Wednesday, November 07, 2007

Hari Baca Novel

Sebetulnya saya tidak mahu perasaan yang bercampur-campur ini mengganggu apa yang saya rancang. Apatah lagi saya tiba-tiba tidak begitu sihat. Walaubagaimanapun, ia rancangan untuk program yang berjarak jauh dari sekarang, dan perlu dimaklum awal, saya taipkan saja.

Hari Baca Novel. Begitu ia dinamakan. Selepas imtihan fasal awal, begitu ia dikirakan. Terbuka kepada semua penulis, pembaca, peminat sastera Melayu, begitu ia disasarkan. Tempat dan tarikh yang tepat akan dimaklum kemudian, begitu ia diputuskan. Buat masa ini.

Pengisian program tidak rasmi ini sebenarnya sangat mudah. Walaupun tiada perasmian tapi ada ummu l-kitab, walaupun tanpa pengerusi majlis tapi ada penyelaras, perhimpunan ini sebenarnya memberi peluang semua bertukar-tukar novel untuk sekurang-kurangnya tiga jam. Insya-Allah, selepas meminjam satu buku masing-masing boleh mencari sudut selesa masing-masing untuk melangsaikan bacaan dalam tiga jam.

Kerana jumlah buku yang terhad, maka perhimpunan ini dapat memberi peluang pecinta buku membaca melangkaui bahan milikan peribadi, menelaah buku melampaui sempadan muhafazah yang pelbagai, kerana yang berhimpun juga berkongsi niat dan keinginan yang sama - membaca novel orang lain, juga memberi pinjam bagi yang ada.

Dan, seperti yang ada saya bangkitkan dalam Kelap sebelum ini, novel sasaran kita tentulah bukan novel pop dan picisan. Saya ada senarai novel yang insya-Allah akan boleh dikongsi oleh beberapa orang sahabat kita. Anda juga kalau ada, boleh maklumkan pada saya juga. Dan, tolong sebar-sebarkan pada semua. Ikhwah akhawat. Yang berminat.

Dan ya, Faisal Tehrani ada berkata keinginannya berziarah ke sini, tapi entah bila tarikh belum pasti.

1 comment:

MZP said...

Siapa yang ingin turut serta, juga yang mahu sumbang buku, dan mahu mengetahui senarai novel-novel yang insya-Allah boleh sama dikongsi pada Hari Baca Novel ini boleh emel terus kepada saya di emel mohd.zaki.m.noor@gmail.com