Wednesday, April 06, 2011

Tidak Dilafazkan Satu Kata-Kata, Melainkan Di Sisinya Ada Raqib Dan 'Atid

Sebetulnya, apabila sesiapa saja cuba-cuba memberi nasihat kedoktoran, yang belum dapat dipastikan entah betul atau tidak, atau mencadangkan deskripsi yang entah ada sumber atau tidak, para doktor akan menyatakan ayat ini berulang-ulang kali - Sila rujuk doktor sebelum menggunakan mana-mana ubatan tradisional, atau pastikan ubat tersebut mendapat pengesahan pertubuhan kesihatan bertanggungjawab. Itulah yang berlaku, apabila semua orang cuba bercakap mengenai perubatan, tanpa rasa berjaga-jaga dan merujuk kepada ahli dalam bidang kedoktoran.

Sebetulnya, mana-mana bidang juga sama. Termasuk bidang agama. Sebetulnya saya selalu tidak setuju dengan sistem bahawa semua orang boleh bercakap tentang agama, daripada ideanya sendiri. Apabila kalam yang bersumber entah dari mana dicampur dengan kefahamannya, dia masuk campur dalam perkara agama, dan ada berlaku ketika tidak dia sedari, bahawa apa yang dia tuturkan itu menyimpang dari hakikat sebenar perkara tersebut. Seperti mana kita akan meminta mana-mana orang yang ingin menggunakan ubatan nasional untuk merujuk doktor, begitu juga kita menasihatkan mana-mana orang yang ingin bercakap tentang agama untuk merujuk kepada ahlinya.

Mereka sangka agama ini perkara yang semuanya boleh diteka dengan akal. Mereka sangka kalau tersilap, semuanya boleh dimaafkan dengan mudah, dan mereka sangka, kalau salahpun, ia adalah salah yang kecil. Bagi saya, bercakap dalam perkara agama perlu kepada ilmu yang betul dan pasti dari sumber yang yakin, kerana ia bukan bidang yang semberono siapa saja mahu cakap, sila cakap. Kerana itu saya sebetulnya tidak setuju apabila semua orang diminta bercakap tentang agama, tak kira apa bidang kemahirannya. Sebetulnya saya tidak setuju dengan sistem tabligh Malaysia yang kerana terlalu ingin sangat ahlinya mahir bercakap, dia disuruh cakap apa saja atas nama agama. Oh, bagaimana kalau silap? Kalau salah? Apakah dia tak pernah menyedari firman Allah yang menyatakan, membawa maksud: tidak dilafazkan satu kata-kata, melainkan di sisinya ada Raqib dan Atid (yang mencatat apa yang dia cakapkan)?

Adakah dia sangat berani untuk menyatakan apa-apa saja, bercakap apa-apa saja, tanpa menyedari hakikat ini? Ini bukanlah bererti kita perlu berhenti berkata mengenai agama. Tetapi kita perlu merasakan satu tanggungjawab terhadap apa yang kita mahu ucapkan, lalu bertanya kepada ahlinya, adakah ia benar, atau tidak. Semoga tulisan ini bermanfaat untuk saya dan kita semua. Wallahu a'-lam

Saturday, April 02, 2011

Kata-Katamu

Sesetengah orang selalu memandang rendah pada kata-kata. Barangkali dia lupa kata-kata boleh dianggap satu pertiga daripada perbuatan manusia, selain perbuatan hati dan perbuatan anggota. Apakah kita perlu menunggu sehingga sains membuktikan bahawa lafaz tertentu yang diucapkan di depan air menyebabkan bentuk molekul berubah barulah kita mempercayai kesan lafaz dan perkataan kepada segala di sekeliling kita, pada yang hissi (boleh dicapai deria) dan pada yang maknawi? Apakah kita tidak pernah terdetik bahawa jenayah zina yang dan perhubungan suami isteri yang halal dibezakan dengan satu ucapan akad penghalal, iaitu akad nikah. Bahawa dengan ucapan, pelbagai akad menukarkan hak dan milik, dan tanpanya perbuatan itu akan menjadi salah dan pelanggaran.

