Wednesday, June 29, 2005

Malas

Kalau saya bilang saya rasa penat sekali, anda percaya? Kepala dikunjungi pening. Malas bertamu. Fikiran kusut. Jiwa dibebani tugas berganda. Hati rasa gelisah dan sedikit kecewa sudah agak lama tidak menulis. Barangkali kerana itulah.

3 mesyuarat berderet. Padahal baru dua hari tamat imtihan. Krisis air Rumah Johor meruncing. Air naik malas-malas. Bila naik direbut syaqah bawah. Belum sempat tiba ke sutuh sudah susut surut. Penat kepala menjangkiti badan, menvirus ke semangat merundum dan menjunam.
Saya kelip mata berkali-kali. Kalau tidak mahu rasa beban jangan ambil tugasan tambahan. Siapkan yang sudah menanti di hadapan. Kemudian, siapkan segala-galanya, satu persatu, tanpa tunggu-tunggu dan…tanpa ragu-ragu.

Saya picit kepala. Barangkali air dalam badan tidak cukup. Mata pedih. Bahang musim panas menyejat keselesaan. Badan tambah malas. Jiwa ganda letih. Hati mula merintih. Kemudian mulut sendawa angin. Tangan memicit leher. Bawah lutut gatal. Jari terkeruk-keruk.
Warta kali ini saya cuma ambil satu kolum. Mula rasa malas, tetapi mengenangkan; kalau saya melarikan diri dan boleh sahaja berehat tanpa tugas tetapi apa kesannya? Lari dari dunia penulisan macam lari dari diri sendiri. Saya beranikan diri. Saya tawar diri.

Al-Jauhar lagi. Kali ini dengan beberapa kolum berita minta dilangsai. Saya berjanji mahu selesai segera. Barangkali 8 tugasan berita @ laporan masih sedikit jika dibanding yang dulu-dulu. Ini masih kurang. Kepala geleng. Pening masih menghuni. Saya tekan sisi kepala. Sendawa sudah tidak keluar lagi.

Tetapi bukankah adat? Malas menjadikan yang ringan itu berat, dan rajin menjadikan yang berat itu ringan. Betul juga, kata hati saya. Saya duduk iq’aa’ (sambil menompang dagu di pertemuan dua kepala lutut) Sesekali dagu rasa gatal. Saya gesel dengan tajam kepala lutut. Sesekali rasa sunyi. Saya peluk lutut sendiri kuat-kuat. Rasa macam peluk diri sendiri.
Akademi Karyawan Johor dengan nama Medan Pena berlangsung esok. Saya beberapa hari asyik memikirkan perlaksanaannya. Kemudian pening hadir. Saya gagahi diri. Terlampau rajin, saya cadangkan pertandingan menulis demi merebut ‘Hadiah Pena Karyawan PMRAM 2005’. Menulis Artikel, Cerpen dan Sajak. Oh ya! Untuk yang masih menuntut di Mesir sahaja.
Itu anjuran PMRAM. Pertandingan anjuran Johor pula bakal tamat 7 Julai ini. Tidak merasa puas, saya berbincang mahu adakan program gabungan bersama akademi karyawan di sekitar Kaherah. Semua ketua setuju. PMRAM terima sahaja. Dan saya pula, perlu memikirkan gerak kerjanya pula.

Tidak memadai kalau SUKEJ ditinggal bergitu sahaja. Tengoklah bagaimana saya ‘kerjakan’ semua itu satu persatu. Sungguh-sungguh, supaya malas tidak menambah letih lelah. Ya, rajin-rajin!

al_jantanie
manhumi_ilm

No comments: