Seharusnya, kita patut belajar menghargai hati-hati orang yang selalu berfikir mahu memberi dan membantu meringankan. Kerana bertindak sebaliknya akan memberikan kerugian jangka panjang. Atau sekurang-kurangnya menyebabkan kita terbuat kesalahan yang tidak menyenangkan sesiapa saja. Lagipula kita berdepan dengan individu yang bukan ayah dan bukan ibu, yang dengan sifat penyayang mereka, walau tanpa dibalas, mereka masih boleh bersabar dan terus memberi. Hebatnya kasih ayah dan kasih ibu. Tapi bagaimana dengan insan yang bukan mereka berdua? Adakah kita mengharap mereka boleh bertindak seperti mana ibu dan ayah kita yang tidak putus memberi walau dalam apa keadaan sekalipun?
Sebetulnya, menghargai ayah dan ibu adalah sangat perlu. Menerangkan sebab adalah tidak perlu di sini kerana semua kita memakluminya. Ayah dan ibu adalah pemanjang langkah kita. Pendalam usaha kita. Banyak benda yang tak dapat kita capai tanpa pertolongan mereka, walaupun dalam beberapa hal mereka juga pendek dalam membantu. Kependekan itu mungkin adalah kelemahan, tetapi kepanjangan dan kedalaman itulah yang perlu dihargai. Yang akan menyukarkan langkah dan usaha kalau kekurangannya.
Bagaimana pula dengan orang yang saya sebutkan sebagai orang yang selalu memikirkan mahu memberi? Ada banyak juga perkara yang akan kita kekurangan atas sebab yang sama. Masalahnya, kita tidak cukup celik melihat semua itu. Selalu manusia menjadi buta dan rabun melihat perspektif ini. Ataupun sebenarnya masalah telah bermula sejak awal, sejak kita asyik tercari-cari sebab untuk menghargai orang lain. Atau sebetulnya, kita langsung tak terfikirkan mengenai orang lain melainkan diri kita sendiri semata-mata sehari-hari hingga tak ternampakkan apa-apa yang melayakkan kita memberi penghargaan kepada mana-mana orang.
Untuk adik saya, Fahmi, yang masuk ke hospital akibat ulser perut, semoga disembuhkan Tuhan segera. Lain kali jaga makanan, okey?
No comments:
Post a Comment