Mungkin sesetengah mengatakan, ia hanya pada perkataan yang ada kaitan dengan hukum dan muamalat sesama manusia sahaja, tetapi bagaimana dengan sebuah hadis yang melarang kita membuang air besar atau kecil di tiga tempat (sebagai permisalan), kerana perbuatan itu akan menyebabkan orang yang datang ke tempat itu akan mencaci maki kita kerana mereka terkena najis, berasa tidak selesa dan sebagainya. Apakah kita memandang ringan kata-kata tersebut dan kesan kata-katanya terhadap kita, saya ulang, kesan kata-kata yang diucapkan oleh mulut, dan ia adalah kata-kata laknat dari mereka yang terkena najis tadi. Seperti mana lafaznya, ittaquu mala-'in as-salasah, awasi dirimu dari 3 tempat laknat.

Kerana, ucapan bukan bererti sekadar bererti gelombang suara yang bergetar melalui medium udara, menuju ke telinga semata-mata, tetapi ucapan mengandungi sesuatu yang lebih dari itu. Doa kita juga adalah ucapan kata-kata. Bahkan kita tidak disuruh bersolat ketika mengantuk, kerana seperti yang dinyatakan, siapa tahu dia mahu meminta ampun tetapi (kerana mengantuknya) dia mencaci dirinya sendiri. Bahkan ucapan sebetulnya perlu dijaga, apatah lagi kalimah yang muncul dari mulut seorang Islam.

Tidak semestinya kalam itu adalah doa barulah kita berjaga-jaga. Seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis  menceritakan tentang kisah seorang badwi yang membuang air di dalam masjid, lalu sebahagian sahabat mencacinya, lalu Baginda menegur dan menyatakan antaranya bermaksud, bukanlah kamu diutuskan untuk melaknat. Kerana kata-kata laknat, dari mulut seorang Islam, bukan seperti tiada nilai. Bahkan sabit di dalam hadis bahawa setiap kali Baginda melaknat sesuatu kaum, maka itu dijadikan kafarah dan penebus dosa, supaya mereka tidak diazab di akhirat kelak. Cukuplah hebatnya kesan laknat di dunia, sehingga menggantikan dengan hukuman di akhirat. Begitu besarnya nilai sebuah kalam, dan ia adalah suatu yang kita lakukan setiap hari.

Kita disuruh berfikir sebelum mengucapkan sesuatu. Pepatah Melayu seperti perahu terlajak sudah cukup menyedarkan perihal penting kalam. Seorang kafir yang mengucapkan syahadah di medan perang, ucapannya itu saja sudah cukup menyelamatkan nyawanya, hartanya, maruahnya dan lain-lain. Supaya kita sedar, bahawa kata-kata, apatah lagi dari mulut seorang muslim, bukanlah bererti tiada apa-apa. Dan bahawa, kata-kata yang keji itu sebenarnya menggambarkan kekerasan hati manusia. Kerana itu, elakkan melaknat orang lain, apatah lagi jika dia seorang Islam. Kita bukanlah sebuah umat pelaknat, apatah lagi sesama kita muslim. Kerana kita adalah sebuah jasad yang satu. Kerana kita berada pada tubuh yang sama. Kerana kita adalah bersaudara.

Mungkin, kita berasa marah, geram, sakit hati, dan betul kita berhak menuntut hak untuk membalas, tetapi sesama muslim, yang lebih baik adalah memaafkan, kerana luka di tubuhnya adalah luka di tubuh kita sendiri, dan kudis yang bersarang di tubuhnya itu sebetulnya berada di tubuh kita. Kalau terus membalas luka dengan luka, kudis itu tidak akan sembuh sampai bila-bila. Kalam, lidah dan perkataan, bukan untuk melaknat, tetapi untuk mendoakan supaya berlaku perubahan.

Tidak kira siapa, selagi muslim, elakkan kata-kata laknat. Walau apa dasar dan politik, kefahaman dan tanggapan, ketahuilah bahawa syahadahnya itu sudah menukarnya menjadi kebal, bahawa nyawanya adalah haram, maruahnya adalah haram, hartanya adalah haram, dan tidak boleh dirabikkan sesuka hati. Kalaupun dia bersalah, biarlah hakim yang menghukumnya, bukannya kita. Dan kalaupun ia tidak dihukum di dunia, dan masih hidup, peluang taubat masih terbuka. Keadilan di akhirat kelak adalah mutlak, yang mana semua nikmat dunia sudah tidak berasa apa-apa bila dicelup sesaat di neraka.