Sunday, June 12, 2005

Ha Dalam Surah Muhammad

Ha Dalam Surah Muhammad.

Sudah lama saya tidak menonton cerita yang berbaur cinta, atau boleh saya kata; hampir-hampir saya lupa bagaimana cerita-cerita yang sebegitu. Barangkali kerana sudah lama tidak menonton agaknya.

Sejak bila? Saya sendiri juga kurang pasti. Tetapi malam kelmarin saya curi-curi pandang juga, tonton separuh perhatian dan setengah kurang endah. Rakan-rakan pasang, dan saya yang meneman di sisi terkesan dan menonton juga.

Kalau saya bilang, cerita-cerita cinta yang sebegini biasanya menggetarkan perasaan; pasti anda tidak menafikan kebenarannya. Itu cerita orang. Cerita rekaan. Tetapi kita juga tumpang seronok bila lihat pelakon itu seronok, kita kongsi juga rasa sedih bila aktor itu rasa sedih. Apa yang lebih menarik, kalau ada babak yang kurang adil, kita kadang-kadang lebih ‘marah’ dari pelakon itu sendiri rasa marah.

Kita ‘berlakon’ lebih daripada pelakon itu melakonkan watak mereka.

Kita setelah itu, turut sama menarik nafas dan melepaskan serentak dengan turun naiknya cerita, kemudian setelah cerita tamat kita pula membayangkan cerita cinta kita pula. Di atas pembaringan, sambil merenung siling kita mula berkira-kira. Kita tambah yang baik-baik, kemudian tolak yang tidak sesuai. Agak-agak, sampai bila agaknya?

Saya suka sangat; ketika nadi berdegup irama asing, mahu dengar surah Muhammad sambil baring. Lagi-lagi kalau dibaca Imam Masyari Rasyid. Setiap kali huruf ha di penghujung di setiap ayat diwakafkan mim, nafas turut sama naik dan turun ikut huruf itu. Biar dilepaskan saing makhraj ha.

Anda tahu? Huruf ha yang dilepas kuat, bagai membawa nafas saya sekali keluar, dan membawa semua yang bergetar tidak tentu hala di dalam hati. (Cuba bunyikan ha serentak dengan hembusan nafas.) Lama-lama, saya yang sebelum ini hanyut dengan rentak cerita cinta, kembali tenang dan hanyut semula dengan nada lain yang lebih normal.

Mengapa ya? Kita suka bercerita soal hati dan perasaan, tetapi kita lupakan pula soal akal dan fikiran. Apatah kita lupa ketika Surah Muhammad itu menegur kita di setiap kali ia menjejak ayat 24, setiap kali itulah Tuhan mengingatkan :

Maka apakah mereka tidak memerhatikan (mentadabbur) Al-Quran, atau apakah hati mereka yang terkunci?

2 comments:

azlina zabha said...

Boleh awak terangkan dengan lebih mendalam, tentang ayat Al-Quran tersebut?

MZP said...

ayat itu tidak jelas ke? saya rasa sudah sangat jelas. satu pertanyaan kepada orang yang membaca alquran, mengapa mereka tidak memerhatikan ayat tersebut? atau kerana hati mereka sudah terkunci