Sunday, July 12, 2009

Akidah, Bukan Feqhiyah

Saya dapat peluang untuk menulis entri baru setelah agak lama terhalang oleh keadaan.

Saya pernah membaca sebuah novel, yang merupakan pemenang sebuah pertandingan sastera, dan kerananya penulis diangkat dengan kenamaan tertentu. Saya memilih untuk tidak menyatakan secara jelas, kerana saya fikir, 'apa' lebih penting daripada 'siapa'. Seterusnya saya fikir, keceburan agamawan penting dalam semua bidang, supaya mereka dapat menyemak apa yang berada di khalayak.

Bahawa penulis dalam novel tersebut menyatakan sebuah hadis yang diterjemah mengenai umat Nabi Muhammad yang terpecah kepada 73 golongan, satu di dalam syurga dan bakinya di dalam neraka, lantas menyatakan pemahamannya mengenai hadis tersebut bahawa - satu golongan itu, setelah dikaji ulamak adalah golongan mazhab Hanafi.

Kefahaman ini adalah salah. Itu hakikat pertama. Bacalah apa yang ditulis Hujjatu l-Islam wa Barakatu l-Anam, Imaamuna al-Ghazali ketika memuji Tuhan di ayat pertama dalam kitab al-Iqtisod fi l-I'tiqood, yang berbunyi (setelah diterjemahkan) - Segala puji bagi Allah yang memilih kumpulan Haq dan Ahli Sunnah dari kalangan hamba-hamba pilihan-Nya, lalu mengkhususkan mereka - daripada segala firaq (golongan yang 73) - dengan ciri-ciri kelembutan dan anugerah...

Saya juga rakan yang lain sabit memahami bahawa pecahan kepada 73 bukanlah pecahan berdasarkan feqhiyah, tetapi pecahan berdasarkan akidah. Inilah hakikat kedua. Kerana yang membezakan Muslim dan bukan Muslim, adalah akidah, bukan feqhiyah. Maka adalah sangat jauh memahami bahawa, salah satu dari mazhab feqhiyah ini (dan menurut pendapat penulis ia adalah mazhab Hanafi) adalah masuk syurga dan bakinya (iaitu mazhab Syafii, dan lain-ain mazhab feqhiyah) adalah masuk neraka. Yang benar, golongan yang dimaksudkan adalah golongan ahli Sunnah wa l-Jamaah, tak kira Syafii-kah dia, atau Hanafi-kah dia, atau lain-lain, dengan pegangan akidah yang sama.

Kefahaman ini, daripada sejumlah kefahaman menyimpang yang saya dapati, adalah kefahaman paling pesong dan bahaya. Oleh kerana penulis mempunyai nama dan tidak bermakna atau berkeuntungan melukakan, saya tidak menyebut. Apa yang lebih pnting, fahaman ini, tidak kira di mana ia dijumpai, haruslah difahami silap salahnya. Itu hakikat ketiga.

Nabi menggunakan lafaz 'ummati' di dalam hadis, dan bukannya lafaz yang lain. Ini hakikat keempat. Dan dalam hadis yang lain, sebelum Baginda wafat, bahkan sebelum itu lagi, Baginda kerap menyebut mengenai ummatnya, bahawa kefahaman yang kita petik adalah; Sahabat itu sahabat, dan umat itu umat.

Nabi menyatakan bahawa 72 golongan yang lain adalah di dalam neraka, itu hakikat kelima. Ia bererti 'keberadaan di dalam neraka', dan bukannya 'kekekalan di dalam neraka'. Dalam hadis yang lain, saya petik maknanya, bahawa Allah memerintahkan agar mereka yang mempunyai Iman di dalam hatinya walau sekecil manapun, agar dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga. Mereka dihukum kerana kesalahan, dan diampunkan kerana iman. Itu hakikat keenam.

Saya berpesan, agar tanyalah kepada ahlinya, sebelum meyakini untuk menulis apa-apa. Itu hakikat ketujuh. Saya sendiri bertanya kepada mereka yang mempelajari dalam bidangnya ketika menulis sebuah cerpen mengenai solat. Dan saya meminta, agar penganjur haruslah meletakkan sebuah ruang untuk pengadil khas, jika novel itu menyentuh disiplin ilmu tertentu, maka rujuklah kepada ahlinya, tak kira apa, perubatan, hukum hakam, dan apa juga. Ini hakikat kelapan. Apalah erti sebuah karya, atau apalah erti sebuah pertandingan yang memenangkan sebuah karya; yang hakikatnya pesong dari disiplin ilmu yang benar, kemudian diangkat dan dijulang. Bukankah itu mencmarkan nama baik pertandingan itu sendiri?

Saya tidak mentakhrij hadis yang saya nyatakan, kerana keterbatasan peralatan ketika menulis. Namun, semua hadis tersebut sangat masyhur dan makruf. Saya fikir adalah kewajipan saya menyatakan kesalahfahaman ini.

2 comments:

hanif_m_noor said...

btul3..hehe..nape angah dah tak kol semula semalam...angah kol dengan ape? sorila...semalam tengah meeting penting

Ibnu Ali said...

Fiqhiyah pun ade yang thabit dan usul..

Bila akidah dah rosak.. Fiqhiyah tolak tepi jer..