Sunday, August 30, 2009

Al-'Irqu Dassaas Vs Rebung Dan Kain Putih

Apabila terbaca beberapa kalimah untuk me-mengerti-kan maknanya, dan setelah beberapa kawan juga abang saya meminta cadangan nama untuk anak mereka, maka saya terfikirkan bahawa betapa penting ibu bapa mewujudkan suasana yang menterjemahkan makna nama tersebut. Seperti menamakan anak Mukhlis, yang bersifat ikhlas, tetapi membudayakan sikap mementingkan kenamaan dan materi, kemudian suasana itu terserap kepada anak yang hidup dalam suasana tersebut, lalu kontralah antara nama dan makna nama itu.

Anak yang dinamakan ‘Afiif, yang menjaga kesopanan dan kehormatan serta kesucian diri, perlu diasuh dalam suasana yang mempraktikkan maknanya, supaya nama itu terserap secara praktikal dalam kehidupan keluarga, bukan hanya diteorikan, atau dipelajari sesudahnya di kelas dan sekolah. Memangkan cantik menamakan anak perempuan dengan nama Husna Wa Ziyadah, kebaikan dan lebih lagi; namun berhajatkan sikap dan tindak tanduk ibu bapa yang berlaku baik dan bahkan lebih lagi.

Apakah yang boleh menerapkan perangai suka kepada kebaikan, bahkan menjadi pemula kepadanya dan kuncinya, lebih daripada sikap itu didahulukan oleh ibu dan bapa yang menamakan anak mereka Miftaahulkhair; kunci kebaikan. Nama itu boleh menjadi doa, tetapi usaha juga adalah penting, untuk disertakan setelahnya dengan tawakkal. Apabila sikap pembelas, dan tahu mengasihani orang lain dipraktikkan, lalu anak yang diberi nama Syafiiqah Rahiimah akan mengerti, bahawa sikap belas itu sesuai dengan namanya.

Baru-baru ini saya mencadangkan nama ‘Afiifah Toohirah untuk seorang sahabat, mencadangkan Hasanul Husaini untuk abang saya yang baru mendapat cahaya mata sulung, (tapi abang pilih nama Muhammad Arif ‘Akasyah) lalu terfikir, kalaulah ada orang meminta nama, saya fikir Ummul Hasanaat yang bererti punca kebaikan itu, atau Taqiiyun Naqii yang bermakna, yang bertakwa dan yang jernih bersih, atau Habiibah ‘Aziizah yang bermakna kekasih, adalah antara nama yang elok dan menyenangkan.

Tapi fahami, mewujudkan suasana yang selari dengan makna nama, adalah sesuatu yang perlu dilakukan. Kalau menamakan anak Sodiiqin Hamiim yang bermaksud kawan karib, kemudian memaparkan sikap kawan makan kawan, atau menamakan Wafii yang bermaksud penunai (segala janji dan kata-kata) kemudian mempersembahkan sikap langgar janji, mungkir kata-kata, bagaimanakah kita mengharapkan makna nama itu terserap dengan mudah kepada mereka. Mungkin, dalam keadaan ini, mereka mempelajari keadaan sebaliknya, atau mereka akan melalui jalan sukar untuk mempelajari maksud yang bertentangan dengan apa yang mereka saksi.

Walaupun ya, seperti pepatah Arab; al-‘Irqu Dassaas, pembuluh darah itu akan sangat menyelinapkan masuk, atau seperti pepatah Melayu, mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi; bahawa perangai yang membuluh dan mendarah daging dalam ibu bapa akan menyusup masuk ke anak, namun, usaha membentuk anak yang masih rebung mengikut falsafah Melayu, atau yang masih kain putih mengikut falsafah Arab, adalah perlu, supaya nilai makna itu mencair di dalam jiwa mereka. Setiap kali anda memanggil mereka, niatkan untuk memberi contoh dan perlaksanaan makna itu kepada mereka.

Wednesday, August 19, 2009

Istikhlas Dan Istisfaak Dari Inti-khoobaat.

Bismillah.

Saya fikir, ketidakpuasan hati itu adalah tanda kita sayang. Kita ambil berat. Dan tanda kita tak mahu sesuatu yang tidak elok berlaku.

Saya fikir, menyatakan hasrat mengubah apa yang kita rasa tidak elok juga adalah tanda kita sayang. Tanda kita ambil berat. Dan tanda kita tak mahu sesuatu yang kita rasa tidak elok daripada berlaku.

Kerana itu, saya merasakan, kedua-dua pihak patut merasakan perasaan yang sama. Jangan memandang rendah pihak lain, kerana kita berdua mahukan yang baik berlaku. Dan kerana itu, kita tak patut mengeluarkan kenyataan yang menyinggung pihak yang lain. Kerana menyinggung itu hanya akan menyebabkan kita makin membina jurang.

Kenyataan harus dinilai halus. Diperhati dalam ke luar, luar ke dalam. Kita belajar dilalah mutobaqah dan iltizaamiyah dalam kuliah Usuluddin. Kita belajar mafhum muwafaqah dan mafhum mukholafah dalam kuliah Syariah. Kita belajar tasyhbih, istia-'arah dan kinayah dalam kuliah Lughah. Kita bijak mengungkapkan. Tetapi kita juga belajar bahawa Nabi diutuskan untuk menyempurnakan akhlak. Dan tiada ertinya kebijakan kita mengungkapkan, sekiranya ia untuk menyakiti hati saudara yang lain.

Saya juga pernah berasa sakit hati yang amat. Yang sikit-sikit itu banyak kali. Tapi yang paling dahsyat dua kali. Sekali dari persatuan ini, dan sekali dari persatuan penaungnya. Kalaulah mengikutkan hati, sudah saya cemuh dan maki di laman ini. Tetapi ia hanya menghitamkan hati. Saya sudah banyak menghitamkan hati dengan lidah. Saya sendiri berasa sedih. Kita belajar bahawa Muslim itu bersaudara, seperti sebuah bangunan, dan kita belajar bahawa Muslim itu adalah yang cintakan saudaranya seperti cintakan dirinya, bahkan kita belajar bahawa Muslim itu adalah apabila saudaranya selamat dari kejahatan tangan dan mulutnya. Lupakah kita bahawa mencela Muslim itu fasik dan membunuhnya kafir.

Kerana itu saya mendiamkan diri setahun lamanya. Saya tolak semua kerja persatuan. Kerana hati saya terlalu sakit. Saya mahu melupakan semuanya. Mahu memaafkan, walaupun mereka tidak meminta maaf. Akhirnya saya berjumpa dengan firman Tuhan yang berbunyi (walau sudah selalu membacanya): [[Tolaklah kejahatan itu dengan kebaikan. Jika kalian lakukan begitu, lalu secara tiba-tiba saja, orang yang kalian punyai permusuhan dengan mereka akan menjadi seolah-olah sahabat karib.]]

Wallahu a'-lam.

Sunday, August 16, 2009

Membentangkan Jalan Kebaikan

Saya sendiri tidak pasti sudah berapa kali saya gemuruh. Perut entah berapa kali senak. Perasaan dan fikiran tak payah kira. Ingkisar dan luluh hati. Tapi saya percaya, apa yang saya buat adalah betul. Keyakinan entah berapa kali retak, dicantum semula. Ada masanya saya berfikir terlalu jauh, dalam, dan berasa terlalu letih.

Saya perlu lakukan semua ini. Demi misi dan hasrat. Apapun hasilan, saya yakin, adalah jawapan anda. Dan apa yang paling penting, saya harap dapat belajar tampil walau dalam situasi yang paling menekan. Saya berharap dapat belajar untuk mendepani masyarakat, kerana itulah kelemahan saya yang paling utama, kerana saya tak pandai bergaul. Saya mempunyai banyak kelemahan terutama penampilan, dan saya berdoa daripada semua ini, saya dapat belajar sesuatu.

Apapun, saya pastinya merancangkan sesuatu yang baik. Saya ingin berkongsi pengalaman, kebijaksanaan, pemikiran, dan seperti kata seorang sahabat yang kerana beliau saya paksakan diri memberanikan diri; tiada masalah jika ingin membentangkan jalan kebaikan. Waffaqokumullah.