Majalah: SUKEJ
Edisi: 110
Kolum: Tumpuan
Genre: Artikel
Terbitan: Mac 2007
Oleh: Mohd Zaki M.Noor
Banjir yang melanda negara kita beberapa ketika dulu sudah cukup untuk membangkitkan persoalan; adakah dunia ini selamat didiami lagi? Tidak kira di mana kita berada, kita dikepungi lautan dengan 70 peratus permukaan bumi adalah air. Maka, kewujudan air sangat berkait rapat hampir pada setiap aspek kehidupan, lebih-lebih lagi aspek keselamatan dan nyawa.
Kesan paling buruk yang boleh dibawa oleh banjir adalah kehilangan nyawa. Sama ada kerana lemas, tercedera akibat banjir, putus bekalan makanan, putus bekalan air bersih, penyakit dan ketiadaan ubat, kesukaran menemui doktor, bahkan keganasan dan rampasan barang keperluan asasi akibat kekurangan dan keterdesakan mangsa-mangsa banjir. Semua itu mungkin. Bagaimana sekiranya air naik dan tidak surut-surut? Bukan saja boleh membunuh manusia, bahkan boleh melenyapkan negara.
Kesan paling buruk yang boleh dibawa oleh banjir adalah kehilangan nyawa. Sama ada kerana lemas, tercedera akibat banjir, putus bekalan makanan, putus bekalan air bersih, penyakit dan ketiadaan ubat, kesukaran menemui doktor, bahkan keganasan dan rampasan barang keperluan asasi akibat kekurangan dan keterdesakan mangsa-mangsa banjir. Semua itu mungkin. Bagaimana sekiranya air naik dan tidak surut-surut? Bukan saja boleh membunuh manusia, bahkan boleh melenyapkan negara.
Kerosakan harta benda sudah membayangkan kesannya kepada ekonomi manusia. Sekurang-kurangnya, kita memerlukan belanja dalam jumlah yang sama untuk mengembalikan keadaan kepada sediakala. Bank, premis perniagaan, semuanya mengalami kerugian teruk bukan sahaja kerana kerosakan harta, bahkan kerana aktiviti perniagaan yang terhenti.
Apabila barangan yang seharusnya dijual tidak dapat dijual, bahkan kerosakan barangan juga berlaku, maka ia menyebabkan kerugian di pihak peniaga. Syarikat yang menyertai bursa saham akan terjejas dan menyebabkan pelabur merasa tidak selamat dan mula mengalihkan modal kepada negara-negara lain sebagai alternatif. Justeru, minat pelabur yang luntur akan menyebabkan kesan yang lebih buruk kepada industri pelaburan dan tidak mustahil, krisis kewangan tahun 1999 boleh berulang.
Maka, banjir yang melanda Johor secara dahsyat bukan saja memberi kesan buruk kepada negeri Johor, bahkan memungkinkan risiko kepada ekonomi negara kita seluruhnya. Walaupun ini cuma logika sebab dan musabbab, namun risiko ini tidak harus dipandang remeh.
Banjir juga mengancam kesihatan. Bermula dari kegagalan fungsi hospital dan farmasi, berlanjutan kepada penularan penyakit-penyakit berjangkit. Penyakit seperti cirit-birit, taun, demam kepialu, denggi, hepatitis A dan kudis buta menjadi ancaman akibat daripada bahana banjir yang menjejaskan kebersihan makanan, minuman, persekitaran. Bahkan kesesakan di pusat-pusat pemindahan mangsa banjir turut memudahkan penularan sebarang penyakit berjangkit.
Penyakit Leptospirosis yang mula menyerang dengan dua kes kematian dicatat pada awal Januari 2007 adalah berpunca daripada bakteria Leptospira yang didapati daripada air kencing haiwan berdarah panas di mana penyakit ini boleh merosakkan organ dalaman manusia. Bakteria yang tersebar melalui air banjir mengancam keselamatan kerana penularan yang tidak terkawal.
Sekolah yang menjadi tempat penempatan sementara mangsa banjir turut terpaksa ditutup. Akibatnya proses pendidikan terganggu dan menghadapi masalah. Murid-murid dan pelajar tidak dapat ke sekolah dan proses mengajar terbantut di tengah-tengah. Keadaan boleh menjadi lebih buruk yang membabitkan masa depan generasi kecil kita.
Realitinya, banjir bukan saja memberi kesan buruk kepada semua mangsa yang terlibat, bahkan ia juga memberi kesan kepada kesedaran manusia terutamanya, dalam persiapan menghadapi banjir. Banjir telah membuka mata kita berkenaan sistem perparitan yang dilaporkan bermasalah, serta beberapa aktiviti pembalakan yang tidak terancang. Dakwaan tambakan pasir oleh Singapura menyebabkan banjir juga mendapat perhatian yang tidak sedikit, sekurang-kurangnya banjir telah menyebabkan kita lebih peka kepada banyak perkara yang sebelum ini lebih bersifat tersembunyi.
No comments:
Post a Comment