam sekelian banyak kemahiran yang ada di dalam dunia pekerjaan. Bermaksud, bagi saya, memiliki lebih kemahiran bererti memiliki nilai-nilai tambah dalam pekerjaan. Anda mempunyai kemahiran mengajar, kemahiran komputer, kemahiran ICT, kemahiran berbicara, kemahiran menulis dan sekelian banyak kemahiran yang lain lagi, memungkinkan anda mempunyai banyak pilihan kerja. Saya menyedari hal ini beberapa ketika dahulu. Sebagai contoh, anda bekerja di pejabat, dan di waktu luar kerja anda boleh berniaga, boleh menulis, atau boleh berehat begitu saja. Terpulang anda memilihnya.
Bagi saya, kalau anda seorang yang mempunyai idea, atau sekurang-kurangnya membuka mata kepada alam di sekeliling, memerhati masyarakat, atau anda mempunyai suatu matlamat dalam hidup, penulisan adalah antara antara kemahiran yang tak boleh anda abaikan. Kita tidak pernah menafikan kepentingan penulisan dan penulis. Itu hakikat; dan itulah realiti. Kita juga tidak pernah menafikan kehendak jiwa, kehendak akal bahkan kehendak hati untuk menyampaikan sesuatu maksud dalam bentuk penulisan. Tetapi hakikat ini perlu direnung dan diperhatikan, dan akan merujuk kepada diri individu masing-masing.
Bagi saya, cerpenis itu seorang penulis, novelis juga penulis, wartawan juga penulis, penterjemah juga penulis, pengarang kitab dan editor majalah juga seorang penulis; dan kita tak mampu untuk mengangkat dada dan meninggikan hidung sekaligus menafikan kepentingan pihak lain. Saya cukup tidak suka orang yang merasa dirinya lebih, dan menghina yang lain. Siapa boleh merasakan dirinya lebih baik dari wartawan yang mencatat perihal dan kejadian dunia hari-hari? Bukankah sebahagian sejarah akan hilang tanpa diketahui kalau tak dicatat oleh wartawan ini? Dan sejarah adalah pelajaran yang penting bagi manusia yang menilai diri.
Begitu juga dengan cerpenis dan novelis. Siapa berani merasakan golongan ini tidak berguna sedangkan mereka antara yang mempunyai kadar pembaca tertinggi? Siapa boleh menafikan kebaikan yang boleh mereka sampaikan kalau betul caranya, kepada sebegitu besar jumlah pembaca? Kalau demikianlah hakikatnya, jalankanlah kerja masing-masing berdasarkan kecenderungan masing-masing, dan ya, lakukanlah dengan betul dan bermanfaat. Berhentilah kerja menyerang orang, dan memandang rendah pihak yang lain.
K: Kita digembar-gemburkan dengan kebangkitan penulis muda tanahair yang muncul dari kelompok ilmuwan dan agamawan dari Timur Tengah. Bagaimana persepsi saudara terhadap ‘kebangkitan’ ini?
Saya sendiri kurang pasti mengenai hakikat kebangkitan ini. Mungkin kebangkitan itu mempunyai beberapa makna. Mungkin ia merujuk kepada mereka yang telah bergelar penulis, dan itu kita dapat lihat dalam peribadi Amiza, Ubaidillah, Nazmi, Zaid Akhtar dan beberapa orang lain. Mereka ini memang bukti hidup yang bangkit. Atau mungkin kebangkitan itu merujuk kepada kemunculan beberapa karya yang dihantar dari Timur Tengah, yang sebelum ini tidak wujud, atau tidak banyak. Kalau itu maksud mereka dengan kebangkitan, maka itu memang ada berlaku. Atau ketiga, mungkin ia bermaksudkan kemunculan penulis-penulis baru, kita-kita ini, yang masih lagi belajar di sini dan mula menulis.
Kalau ia adalah yang ketiga, bukan pengiktirafan yang penting bagi saya. Saya membakulsampahkan saja pengiktirafan, kalau usaha tidak ada. Kalau mahukan penghormatan, lakukanlah dengan sungguh-sungguh dan capailah dengan usaha yang benar-benar. Bagi saya, pengiktirafan tanpa hak adalah memalukan, dan patut ditolak. Jangan menagih pengiktirafan kalau kita tidak layak. Kita patut beralih kepada usaha dan memperbaiki diri, memperbanyak hasil, dan meningkatkan kualiti. Apabila ini terjadi, kepuasan sebenar adalah lebih membanggakan daripada semua pengiktirafan ini.
