Islam itu adalah tiga komponen membentuk satu. Iaitu apa yang kita panggil sebagai akidah, syariat, dan tasauf. Itulah yang dijelaskan dalam hadis Jibril yang turun bertanya kepada Nabi (atau sebetulnya bertujuan mengajarkan para Sahabat) tentang tiga hakikat utama ini; dengan menggunakan lafaz istilah yang berbeza iaitu, iman, islam dan ihsan.
Istilah dalam hadis (iman, islam dan ihsan) ini adalah sepakat. Dan setelah perkembangan seni ilmu, maka kita namakan dengan istilah akidah, syariat dan tasauf. Iman atau akidah adalah pegangan dan iktikad. Ia adalah asas paling tunjang, dan dasar paling utama, bahkan ciri yang membezakan antara seorang muslim dengan bukan muslim. Kerana itu ia sangat penting, sangat jitu, sangat berhati-hati.
Pembuktian dalam permasalahan akidah juga memestikan dalil yang qat-'ii (putus), bukan dzonni (syak). Mestilah yang mutawatir (riwayat ramai kepada ramai), bukan ahad (riwayat tunggal). Berbeza dengan pembuktian syariat, dalil yang digunakan bukan semata-mata qat-'ii, bahkan dzonni juga boleh digunakan, dengan panduan dan ahliah (kelayakan) tertentu.
Kerana itu, permasalahan akidah jauh lebih serius daripada permasalahan syariat. Kita tidak boleh khilaf dalam masalah akidah, tetapi dalam beberapa masalah syariat kita boleh khilaf. Permasalahan wahabi adalah daripada golongan jenis ini. Kerana itu fahamannya perlu disekat. Dan kerana itu saya kecewa dengan beberapa tokoh agamawan yang juga politikus yang semacam memihak kepada orang yang berpendirian seperti ini.
Pun begitu, kita bukan ekstrimis yang menghalalkan darah semua orang yang bukan kita. Kita belajar dakwah dan menarik orang kepada yang hak. Namun apabila marah, kadangkala marah itu memberi kesan kepada lafaz hingga terkeluarlah lafaz-lafaz yang agak keras mengkritik golongan ini. Barangkali kerana kita manusia yang punya perasaan, dan bukan robot yang boleh mengasingkan antara idea dan rasa.
Saya setuju bahawa menjaga lidah adalah perlu. Saya juga setuju bahawa dakwah secara hemah adalah perlu. Tetapi saya juga berpegang bahawa, permasalahan seserius akidah ini bukan perkara kecil, kerana haknya adalah hak Tuhan, dan permasalahan berkaitan akidah adalah menentukan siapakah yang layak disembah sebagai Tuhan, bahawa Tuhan adalah Allah, yang suci dari segala kekurangan, suci dari menyerupai makhluk, dan bersifat dengan segala sifat kesempurnaan.
Kerana itu, berasa marah adalah sangat perlu. Kalau anak dara anda dikacau di tengah jalan, anda akan marah kerana hak maruah anak dara anda diuji. Bagaimana dengan hak Tuhan dalam permasalahan ini? Anda tidak marah? Itu bukan sifat yang harus anda pegang. Adapun tindakan yang harus anda ambil adalah perkara seterusnya. Saya bukan mempertahan orang yang mengeji, dan lafaz itu saya percaya memberi kesan buruk kepada pembaca dan pendengar, tetapi secara jiwa dan psikologinya kita harus faham dari manakah keluarlah lahar, dan dari permasalahan ini.
Istilah Islam dalam hadis Jibril ini, bukanlah istilah Islam yang menjadi nama agama. Islam dalam hadis Jibril adalah merujuk kepada syariat Islam. Iaitu merujuk kepada pengamalan zahiriah dan anggota. Bahawa Islam mengambil berat sisi zahir, dan dalam masa yang sama mengambil berat sisi batin. Bahawa kita ini adalah makhluk yang mempunyai kedua-dua sisi; zahir dan batin, jasad dan ruh, otak dan akal, jantung dan perasaan, hormon dan nafsu. Kerana kita bukan robot. Kerana itu. Kerana ini.
Permasalahan syariat, atau disebut juga feqh, merujuk kepada amal zahir. Amal zahir ini, sebahagiannya adalah sangat serius dan tidak boleh khilaf, dan sebahagiannya boleh menerima perselisihan. Itulah yang orang syariah gelar usul (pangkal), manakala yang boleh menerima perselisihan kita gelar furuk (cabang). Cubaan saya memaknakan beberapa istilah adalah untuk memudahkan pembacaan, bukan menjelaskan secara detail akan hakikat maknanya. Penjelasan detail harus dibaca dalam bidang dan seninya.
Istilah ketiga iaitu ihsan, atau apa yang kita gelar tasauf adalah perbahasan mengenai amal batin. Mungkin kita pernah mendengar penolakan terhadap istilah ini. Istilah adalah ciptaan kita. Tetapi apa yang sabit adalah mahiyah (keapabendaannya) itu. Bahawa amal batin ini adalah sangat penting, yang membeza tingkatan para muslim dan mukmin. Barangkali secara zahir kita lihat perbuatan dua orang adalah sama dan serupa, tetapi nilai batin boleh menjadi pembeza.
Adapun penolakan orang terhadap istilah ini, adalah kerana ketidaktahujelasan mereka tentang hakikat sebenar. Sama seperti Islamfobia yang menganggap Islam ekstrim semata-mata kerana kesalah-amalan sesetengah penganut Islam, lalu Islam ini seluruhnya dilabel begitu. Dalam apa keadaan sekalipun, amal batin ini adalah sabit, dan mesti, bahkan menjadi ajaran yang penting hingga diperintahkan untuk diajarkan kepada para Sahabat dan kita semua.
Bahawa saya, apabila menulis ini terkenangkan betapa ketidaklayakan saya menulis perkara sesuci ini dengan tangan saya yang saya ini insan yang banyak dosa, tetapi tanggungjawab ini sudah saya jelaskan. Jadikanlah wahai Tuhan tulisan ini sebagai amal perbuatan baik di mizan hasanat kelak, atau sebagai penambah tingkat di syurgamu, atau penebus dari api nerakamu. Bahawa saya sudah menyampaikan hak dan mempertahankan agama-Mu. Allahumma -shhad.
No comments:
Post a Comment