Saturday, January 26, 2008

Kegilaan Di Musim Pesta Buku Antarabangsa

Maarad Kitab Kaherah. Atau lebih mesra, Maarad Kutub. Kali ke 40. Atau dipanggil Pesta Buku Antarabangsa. Ikutlah anda suka yang mana.

Musim pesta buku ini memang bisa membuatkan orang gila. Gila dalam erti kata yang pelbagai dan berbeza. Kalau tidak terasa gila, itu barangkali belum biasa, atau belum terjebak sama.

Bagi pecinta, pastinya cintanya ada sasaran, dan sering membuatkan ia teringat. Cuma dalam mana dia boleh menyeluk saku sendiri, akan dibanding beza dengan dalam mana niat membacanya. Ada juga yang menjadi gila pada buku, hingga sanggup membantu kawan-kawan beli dengan menjadi ejen. Jadilah, gila jual.

Walaupun ada juga yang menjadi gila, kerana tak dapat membeli. Kerana dalamnya cinta, dan tebalnya halangan. Ini gila cinta terlarang. Ada juga yang menjadi gila untuk berjumpa penerbit, penulis dan pengedar buku. Itu satu pengalaman dan kegilaan yang menarik juga. Ia boleh dinamakan, gila sumber asal, atau skunder.

Tetapi, gila kerana tak tahu apa yang patut dibeli satu kegilaan juga. Resah dan serba salah. Ini dipanggil gila gundah. Bahkan gila kerana tak tahu apakah buku yang bagus, sehingga kalau-kalau tak beli pun boleh juga pinjam. Ini saya bagi nama gila buta.

Tapi, ada juga yang menjadi gila kirim di musim pesta ini. Malas nak ke maarad dan bersesak-sesak, jadi berkirim saja dengan kawan. Pantang ada, kirim. Pantang celah, kirim. Dan ada yang gila untuk kirim ke Malaysia. Sibuk dah terfikirkan, berapa kotak akan habis untuk menghantar kitab ke Malaysia, walaupun boleh saja ia dibayar ketika penerimaan dibuat di Malaysia. Namakan saja gila kirim.

Kegilaan musim pesta bukan itu saja. Gila bergambar dan gila bersiar-siar. Melihat ragam dan perangai manusia. Itu ada juga. Gila suasana. Ada juga yang gila promot. Jumpa kawan A, promot kitab A. Jumpa kawan B, promot lagi kitab A. Hingga setiap orang yang dijumpanya dipromot. Itu gila promot.

Belum lagi anda berjumpa dengan gila debat. Bergaduh apakah kitab yang bagus, dan apa yang kurang bagus. Apa yang patut, dan apa yang kurang patut. Dari sudut penulis, cetakan, kualiti, harga dan lain-lain. Sebahagiannya pula menjadi orang yang gila tanya. Kerana tak tahu kitab apa yang bagus dibeli, maka tanya dengan beberapa jenis orang dan beberapa jenis bidang. Ada juga yang gila catat; catat nama buku, catat nama pengarang. Dan ada juga yang catat harga, untuk banding beza.

Dan kegilaan sebenar ketika berhadapan dengan buku, adalah gila ziarah. Oleh kerana banyak maktabah, dan banyak solah, maka berpindah dari satu ke satu yang lain. Bukan gila apa, tapi gila ziarah. Ada juga yang gila harga. Tanya maktabah A, berapa harga kitab B. Tapi tak beli. Kemudian ke maktabah lain untuk tanya harga kitab yang sama, untuk memastikan harga.

Dan tak lupa, pada golongan yang paling menarik perhatian. Gila beli. Dalam kepala atau di atas tangan sudah ada senarai kitab, dan lebih penting lagi, ada fulusnya. Jumpa, beli, angkat. Jumpa, angkat, beli. Dan di hujung-hujung maarad ini kelak, ada yang jadi gila kira. Berapa sudah habis, berapa sudah beli, berapa aku jimat, berapa aku rugi, dan berapa-berapa yang lain.

Gila tidak tamat di ditu saja. Ada juga gila satu muka. Jumpa kitab, selak dan baca. Baca satu baris, tutup, selak kitab yang lain. Tak kiralah sama ada pada kitab di maktabah, atau kitab yang kawan sudah beli. Ada juga gila rambang mata. Tengok kitab sini, tengok kitab sana. Isi tak sempat dijamahnya. Semua pun bisa membuatkannya jadi rambang mata. Itu belum lagi gila talak. Bila buku yang hendak dibeli terlepas pula. Habis di pasaran. Pasal terlambat beli. Atau terlupa hingga ke akhir maarad.

Ini belum campur gila salah beli. Ibarat lelaki yang sesal ambil kakak, sedang adik lagi mengancam. Atau ibarat lelaki rasa rugi ambil mak, padahal ada anak. Atau gila kerana terlebih beli, dan ingin jual semula. Ini gila sasul. Atau gila terlajak. Kemudian menyalahkan kegesaan sendiri, terlalu gesa bila membeli.

Dan, yang terakhir tentulah gila baca. Ini yang paling menarik antara yang menarik. Bagi sayalah. Kerana kegilaannya adalah kebenaran.

Dalam kegilaan itu, banyak yang pernah dirasa atau dilihat. Tentulah, kerana saya orang biasa. Manusia dan kegilaan adalah satu kelaziman. Tetapi ramai yang selalu mengaku waras. Dalam erti kata yang berbeza. Memang. Pesta buku memang bisa membuatkan orang gila. Adakah anda juga?

2 comments:

Ibnu Ali said...

Salam

Zaki, aku sekarang gila cinta terlarang, mana taknya dalam poket ade 2 genih. Tambang bas pun belum tentu lepas. Moga2 dilimpahi rezeki sebelum maarad tutup.

Mohd Zaki M.Noor said...

:D

kalau duit dah melimpah nanti, bolehlah belanja aku pula.

:D