Kerana itu, bukan kenamaan yang kita kejar, tetapi matlamat. Bahkan kalaupun usaha kita benar-benar dan sungguh-sungguh, ia tetap adalah kejayaan walaupun tanpa pengiktirafan pihak-pihak tertentu tersebut. Soalnya, apa usaha yang telah kita lakukan selama ini? Saya dapat lihat beberapa suara kampus mula bangkit, dan berharap ia berterusan. Saya dapat lihat kesungguhan beberapa BKAN yang wakilnya datang bertanyakan pendapat, dan saya puji kesungguhan mereka. Mereka inilah yang saya kira layak untuk kita pakaikan pengiktirafan itu.
Namun saya masih kecewa dengan pihak-pihak tertentu. Mereka kelihatan sedikit tidak acuh terhadap perkara ini. Mereka sudah kehilangan kesungguhan, hingga untuk melihat satu hasil kerja juga sangat susah. Kita tidak mahu menjadi pahat yang menunggu diketuk. Tetapi saya berharap hal ini boleh berubah. Itu harapan saya. Saya percaya sikap tidak acuh dan lepas tangan ini bahaya, dan mereka juga sedar ketidakelokannya. Kita masih punya masa sebelum digelar sudah terlambat.
K: Baik, jika seorang yang mahu menjadi penulis, mahu menulis sesuatu yang baik, apakah yang mula-mula perlu dilakukan, supaya kerjanya tidak akan berhenti separa jalan seperti kata orang ‘hangat-hangat tahi ayam’?
Saya susah hendak menjawab persoalan hangat-hangat tahi ayam ini. Kita tidak mengerti kadang-kadang mengapa mereka berhenti separuh jalan. Kalau mereka ditekan hingga terpaksa melepaskan impian dan cita-cita, seperti anak dara dipaksa kawin dan terpaksa melepaskan cintanya dot dot dot, maka kita tak akan mengatakan dia hangat-hangat tahi ayam dalam cinta dan sebagainya. Mungkin dia perlukan masa, sebelum dia boleh menulis semula. Kerana itu, sebab-sebab ini perlulah dikaji, dan dicarikan penyelesaiannya buat pedoman penulis-penulis akan datang.
Ada beberapa sebab yang lazim dalam kes seperti ini. Seperti terlalu sibuk hingga penulisan terbantut. Atau seperti tekanan keluarga yang mahukan kecemerlangan peperiksaan dengan arahan mengurangkan kerja-kerja sampingan seperti kepimpinan, aktiviti sukan dan rehlah, termasuk sama, aktiviti penulisan. Permasalahan seperti ini sebenarnya adalah salah faham. Kesibukan yang menghalang penulisan boleh diatasi dengan mengatur waktu. Kalau mengatur waktu gagal, banyak perkara boleh gagal kerananya. Salah faham keluarga pula adalah kebimbangan dan tanda ambil berat. Jadi, ia perlu ditafsir semula sebagai tanda kasih dan sayang, bukan sekat dan halang.
Kerana itu saya suka mengingatkan kepada semua penulis, dan calon penulis, untuk tidak mengabaikan pelajaran anda. Kerana mengabaikan pelajaran akan menimbulkan fitnah kepada dunia penulisan itu sendiri. Yang menerima nasib ini bukan saja penulis dan penulisan, bahkan kepimpinan yang mengabaikan pelajaran juga akan menimbulkan fitnah yang sama kepada dunia kepimpinan. Kita golongan intelek, atau sedang ke arah itu, bertindaklah dalam keadaan memenuhi tuntutan diri, dan tidak mengabaikan yang lain.
Sesetengah mereka pula terbantut apabila diajarkan nilaian kualiti dan tanggungjawab penulisan. Kadang-kadang saya berasa bersalah apabila ini terjadi. Adakah saya telah memusnahkan keinginan anda untuk menulis; kerana saya menerangkan nilaian tanggungjawab dan kadaran kualiti ini? Sebagai tukang kata, kita sebaris dengan tukang kayu, atau tukang besi. Kemahiran menulis sama seperti kemahiran mengukir. Kita semua memburu kualiti, dan kita suka kepada kualiti.
Kualiti itu bermakna, indah, menjadi pesona, rebutan, penghargaan, dan mempunyai nilaian yang tinggi. Kerana itu menghasilkannya sukar, dan perlu kepada usaha yang lebih, kesabaran yang tinggi, dan penelitian yang dalam. Memahami kualiti bererti anda harus bersikap ingin kepadanya, bukan lari daripadanya. Kajilah kelemahan diri, dari baris ke baris, ayat ke ayat, perenggan ke perenggan, muka ke muka, dan perbaiki. Jangan ulangi kelemahan yang sama, bermula dari baris ke baris, hinggalah karya itu siap. Cuba wujudkan nilai dan kualiti itu dari masa ke semasa, saya percaya ia perlukan masa dan latihan.
Untuk menjadi penulis kata Kak Nisah, anda perlu banyak membaca. Kerana itulah pemetiknya. That’s the trigger. Dan bagi saya, anda juga harus belajar berfikir dan belajar merasa. Kerana itulah pengasahnya. Kita boleh menemukan idea-idea yang hebat, isi-isi yang padu, tetapi kita akan lebih kagum, lebih terasa, lebih terkesan, apabila menemukan isi-isi yang padu dan agam yang disampaikan dengan rasa yang mengesan. Karya-karya yang agung semuanya memiliki ciri ini. Al-Quran sebagai bukti terunggul bukan saja menyampaikan isi dan hikmat terhebat, tetapi juga menyelitkan keindahan rasa yang mengesankan, mengubahkan pembaca kepada sesuatu yang lain.
Pokoknya, jarang-jarang dalam dunia kita menemukan seorang yang baru dalam suatu bidang, tetapi hasilnya sama seperti seorang yang mahir. Kalau ia wujud, kita gelari mereka abqari. Atau naabighoh. Tetapi manusia-manusia biasa seperti saya perlu bermula daripada hasil tulisan yang buruk, sampel-sampel yang tidak berkualiti, dan saya perlu mengkaji keburukan tulisan diri. Kerana keburukan-keburukan ini harus dikeluarkan, dibuang, dengan memperbanyak latihan, sebelum kita mampu menulis sesuatu yang benar-benar baik. Bacalah, kajilah, rasailah keindahan tulisan orang lain; resapinya, hayatinya, fahaminya, dan contohinya. Itulah pandangan saya selama ini.
Karya-karya yang mantap, tak kira apa genrenya, artikel, cerpen, sajak, novel, kajian, terjemahan; semuanya memerlukan latihan demi mengeluarkan keburukan-keburukan diri. Sebelum keburukan-keburukan ini boleh keluar, kita perlu berlatih dan meneliti diri. Cuba lihatkan sudut-sudut berkualiti dalam karya orang lain, dan terapkan pada diri. Ia mungkin memerlukan kekreatifan diri mencipta keindahan tersendiri. Ini jalan yang jauh, dan orang-orang biasa seperti saya perlu melaluinya peringkat demi peringkat.
K: Saudara pernah menyatakan ‘penulis sama seperti pelukis’. Sedikit penjelasan?
Saya sedikit suka membaca soalan ini. Kalau anda selalu mendengar kalam saya, saya selalu meminjam uslub balaghi ini – tashbih. Atau kalau rajin usaha, boleh menukarkannya kepada isti-‘aaroh. Kerana ia adalah kecantikan kalam. Orang Arab sejak zaman berzaman menyedari keindahan bahasa dan nilainya, adakah wajar kita pula berpihak di sebaliknya?
Pelukis maksud saya, adalah orang yang menyampaikan sesuatu maksud dengan berus dan warna. Penulis juga sama, menyampaikan maksud dengan kata dan ibarat. Apabila menulis, anda perlu memiliki suatu maksud yang hendak disampaikan. Kerana itu pelukis dan penulis bersamaan dalam perkara ini. Kerana itu, memikirkan maksud yang hendak anda sampaikan melalui penulisan haruslah menjadi perkara pertama ketika menulis. Atau menjadi perkara utama ketika menulis. Barulah anda memikirkan wasilahnya, caranya, perantaraannya, gayanya.
