Ombak Sfera Lotus – 17 februari 2005
Pemenang Ketiga Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Tahun 2003 ini ( kalau tidak silap saya ) memilih tema kemanusiaan dengan latar tahun 2100. Siti Jasmina Ibrahim, membawa penceritaan dengan tempo yang agak perlahan dalam kadar yang agak panjang, menjejak 11 bab, sebelum melajukan sedikit tempo beliau bermula bab 12. Pada saya, penulis ini telah sedaya upaya menggambarkan suasana masa depan yang pada beliau telah kehilangan nilai-nilai ukhuwwah ( dalam perkataan yang lebih sesuai ), memperlihat kepada khalayak pembaca sikap manusia yang lebih mementingkan diri.
Kelihatan sedikit ransangan digunakan walaupun berjaya menimbulkan suspens pada bab 11/12. Apa yang nyata, penulis telah merancang dengan seberapa teliti beberapa persediaan yang kabur dalam ceritanya dengan sengaja dengan motif mahu menjelaskan di penghujung cerita. Saya kira, penambahan suspens mahupun ransangan ( sekiranya dibuat ) mungkin dapat merancakkan tempo yang agak perlahan ini. Ataupun tempo perlahan dipilih demi memadankan dengan suasana latar masa depan.
Penggunaan perkataan dalam novel beliau secara fizikalnya dapat membayangkan secara agak lengkap ( bagi saya ) ketamadunan ketika itu. Namun beberapa persoalan yang ditimbulkan masih boleh menjadi bahan nilaian. Contohnya, perbezaan kuasa antara ‘kuasa besar’ dan ‘pemerintah’ pada mulanya menggambarkan kuasa pemerintah adalah kurang daripada kuasa besar tersebut, di mana kuasa besar itu adalah berada di luar kepompong pentadbiran, dan pemerintah berada di dalamnya. Pemerintah dapat melaksanakan pentadbiran dan mewujudkan ( sfera lotus ) tetapi ada masanya akan diganggu gugat oleh kuasa besar itu.
Di pengakhiran cerita pula menjelaskan sebaliknya. Kuasa besar itu sebenarnya mempunyai nilaian kuasa kurang daripada pemerintah, namun disebabkan sumbangannya dalam pembiayaan sfera lotus, ia mampu mempengaruhi beberapa keputusan dalam pentadbiran tersebut. Sfera Lotus sebagai suatu pusat yang menjadi tumpuan dalam novel ini menjadikan ‘Ombak’ watak utama yang menjayakan cerita. Namun, tahniah diucapkan kepada penulis kerana berjaya membuat garapan cerita yang amat baik – pastinya membenih keinginan di dalam hati saya mahu juga menceburi bidang penulisan novel ini.
Ps: ayat saya kali ini semacam tidak lancar pula. Maaf sekiranya komentar tidak menepati keadaan sebenar.
al_jantanie
manhumi_ilm
No comments:
Post a Comment