Ketika saya sangat marah, atau terkilan yang amat, saya selalunya membalas perasaan seperti itu dengan menilai diri - apakah yang saya telah lakukan pada orang lain, sehingga saya diuji seperti ini - lalu kenangan dan memori dulu mula timbul dari dasar silam ke permukaan kesedaran kini.
Antara memori yang timbul, adalah betapa saya ketika dahulu sangat tidak beradab kepada guru. Mungkin saya diuji ketika itu dengan sifat sombong, lalu keinginan mendahului wujud bermula dari kawan sebaya, kemudian kawan lebih berusia, hinggalah saya berasa ingin mendahului guru. Saya pernah berdebat dengan guru hingga terkadang saya memalukannya tanpa saya sedari. Kemudian saya bangga kerana dapat mendahului guru saya konon-kononnya.
Saya tidak dibalas ketika itu juga. Tetapi diberi peluang untuk menyedari kesalahan diri, ditegur oleh murabbi bahawa tindakan saya itu salah, walaupun niat untuk mengkaji lebih dalam itu betul. Bila terfikirkan hal ini, barulah saya sedar, sedalam mana pun ilmu saya, tapi dalam adab, saya barangkali seorang kanak-kanak kecil. Patutkah saya katakan bahawa ada yang kurang dalam sistem pendidikan kita? Atau kerana saya yang tercicir tarbiah tersebut?
Saya bersyukur ditemukan dengan seorang ustaz yang langsung memancung ego saya sejak minit-minit pertama saya belajar dengannya. Bahawa saya terkenangkan, bahawa seorang seperti saya ketika itu yang mempunyai (secebis) ilmu, belum tentu mempunyai adab. Dia pernah bertanyakan satu soalan yang masih saya teringatkannya sehingga sekarang - adakah awak pernah terfikir awak lebih pandai dari cikgu-cikgu awak?
Saya ke Mesir beberapa tahun selepasnya. Menyambung pengajian di Universiti al-Azhar. Di sinilah saya menerima tarbiah azhar yang pertama, iaitu, jangan sombong. Ketika itulah saya merasa seperti sayalah manusia paling bodoh kerana merasa diri paling pandai. Keyakinan yang saya bina setinggi gunung - di Malaysia - cuma menjadi kondominium di sebelah bukit yang gondol. Apabila ilmu mencurah turun seperti hujan, bangunan yang mencakar langit itu akhirnya menyembah bumi.
Peseklah hidung saya yang tinggi. Terbenamlah dada saya ke dalam. Barulah saya sedar, bahawa mumtaz di Malaysia tidak pernah bernilai lebih daripada maqbul di Mesir. Atau barangkali kurang daripada itu. Teori-teori ilmu yang saya karang satu ketika di Malaysia terlalu banyak yang kurang tepat. Saya hampir-hampir terduduk bila mengenangkan kealangkahannya hal ini. Alangkah-alangkah yang membuatkan saya sedar silapnya saya selama ini. Tapi saya bersyukur disedarkan akan hakikat. Saya fikir, kalaulah tidak ke Mesir, mungkinkah saya akan kekal dengan salah sangka yang tidak menepati yang sebenarnya pun.
Kerana itu saya kecewa dengan sikap sesetengah orang yang baru pandai sikit, sudah sombong. Baru tahu lebih sikit, sudah meninggi diri. Baru faham dalam sikit, sudah lupa dari siapa mereka menimba ilmu. Tetapi saya pantas teringatkan hal saya dulu, betapa mungkin kecewanya guru saya dan marahnya mereka. Saya ternampak diri saya dalam mereka, lalu memori yang terbenam jauh perlahan-lahan timbul menjadi cermin, memantulkan rupa diri sendiri. Ya Allah. Ampunkanlah aku, berkatilah guru-guruku, pimpimlah anak buahku, dan himpunkan kami dalam taufiq dan kebenaran-Mu.
No comments:
Post a Comment