Menyampaikan maksud ‘hidayah dan petunjuk’ dalam lukisan akan menggambar sesuatu seperti cahaya dan kegelapan, atau jalan dan masjid; tetapi bagaimanakah maksud ‘hidayah dan petunjuk’ ini dapat disampaikan melalui kata dan ta’-bir bi l-kalam? Lalu, penulis-penulis seperti kita memikirkan suatu cara supaya maksud ini boleh sampai kepada pembaca. Cara ada banyak. Cara langsung. Cara tidak langsung. Cara berkias. Dan perlbagai cara lagi. Sebahagian cara penyampaian kelihatan biasa dan membosankan. Atau terlalu tegak dan direct. Sebahagian cara penyampaian pula agak berbelit dan memeningkan. Akhirnya maksud tidak sampai dan pembaca lari. Penulis dalam qodiah ini perlu memikirkan wasilah terbaik dalam menyampaikan maksud yang hendak disampaikan.
Kalau boleh dijayakan, usahakan cara yang menarik dan isi yang mengesankan. Kerap saya pesankan kepada pendengar-pendengar saya berkenaan nilaian fasih. Fasih itu bererti, menyampaikan kepanjangan maksud dalam kependekan kata. Itu yang saya takrifkan selalu. Seperti kawan anda baru mendapat anak, lalu anda katakan padanya, “saya pasti akan datang untuk memberikan nama pada bakal zaujah saya.”
Ayat ini membawa 3 erti. Pertama, saya adalah seorang lelaki. Kedua, anak itu baru saja lahir, dan belum diberi nama. Ketiga, ia adalah anak perempuan. Dan kalau mengikut tuntutan kalam, ia mungkin adalah gurauan secara mubala-ghoh dan melampau-lampau, kerana bukankah bayi itu masih terlalu kecil untuk dikahwini? Kecuali ia dalam maqam kalam adalah serius, maka mungkin ia bukan bermakna gurauan dan sebagainya. Inilah yang cuba selalu saya selitkan dalam setiap penerangan saya kepada penulis-penulis baru. Menyampaikan maksud biarlah dengan usaha berfikir dan merasa, dan jangan terlalu malas membentukkan penyampaian anda supaya ia lebih indah daripada kalam yang terlalu biasa.
Kerana itulah yang dilakukan oleh pelukis yang hebat. Mereka menyampaikan seribu makna dalam satu lukisan; a picture can tell a thousand stories; kerana mereka memikirkan cara bagaimana suatu maksud itu dapat disampaikan. Kerana itu saya menyamakan penulis dengan pelukis. Kerana penulis harus bertindak yang sama, menyampaikan kepanjangan maksud dengan kependekan kata. Kita pula bertindak menyampaikan makna yang jauh dan mendalam hanya dengan beberapa perkataan. Bukankah itu suatu yang menarik?
Sebagai penulis, kita harus berlatih laras ta’-bir yang setingkat lebih tinggi. Saya bukan memaksudkan anda menggunakan kalam yang bombastik, atau penyampaian yang memeningkan, cukuplah dengan kefasihan tadi. Orang Arab sendiri apabila me-rating-kan sesebuah kalam sebagai fasih, ia menetapkan bahawa kalam mestilah bukan ghorib, pelik. Kerana ghorobah dalam kalam hanya menurunkan peringkat kalam ke darjah yang lebih rendah, dan tidak digelar fasih. Laras ta’-bir yang saya maksudkan adalah menukar kebiasaan kalam perbualan dan kalam pasar, kepada kalam yang lebih baligh. Kalam yang lebih menyampaikan maksud.
Orang Arab dalam zaman Jahiliah tidak perlukan syarah, kerana dalam balaghah penyair mereka, umum masyarakat mereka sudah faham dan mengerti makna di sebalik kalam. Tetapi perhatikanlah umum masyarakat kita. Mereka lebih menyukai lawak-lawak yang murahan, kata-kata yang sia-sia, kerana mereka tidak membiasakan ketinggian maksud dalam ketinggian kalam dan penyampaian. Apabila ini berlaku, bukankah itu bererti masyarakat kita berada di tahap yang rendah, dan perlukan suntikan sesuatu yang fasih dari kita?
