Salam Ramadan. Lama sudah tak menjenguk blog sendiri.
Mereka yang berakal akan mudah mendapati bahawa hiburan itu tidak semata-mata boleh didapati dalam idea yang murah, picisan, bahasa yang rendah, lawak yang entah apa-apa, bahkan dalam keberulangannya, nilai-nilai ini bukan lagi boleh menghiburkan. Ia memang boleh menghiburkan, itu tidak dinafikan, tetapi ruang lingkup hiburan bukan cetek sebenarnya. Ia jauh lebih dalam dan mempunyai capaian yang lebih luas.
Hiburan dalam erti kata boleh membuatkan kita rasa suka, gembira, tersenyum, puas, menyenangkan, melegakan bukanlah terhad kepada idea murahan dan picisan, mahupun bahasa rendah dan lawak yang entah apa-apa, tetapi boleh dicapai dalam ketinggian bahasa seperti sindiran, kiasan, susun atur kata bahkan keunikan sesuatu yang dipersembahkan.
Betapa tingginya nilai budaya dan jatidiri kita ditandakan dengan ketinggian bukan saja budi bahkan bahasa, masuk ke dalam semua aspek termasuk kata-kata dan persembahan, bisa saja menghiburkan jika betul cara dan gayanya. Bukankah itu juga menandakan ketinggian peradaban dan intelek yang tidak dapat dicapai oleh mereka yang sebaliknya.
Kalaulah ketawa dan gelak itu menandakan ketinggian nilai hiburan, ia juga boleh didapati dalam sindiran yang mempunyai unsur humor. Kiasan, susun atur kata dan keunikannya juga boleh membuatkan kita bukan saja terhibur bahkan berfikir dan menggunakan akal untuk mencernakan maksud disebaliknya, sebelum kita boleh tersenyum dan ketawa. Bukankah hiburan jenis setinggi ini bukan bawahan, tetapi memerlukan daya intelek dan ketinggian peradaban, bahasa dan budi?
Kerendahan bahasa dan lawak yang entah apa-apa akan memaparkan tahap yang sebaliknya. Walaupun dalam menilaikan kekreatifan ia punya nilai dan ada juga erti usaha dan buah fikiran, namun ia tidak setanding bila dibanding dengan ketinggian budi dan keindahan intelek dalam hiburan yang saya sebutkan tadi. Jadi, buatlah pilihan.
Seorang kawan pernah membangkitkan mengapa dia berminat dengan filem-filem Inggeris dan bukannya filem Melayu hanya beralasankan nilai maksud yang terkandung pada skrip cerita itu juga dialog-dialog yang mengesankan kepada minda dengan keindahannya, semua itu menghiburkan. Saya dalam hal ini tidak mahu merendah-rendahkan mana-mana pendapat tetapi lebih suka menilai bukan setakat di permukaan saja tetapi juga ke dasarnya.
Kita boleh meningkatkan mutu hiburan kita ke tahap yang saya sebutkan tadi, sekiranya kita mahu, dan kalau tidak, siapalah saya untuk melevelkan anda.
No comments:
Post a Comment