Thursday, August 23, 2012

Di Sini Kutemukan : 9 : Antara Dia Dengan Baginda, Di Mana Kita

"Dia" dalam bahasa Melayu kita diwakili oleh sekelian banyak kalimah. Adalah pelik sekiranya kita tidak menyedari hakikat pertama ini. Sekurang-kurangnya kita pernah mendengar lafaz-lafaz lain yang seangkatan dengannya seperti " ia, beliau, baginda, nya," dan lain-lain. Dan tentulah setiap satu kalimah tersebut mewakilkan sedikit perbezaan maksud dan penggunaan bagi setiap satu, tetapi masih mengisyaratkan kepada kata ganti diri ketiga ini. Itu adalah hakikat kedua yang kita perlu jelas.

Sekiranya kita bercerita mengenai seorang wakil rakyat dan di dalam majlis-majlis rasmi, kita tidak akan menggelar wakil rakyat itu dengan lafaz "dia", sebaliknya kita menggunakan kata ganti diri "beliau". "Kenapa" adalah soalan yang pelik untuk ditanyakan, kerana itulah tanda hormat dan sopan terhadap orang yang mempunyai pangkat dan kedudukan. Begitu juga sekiranya kita berkisah tentang seorang raja, kita tidak memanggilnya dengan lafaz "dia", sebaliknya kita beradab dan berjaga-jaga dalam pertuturan dengan memanggilnya dengan panggilan "tuanku" atau "raja" dan sebagainya.

Tetapi yang masih menjadi kepelikan bagi saya, apabila kita masih tidak berasa janggal mendengar Nabi dipanggil dengan lafaz "dia" atau "nya" di dalam khutbah solat Jumaat, tatkala surah al-Ahzab ayat 56 dibacakan maknanya seperti ini " sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah ke atasnya, dan ucapkanlah salam dengan penghormatan yang sepenuhnya."

Ayat "berselawatlah ke atasnya" patut diganti dengan "berselawatlah ke atas Baginda" atau "berselawatlah ke atas Junjungan" atau lafaz-lafaz lain yang setara dengannya, dengan menunjukkan penghormatan terhadap sebaik-baik makhluk ini. Adalah janggal sekiranya kita mempertahankan penggunaan "nya" yang tidak menampilkan penghormatan selayaknya, tetapi adalah difahami sekiranya ia terlepas pandang, tetapi masih ada sedikit kurang wajar. Saya mengharapkan kawan-kawan saya di Jabatan Agama dapat melakukan sesuatu dalam hal ini, kerana kedudukan Baginda bukan tokoh picisan, tetapi satu teras dalam dua kalimah syahadah kita.

Dan satu hal lagi, berkenaan sekalipun bilal telah berjaya mendiamkan makmum bahawa bercakap ketika khutbah adalah menghilangkan pahala jumaat, tetapi saya fikir, masih cacat Jumaat itu apabila makmum terus menerus berdiam tanpa mengucapkan selawat apabila nama Baginda disebut. Kenapa Jabatan Agama masih enggan menyebarkan tambahan maklumat kepada para jemaah, bahawa selawat itu terkecuali dari bercakap, sebagaimana ucapan tashmit a-thish, iaitu doa kepada yang bersin, tatkala khutbah berlangsung adalah boleh, doa selepas wuduk ketika khutbah adalah boleh, dan sebagaimana seorang sahabat menjawab pertanyaan Nabi tentang kenapa dia tidak solat sebelum duduk tatkala khutbah lalu disuruh solat dua rakaat, bahawa menjawab soalan itu adalah boleh, kerana kita diperintahkan untuk menyahut seruan Allah dan seruan Rasulnya, walaupun ketika solat, apatah lagi ketika di luar solat di dalam khutbah.

Kerana kita berfahaman Imam Syafi-i dalam feqh yang menyatakan bahawa doa di dalam solat dalam bahasa Arab adalah boleh dan tidak membatalkan solat, sekalipun doa itu bukan dari doa-doa yang wujud di dalam ayat al-Quran. Bahawa pengecualian bercakap itu ada penjelasannya, dan berselawat ketika khutbah adalah sunat, bukan haram atau makruh atau membatalkan pahala jumaat. Saya betul mengharapkan rakan-rakan saya di dalam Jabatan Agama melakukan sesuatu, seperti mana yang dilakukan oleh ulamak-ulamak al-Azhar yang bangkit apabila ketokohan Nabi dipandang enteng oleh para juhalak.

Oh ya. Kenapa Tuhan masih digelar dengan ucapan Nya, Dia, dan juga Engkau, tetapi itu tidak menghilangkan rasa takzim kita pada Tuhan? Saya fikir jawapannya ada pada dua hujah. Pertamanya, melalui format tulisan yang membesarkan huruf hanya pada lafaz ini, sekaligus menampakkan perbezaan di antara "nya" dengan "-Nya", antara "engkau" dengan "Engkau". Kedua, ada pada sebab yang sama disyaratkan mukjizat pada mereka yang mengaku Nabi untuk membuktikan dia adalah Nabi yang benar, tetapi tidak disyaratkan apa-apa pada mereka yang mengaku Tuhan.

Ini jelas apabila Nabi itu adalah manusia, dan pembuktian manusia itu sebagai Nabi melalui mukjizat, dan dengan mampu melakukan mukjizat adalah bukti kebenaran bahawa mereka adalah Nabi. Adapun mereka yang mengaku Tuhan adalah dusta, tidak kira walau bagaimana sekalipun dia mampu mendatangkan mukjizat sebesar mana sekalipun. Begitu juga dajjal di pengakhiran alam dunia ini nanti yang mengaku Tuhan, mampu menghidupkan yang mati, mampu membelah orang kepada dua tetapi tidak mati, mampu membuat segala keajaiban dengan mata tetapi, tidak kira walau bagaimana pelik dan mustahilnya kemampuan dan keajaiban itu, dakwaan sebagai Tuhan adalah dusta, kerana Tuhan itu bukanlah manusia, bukan makhluk, dan bukan bersifat dengan sifat makhluk.

Kerana itu, pemisah antara Tuhan dengan makhluk sangat jelas, sehingga ucapan "engkau" pada makhluk, adalah berbeza dengan ucapan "Engkau" pada Tuhan. Ucapan "dia" pada makhluk, adalah berbeza dengan ucapan "Dia" pada Tuhan. Wabillahittaufiq wassadad.

No comments: