Tuesday, June 07, 2005

Antara Peperiksaan Dan Rasa Gian.

Antara peperiksaan dan rasa gian.(1)

Saya mengunjungi blog Ghafirah Idris (6 Mei) dan meneliti perbualan beliau dan Faisal Tehrani. Faisal melarang Ghafirah tulis novel dengan dua sebab. Perkayakan garapan penulisan cerpen dan bina grass root (cari peminat juga). Dalam hati – Ghafirah yang banyak menembusi media perdana juga dinasihati begitu, sedikit sebanyak mengingatkan saya kepada guru saya (dalam KELAP 2004), Saudari Faezatul Herda antaranya menyebut : Take your time to be a writer. Mesrai genre cerpen. Sama bukan?

Tetapi apabila saya suarakan hasrat kepada Nisah Hj. Haron dan beliau tidak membalas apa-apa, sekadar membuka laluan kalau benar-benar saya mahu mencuba (menembusi Hadiah Sastera Utusan) dengan memberi tahu : hantarkan manuskrip tersebut ke Utusan Publication Sdn Bhd. Begitu juga apabila saya meminta seorang lagi guru saya (dalam KELAP 2004) Saudara Ubaidillah Alias untuk mengajar saya membikin novel beliau menyambut ( permintaan saya untuk mengajar membuat novel selepas peperiksaan ini) dengan kata-kata : Insya Allah.
Saya tahu, kesimpulan ini bukan satu perkara yang tepat, tetapi sebagai seorang penulis, tidak salah memiliki hasrat yang kadang-kadang menyalahi uruf dan kebiasaan. Malah merealisasikannya pula. Hasrat ini telah bermula, dan saya memasang tekad untuknya. Tulis novel.

Memang, tidak patut meragui nasihat guru-guru saya supaya “Jangan”, tetapi tidak patut juga meragui kedegilan saya supaya “Teruskan”. Melangkah ke hadapan tanpa berpatah ke belakang lagi!

Ps: sebagai pencari alasan atas kedegilan ini, saya nyatakan juga satu dua. Pertama: Nazmi Yaakob dan Zaid Akhtar serta Amiza Khusyri juga pernah menghasilkan novel peribadi mereka – bersiri dan dalam buku. Malah Ubaidillah juga telah memulakan penulisan novelnya sebelum saya menyertai KELAP lagi. Lihat Akhi Masrawi, juga sedang menyelesaikan novel mereka. Itu tanda langkah yang tidak ada undurnya.

Kedua : Di sinilah (Mesir) medan untuk menguji keupayaan, dan saya yakin, ia lebih praktikal untuk dibuktikan. (Jangan risau, saya tidak memadamkan hasrat melazimi cerpen dalam tempoh penulisan novel. Saya rasa ia bukan satu masa yang singkat juga. Kalau berjaya, ia adalah kejayaan yang akan membuka ke pintu yang lebih besar. Kalau gagal, ia tidak pernah merugikan.)

al_jantanie
manhumi_ilm

Saya menulis ini dalam fatrah imtihan, curi-curi masa menaip sebab terasa gian. Ops, saya tak ambil candu, petik popi atau suntik pil khayal.

No comments: