Hasbiyallah Wannabiy dilahirkan 16 Mei 2015, bertepatan Hari Guru dan Israk Mikraj. Anakanda kedua saya ini lahir lebih awal daripada tempoh biasa kehamilan, sama seperti abangnya, Muhammad Muriidullah. Mereka berdua kerap memuhasabahkan diri, menampakkan yang lompong dan robek dalam diri. Terasa dalam kasih sayang membesarkan mereka berdua, masih banyak kekurangan diri sebagai ayah yang perlu saya perbaiki. Baik dalam akhlak, pergaulan, ibadat, ilmu, kemahiran dan lain-lain.
Hari ke hari, saya cuba memastikan kasih sayang yang cukup saya berikan kepada mereka berdua, terkadang terlupa untuk ibu mereka, namun saya cukupkan juga untuk semua. Barulah saya mula memahami kasih sayang seorang ayah dan ibu kepada anaknya. Harapannya. Cita-citanya. Namun dalam lembut dan tolak ansur mahu juga memberikan keselesaan, kelapangan, kebahagiaan. Semua ini, tertera secara halus dalam wajah-wajah insan yang menghantar anaknya menimba ilmu.
Lantas kefahaman ini mengingatkan saya pada tanggungjawab saya sebagai seorang guru kepada anak-anak muridnya, yang mahukan bukan sekadar kejayaan bahkan lebih lagi, menjadi insan yang benar-benar memahami ilmu terutamanya Bahasa Arab. Tetapi, selangkah ke arah itu sahaja sudah beribu batu. Saya sedar banyak tanggungjawab yang belum tertunai, dan banyak cita-cita yang belum digapai. Doakan saya tsabat dalam menunaikan amanah dan impian.
No comments:
Post a Comment