Ketinggian kalam dan penyampaian adalah sesuatu yang istimewa, sehingga ia menjadi antara mukjizat Nabi kita. Apakah kata-kata seperti ini masih tidak cukup untuk menjadikan anda berkeinginan menjadi penulis yang fasih?
K: Sebagai penulis yang lahir dari kelompok ilmuwan dan agamawan, adakah penting untuk menerapkan sebahagian ilmu yang dipelajari ke dalam penulisan? Mengapa?
Soalan ini tidak perlu sebenarnya. Kerana penulis adalah penterjemah kepada diri sendiri. Atau menterjemahkan ilmu dan pengalaman milik diri. Atau menterjemahkan buah fikiran dan idea, atau sekurang-kurangnya menjadi cermin yang memantulkan persekitaran yang ia lihat kepada pembaca. Semua keadaan ini dalam setiap aspeknya, penulis tidak dapat mengelak daripada menyatakan persepsi diri dan pegangannya terhadap isi yang hendak ia sampaikan. Sama ada secara langsung, atau secara tidak langsung.
K: Penulis muda yang baru berjinak-jinak dengan arena penulisan sekarang tampak lebih sinonim dengan ke‘klise’an mereka. Kebanyakan tulisan mereka nampak sama saja dari segi tema yang dibawa. Komen saudara?
Saya mengira soalan itu sedikit menghujum. Walaupun ya, memang sebahagian mereka menulis sesuatu yang agak klise, dan mengulangi kesalahan penulisan yang sama. Tetapi mengenangkan mereka masih baru berjinak-jinak, saya juga terkenangkan hasil tulisan saya ketika baru berjinak-jinak dulu. Barangkali klise dalam erti kata ini adalah permasalahan pengalaman. Tetapi mereka yang sudah tahu tetapi masih mengulangi klise ini perlu diberikan sedikit taujihat. Atau mereka patut mula menyedari diri, dan berusaha meningkatkan kemampuan masing-masing.
Tetapi dari sudut yang lain, saya tidak terlalu garang dan menyerang siapa-siapa yang hendak menulis, hatta yang klise sekalipun. Lambat laun mereka akan sedar hakikat ini, sekalipun tidak diberitahu. Saya suka mereka menimba maksud dan pengajaran ini melalui pengalaman, dan memperbaik diri. Kecuali mereka datang dan minta dikritik, maka saya sendiri tidak dapat menyembunyikan hakikat ini dari mereka. Janganlah saya digelar garang atau terlalu keras dalam hal ini.
Permasalahan ini bukan saja berlaku dalam cerpen, sajak dan novel, bahkan dalam artikel sekalipun. Klise ini sebetulnya berpunca dari cara berfikir, dan sikap kita sebenarnya. Membetulkan cara berfikir dan mengubah sikap adalah perlu, dan boleh berlaku kalau kita serius menulis. Serius menulis bererti serius menimbang semula hasil tulisan masing-masing. Saya boleh jamin, sebaik saja tulisan tersiar, penulis akan membaca hasil tulisannya berkali-kali. Inilah fitrah - melihat hasil tulisan diri. Tetapi adakah penulis menilai kembali sejauh manakah mutu dan kualiti tulisannya? Kalau mereka mengulangbaca, pasti dapat mengagak satu dua kelemahan dan kekurangan tulisan sendiri.
Saya masih ingat ketika saya di bawah seorang senior dalam satu suara kampus. Artikel yang saya tulis tidak disiarkan. Atau dalam bahasa yang lebih tepat, disingkirkan. Puas saya menyemak lembar demi lembar, dan oleh kerana ia mempunyai tajuk yang sama tetapi isi tulisan yang 100 peratus berlainan, maka saya pasti tulisan saya tidak diterima editor. Melalui hakikat ini sebenarnya sudah cukup menggambarkan betapa lemahnya penulisan saya ketika itu. Tidak tersiar juga mengajar banyak kepada saya, untuk menilai semula karya diri.
