Majalah: SUKEJ
Edisi: 110
Kolum: Kritikan Sastera
Genre: Artike
Terbitan: Mac 2007
Oleh: Mohd Zaki M.Noor
Meneliti 'Sinar Hati Kama' karya Mohamad Fairuz Tamjis mempamerkan penggunaan bahasa pasar dengan ejaan sesuka hati. Lihat ejaan 'ker' dalam ayat (…sampaikan aku ajak minum pun kau tak dengar, ada musykilah ker?)
Sebaiknya, penulis menggantikan dengan lafaz 'kah'. Ia lebih sesuai. Lafaz 'ker' tidak wujud hattakan dalam kamus. Sekalipun mahu menggunakan ia secara 'pasar', ejalah dengan lafaz 'ke'. Begitu juga apabila mengeja kalimah 'ye', seharusnya digantikan kepada 'ya'.
Penulis tidak mengakrabi kamus apabila mengeja beberapa kalimah dengan ejaan yang salah. Lafaz 'kuliyah' seharusnya dieja sebagai 'kuliah', kerana begitulah ejaan yang didaftarkan dalam Kamus Dewan.
Kesalahan penggunaan huruf kecil dan besar ketara amat. Lihat kesilapan itu dalam ayat ini. (Aku Terkejut.) Apakah wajar huruf besar digunakan di tengah-tengah ayat, sedangkan ia bukan nama khas? Huruf T seharusnya ditulis dengan huruf kecil.
Penulis juga (secara sesuka hati) telah menggunakan huruf besar pada lafaz (dia) dalam ayat berikut (Ada orang kata istikharohku sudah tidak berguna. Kerana dalam hatiku hanya ada Dia.) 'Dia' yang dimaksudkan dalam ayat adalah 'Sara'. Mengapa ditulis dengan huruf besar padahal haknya adalah huruf kecil?
Lihat betapa lafaz yang seharusnya dieja dengan huruf besar dieja pula dengan huruf kecil. (Bukan sara sengaja menolak lamaran Afif). Nama khas semestinya dieja dengan huruf besar.
Kesalahan seterusnya adalah apabila penulis menggabungkan dua dialog dalam satu perenggan. Dua dialong tersebut seharusnya dipisahkan kepada dua perenggan. Lihat perenggan itu di bawah ini.
(“Maksud kau Sara?” Sahut Akhmal keliru. “Ye Mal. Sara yang aku kenal rupanya sudah berpunya.” Berat lidahku ingin meneruskan bicara.)
Penulis tidak peka dengan kesalahan tanda baca. Lihat ayat (“Dari mana kamu tahu” Aku bertanya meminta penjelasan.) Penulis tidak menzahirkan tanda soal, sedangkan ayat itu terang-terangan adalah ayat soal. Dalam perenggan yang sama juga, kita dapat lihat dua dialog digabungkan dalam satu perenggan.
Ayat (“Ah… malunya.” Batinku menjerit.) tidak seharusnya ditulis dalam pembuka kata dan penutup kata, kerana ia adalah jeritan hati. Jeritan hati bukanlah dialog. Dialog hati harus ditulis begini. (Ah… malunya, batinku menjerit.)
Tanda baca seperti tanda seruan mahupun tanda tanya, seharusnya diletak sebelum penutup kata. Lihat (“Ataupun kamu juga ingin bermut’ah denganku”!!?). Ayat ini seharusnya ditulis (“Ataupun kamu juga ingin bermut’ah denganku?"). Tanda soal perlu diletakkan di dalam penutup kata, dan bukan di luarnya.
Bahkan, tanda soal sudah memadai dan tidak perlu kepada tanda seruan di tempat yang sama. Tanda soal sudah mempunyai ritma dan nadanya, dan ia adalah berbeza dengan ritma dan nada tanda seruan. Kita tidak menyeru sesuatu dan dalam masa yang sama menyoalnya.
Lihat juga (“Boleh Pak Cik masuk”?) Tanda soal seharusnya diletakkan sebelum penutup kata. Frasa (ku rasakan) seharusnya dieja rapat menjadi (kurasakan), (ku jauhi) perlu dieja sebagai (kujauhi) begitu juga frasa (kawan-kawan ku) seharusnya dieja (kawan-kawanku)
Pembaziran penggunaan perkataan terlalu ketara dan dilakukan tanpa penjimatan yang sewajarnya. Cerpen sepanjang 6 muka word sebenarnya boleh dikurangkan kepada 4 atau 5 muka dengan membuang beberapa ayat dan perenggan yang tidak membantu penceritan. Penulis telah melakukan pembaziran apabila memasukkan dialog (“Rileks laa kawan! Apa main jiwa-jiwa ni”!! Ayat yang sering ku lafazkan dahulu) sedangkan intipati maksud lafaz tersebut telah dijelaskan dalam ayat yang sebelumnya (Dulu aku sering mengutuk kawan-kawan ku yang sedang dilamun perasaan begini.) bahkan dalam ayat yang selepasnya (Namun kini semuanya terpalit padaku sendiri.)
Begitu juga apabila memasukkan petikan lagu yang panjang dan berjela-jela, dan dalam masa yang sama, maksud yang tersebut telah dinyatakan dalam perenggan-perenggan sesudahnya. Di sini memperlihatkan, betapa unsur lewah telah berlaku, dan kelihatan 'berleter-leter'.
Beberapa tip perlu diperjelas kepada penulis-penulis baru. Pernahkah anda berjumpa dengan perkataan seperti (hidayahNya) dan (petunjuk Mu). Sepatutnya, kata ganti diri (nya) dan (mu) haruslah dirapatkan kepada kalimah sebelumnya. Namun, (nya) dan (mu) adalah kata ganti bagi 'Allah', dan berhajat kepada penggunaan huruf besar. Apa yang perlu dilakukan adalah dengan meletakkan tanda sempang seperti berikut. (hidayah-Nya), (petunjuk-Mu).
Persoalan pertama selepas semua ini adalah, apakah setinggi itu sahaja mahasiswa seperti kita mengungkapkan tema 'mut-'ah' di dalam karya? Rasanya, terlalu 'sayang' apabila kita hanya menceritakan 'cinta' secara panjang lebar, tetapi mengupas ilmu 'mut'ah' secara tipis, ala kadar dan ringkas. Mengapa tidak menjadikan 'mut-'ah' sebagai fokus penceritaan, dan cinta sebagai sampingan? Barangkali, ia lebih wajar dengan sebeban ilmu yang kita miliki, bukan?
Kedua, cerpen menekankan aspek 'penjimatan' sehingga tidak 'berleter-leter', memadai sekiranya ia telah jelas. Lakukan perpindahan dari babak ke babak dengan segera dan jauhi unsur lewah.
Apapun, tahniah kepada penulis kerana memahami latar masa dengan baik. Ada juga imbas balik dalam karya yang memberikan kesan tersendiri.
No comments:
Post a Comment