Friday, December 22, 2006

Cara Berfikir Manusia Tidak Semuanya Sama, Tasamuhlah

Tidak semua manusia itu berfikir dengan cara yang sama; barangkali kerana berbeza latar belakangnya, pendidikannya, kecenderungannya, minatnya, pengaruh sekitarnya. Apabila berbeza cara berfikir, maka keupayaan memahami juga akan berbeza. Maksud saya, keupayaan kita memahami mereka.

Kerana itu, dalam hidup ini, barangkali kita akan bertemu dengan mereka yang tidak kita fahami; tingkah lakunya, caranya membuat keputusan, sikapnya dalam situasi tertentu; barangkali seperti yang saya kata, kerana perbezaan cara berfikir. Mereka itu tidak dapat kita fahami.

Jangan emosi dan terburu-buru. Jangan cepat menghukum, dan memaksa. Jangan segera meletakkan mereka di tahap yang sama dengan kita, lalu menterjemah ketidakfahaman kita sebagai kegagalan mereka.

Sekalipun cara manusia berfikir itu berbeza, tetapi manusia semuanya masih akan bersetuju bahawa kebaikan itu benar, dan kebenaran itu benar. Dan kerana kesepakatan ini - sekalipun dalam perbezaan cara berfikir - manusia seluruhnya patut cenderung dan akur kepada teori asas seperti kewujudan Tuhan dan lain-lain, kecuali kalau kedegilan dan keras kepala menguasai diri.

Saya tidak membincangkan tentang topik-topik asas ini, kerana kita semua akan sepakat dan bersamaan. Saya membincangkan tentang selain itu. Bagaimana cara kita berfikir dalam menghadapi sesuatu, dan bagaimana kita menanggapi sesuatu.

Sekiranya kita bersikap jumud dan tidak berfikiran terbuka, kita mudah memaksa orang mengikut hanya cara kita, dan kejumudan ini akan menjadikan mereka yang lain itu salah, kita saja yang benar. Kerana kita tidak memahami mereka, cara berfikir mereka, kita memaksa mereka untuk tunduk kepada penghakiman kita, bahawa mereka itu salah, dan kita yang benar.

Saya bukan berbicara pasal hukum seperti yang tertulis dalam kitab feqah mahupun mana-mana kitab yang lain. Saya bercerita tentang cara kita bereaksi kepada orang dalam urusan am. Kejumudan dalam interaksi, hanya kerana kegagalan kita memahami mereka yang berbeza cara berfikir.

Manusia itu ketika menganggapi perkara bukan satu cara. Manusia bila memikirkan suatu perkara bukan dengan hanya suatu langkah.

Sebaik-baik cara, adalah dengan mengambil masa untuk memahami mereka. Tetapi kalau kita kekurangan masa, ataupun tidak mampu memahami mereka, bersikaplah tasamuh dan timbang rasa. Lapanglah dada dan bersopanlah. Jangan jumud dan menghukum dengan semata-mata satu cara.

Kejumudan kita akan menjadikan jurang perbezaan yang ada semakin dalam. Kita akan menukarkan parit kepada gaung, longkang kepada sungai, bukit kepada gunung, kerana sikap jumud ini. Timbanglah rasa. Bersikaplah terbuka. Saya bukan meminta kita menghalalkan yang haram, atau mengharamkan yang halal. Tetapi bersikap lebih celik dalam perkara-perkara am dan harus. Bagaimana membuat pertimbangan, dan keputusan.

Kita tidak memahami mereka. Mungkin cara berfikir kita berbeza. Ambillah masa untuk memahami, atau lapanglah dada dengan tasamuh dan timbang rasa. Manusia ini bukan hanya satu cara.

Tukar topik. Waktu ini, sekarang ini, entah kenapa saya kekok mahu menulis. Tajuk asyik bertukar-tukar. Idea bertembung dalam kepala, dan rentak berubah dalam bermacam-macam ritma.

3 comments:

anasxz said...

Saya ingin memberikan sedikit fikrah.

Seperti apa yang anda dan lain-lainnya sedang ketahui, Agama yang dianuti oleh orang Islam adalah jelas.

Kenyataan ini berdasarkan pemahaman pada fikiran saya terhadap agama yang saya anuti berdasarkan cara berfikir saya dengan batas fikiran yang tidak melepasi batasan had yang Tuhan agama itu izinkan. Jika melebihi had batasan pemikiran, kenyataan itu akan berubah.

Saya sebenarnya masih kabur dengan enteri yang saudara utarakan. Mungkin dengan titik penting yang senaraikan di sini boleh memberi kefahaman kepada saya,

1. Anda menyatakan bahawa manusia itu berfikir mengikut apa yang ada padanya dan berdasarkan latar belakangnya.

2. Manusia lain berfikir mengikut apa yang disebutkan ternyata akan berlaku perbezaan.

3. Antara sebab itulah berlaku mazhab. Dalam Al-Quran juga disebutkan, hikmah diciptakan berbeza untuk kenal mengenal.

4. Perbezaan yang anda nyatakan tidaklah terlalu jauh hingga kepada beza bangsa, mazhab dan bahasa, mungkinnya hanya sekadar di lingkungan anda yang berlatar belakangkan tidak jauh beza dari anda.

5. Ia seakan tidak memberi peluang untuk anda menyatakan fikiran anda, lantas memberi satu idea untuk anda menulis bahawa cara berfikir manusia itu tidak serupa dengan nasihat anda dengan bertasamuhlah.

6. Anda berjaya meredakan keresahan dan kekecewaan pada diri anda bahawa tidak sama semuanya cara manusia berfikir.

7. Pada hemat saya, ketidaksamaan berfikir itu rahmat, kerna jika satu fikiran, dunia tidak akan jadi seperti hari ini.

8. Untuk memberi kesamaan walau berbeza cara berfikir, beri peluang nyatakan, terima, anda nyatakan, dan anda laksanakan. Anda akan mengetahui di mana kurangnya fikiran mereka, dan apa hebatnya fikiran anda.

9. Kejumudan adalah bersebab. Mesir paling berpotensi untuk menjadikan manusia jumud sehingga tahap Firaun.

10. Insan terbuka tidak semudah-mudahnya memaksa orang mengikut caranya, kerana ia berfikiran hidup manusia bebas, dengan penerangan dan maklumat, ia akan berubah secara sendirinya dan terikut untuk bersama insan terbuka.

mohd zaki said...

:D Wah, Anas baca tulisan saya. Hu. Segannya.

Setiap tulisan ada kelompok sasaran pembacanya. Saya juga menujukan pada kelompok tersebut. Tetapi, dengan cara penulisan yang begini, (maksud saya, lembut dan umum, tetapi dalam masa yang sama, mempunyai beberapa maklumat penting,) saya meluaskan sasaran kepada semua pembaca.

Bermakna, semua pembaca membaca dan memahami berdasarkan pemahaman peribadi. Tetapi, mereka yang saya tujukan tulisan ini, mendapat info yang lebih.

Saya mahu jadikan ayat ini berlapis-lapis, biarkan pembaca memahami dalam banyak lapis maksud.

anasxz said...

ekadar suka-suka agar otak sentiasa berfikir.. tak hanya berfikir tentang diri, tetapi fikir juga tentang orang lain..