Saya juga seorang penulis baru yang masih lemah. Saya sama seperti anda semua. Tetapi klise jarang disukai orang. Klise itu apa? Ia lebih kurang adalah, pengungkapan idea yang sudah basi. Atau sudah banyak kali diulang-ulang. Kerana banyaknya berulang dan sudah terlalu kerap ditulis orang, ia menjadi basi dan tidak istimewa. Tetapi anda boleh cuba menulis dan lihatlah, adakah idea anda klise atau bagaimana.
K: Cadangan saudara supaya hal ini bisa diperbaiki?
Banyakkan membaca, terutama karya yang baik. Kaji semula sudut-sudut berkualiti dalam karya-karya orang, dan kaji juga sudut-sudut kekurangan dalam karya-karya diri. Memikirkan dalam keluar, luar ke dalam dalam menyampaikan sesuatu makna. Cuba sampaikan maksud dalam laras bahasa yang fasih, menyampaikan kepanjangan makna dalam ayat yang memadai. Fikirkan idea-idea yang belum ditulis orang, atau cara penyampaian yang tersendiri. Timba pengetahuan sebanyak-banyaknya.
Saya suka mengungkapkan bahawa, kita sebagai penulis mempunyai objektif. Dan kita menulis dalam memenuhi tuntutan objektif itu. Kalau objektif kita adalah untuk menegur atau mengkritik, maka cara yang boleh digunakan adalah sindiran, kiasan, seperti menyamakan pemerintah yang makan harta rakyat dengan jerung yang membaham, kemudian apabila jerung ini cuba ditangkap, ia terlepas lari, yang berjaya ditangkap cumalah ikan-ikan bilis. Sindiran seperti ini menyampaikan makna, tetapi dengan objektif menyindir. Bayangkan kalau penulis memilih untuk mengkritik dengan cara yang langsung dan terus, seperti mengkiritiknya melalui perbualan dua watak. Maka cara ini kurang menarik dan tidak mengagumkan. Atau mengungkapkannya dalam sebuah artikel kritikan. Semua ini berobjektif, dan kita perlu memikirkannya.
K: Buat akhirnya, sedikit kata-kata nasihat atau penyuntik semangat untuk mereka yang baru memulakan karier sebagai penulis?
Menulis merupakan sebuah aktiviti, dan tiada aktiviti yang tidak memerlukan tenaga dan keringat, bahkan dalam menulis, anda memerlukan kesungguhan, keazaman, dan tumpuan tenaga fikiran yang mencukupi. Bahkan mengawal perasaan diri. Kerana itu menulis bukan kerja main-main atau rehat-rehat. Setiap genre mempunyai kesusahan masing-masing. Itu hanya akan anda fahami bila terjun dan melaluinya sendiri. Dalam penulisan, mereka yang kurang azam akan mudah menyerah kalah, dan tertinggal di belakang.
Kalau buntu, mulakan dengan mengumpulkan bahan. Tulis semua idea. Catatkan nota dan cadangan anda untuk menulis. Lakarkan bagaimana anda merancang mahu menulisnya. Kemudian, cuba menulis, dan cuba paksa diri menulis, berkali-kali, dengan memberikan tumpuan semampunya. Barangkali ia berasa susah untuk menulis, sekiranya bahan belum cukup, atau kefahaman belum lengkap, atau pencairan idea belum memadai. Tetapi semua ini, hanya anda fahami apabila anda melaluinya, dan berusaha mengatasi segala masalahnya. Jadi berazamlah, dan bersungguhlah.
Saya tidak layak memberi apa-apa nasihat kepada anda sebenarnya. Kata-kata ini boleh anda terima atau abaikan, atau dinilai semula dan diterima-tolak sesuai yang anda rasa. Saya sendiri juga sukar menerima kritikan dan pandangan orang terhadap tulisan saya pada mulanya; itu tidak mengapa; kerana suatu hari kelak, kita akan menyedari nilai tulisan kita sendiri, kualiti atau tidaknya, salah dan silapnya. Sebagai warga intelek, saya tak meragukan bahawa anda boleh memikirkannya.
No comments:
Post a Comment