Friday, January 08, 2010

Jawapan Yang Sepatutnya Ringkas Tetapi Menjadi Panjang Berhubung Hak Nama Allah

Apabila saya terdengar dakwaan bahawa orang Kristian lebih berhak menggunakan kalimah 'Allah' lebih daripada orang Islam, saya menjadi pelik dan bila difikir-fikirkan mendalam, seperti tidak percaya. Mereka mendakwa bahawa mereka, yang berkitabkan Injil yang turun dalam Bahasa Ibrani/Hebrew/Ibriah lebih layak menggunakan kalimah 'Allah' lebih daripada orang Islam yang berkitabkan al-Quran yang turun dalam bahasa Arab.

Adalah penting untuk memahami bahasa kalimah 'Allah' bukan bahasa Melayu. Tetapi diimport masuk ke dalam bahasa Melayu, atau sebenarnya, kalimah ini adalah kalimah agama yang tidak dimelayukan, tidak diinggeriskan, tidak dijawakan atau dibahasa-apa-apa-kan sekalipun. Atau ia adalah nama khas yang tak diubah-ubah. Bagaimana mereka yang mendakwa mereka menggunakan Injil lebih layak menggunakan kalimah 'Allah' lebih daripada orang Islam yang berkitabkan al-Quran yang turun dalam bahasa Arab?

Persoalannya, adakah Injil itu turun dalam bahasa Arab? Tentu tidak. Adakah dalam Injil yang berbahasa Ibrani itu mengunakan lafaz Allah apabila menyebut mengenai Tuhan? Oleh kerana saya tidak pernah membaca Injil (bukan Bible) dan tidak tahu bahasa Ibrani, maka lebih selamat saya kata tidak tahu. Tetapi sejauh yang saya pernah dengar, ia tidaklah dibunyikan dengan lafaz Allah, tetapi Alohem. Itu yang saya dapat capai dalam penjelasan beberapa orang mengenai bahasa Ibrani yang saya tidak ketahui ini.

Tetapi apa yang menariknya, adakah perkataan Allah itu bahasa Arab? Ia adalah perbahasan yang panjang. Apa yang jelas, ia memang kedapatan seperti mana lafaznya dalam al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab, dan layak kita gelarkan adalah sabit bahasa Arab. Memang terdapat perbahasan mengenai kalimah ini, adakah ia daripada bahasa Arab, atau ia berasal daripada bahasa lain.

Apabila merujuk kepada permasalahan bahasa, saya bentangkan sedikit. Pertama, alif lam dipangkal kalimah Allah, adalah salah satu tanda yang membolehkan kita kenal bahawa kalimah yang berpangkalkan alif lam, adalah kata nama, kerana alif lam tidak boleh berada di pangkal kata kerja, kecuali alif lam mausul yang bermaksud allazi. Kedua, ada ulamak mengatakan bahawa kalimah Allah berasal daripada ilaah, kemudian ditambah alif lam jadilah al-ilaah, kemudian dibuangkan i lalu dibaca sebagai Allah.

Mengambil pendapat ini, kita dapati bahawa ilaah itu membawa maksud "yang layak disembah sebenar-benarnya". Saya tidak pelik kalau mereka mendakwa bahawa layak menggunakan kalimah ilaah, sebelum ditambahkan alif lam. Atau kalau mereka mendakwa lebih layak menggunakan kalimah iil yang bermaksud Tuhan dalam bahasa mereka. Tetapi apa yang saya pelik apabila mereka mendakwa lebih layak menggunakan alif lam ini sekaligus merupakan salah satu ciri bahasa Arab.

Ketiga, ada ulamak mengatakan bahawa kalimah Allah berasal daripada kalimah Laah (lam alif ha) dan apabila ditambah alif lam, maka jadilah Al-Laah (Allah). Namun, adakah Laah ini berasal dari laaha yaliihu yang bererti tinggi, atau berasal dari laaha yaluuhu yang bererti terhijab atau terselindung. Sekali lagi, tidak pelik kalau mereka mendakwa bahawa mereka layak menggunakan laah (kalaulah ia ada dalam bahasa mereka),

Apa yang paling menarik mengenai perbahasan bahasa Arab dan Hebrew/Ibrani/Ibriah ini, apabila kita meneliti hakikat bahawa bahasa Arab dan bahasa Ibrani ini adik beradik yang digolongkan dalam kelompok yang sama. Bererti, berasal daripada rumpun yang sama. Atau dalam bahasa yang mudah, bahasa Arab ini adik beradik dengan bahasa Ibriah, berkongsi bapa dan ibu, tetapi tidak dapat dipastikan siapakah bahasa bapa dan ibu ini.

Apabila direnungkan, kalimah "Arab" berasal daripada huruf 'ain-ro-ba, dan begitu juga Ibriah, berasal daripada 'ain-ba-ro" (membentuk ibr) dan ditambah ya dan ta menjadi ibriah, seperti mana bahasa Arab ditambah ya dan ta menjadi Arabiah. Apatah lagi kalimah 'ain-ba-ro ini di dalam bahasa Arab bererti melintas, menyeberangi, sesuai dengan tabiat orang Arab yang ketika di zaman permulaannya suka berhijrah dan hidup berpindah-randah.

Itu membuktikan ke-adik-beradik-annya dua bahasa ini. Tetapi ia tetap bahasa yang berlainan. Belum lagi apabila kita memandang pendapat ulamak yang keempat, yang mengatakan bahawa kalimah Allah itu bukanlah berasal daripada Laah, dan bukan berasal daripada ilaah, tetapi memang ia asal dan tidak boleh diceraikan. Pendapat ini merujuk kepada sifat alif lam yang boleh ditambah dipangkal kata nama, dan boleh juga dibuangkan. Seperti contoh madrasah, apabila ditambahkan alif lam jadikan almadrasah, dan apabila dibuangkan jadilah madrasah.

Oleh kerana itu, alif lam ini boleh ditambah dan boleh dibuang, tetapi adakah kita mendapati walaupun sekali kalimah Allah ini diceraikan daripada alif dan lam-nya? Tidak pernah. Maka, alif lam ini bukanlah tambahan, bahkan ia adalah huruf asal yang tidak boleh diceraikan, dan andai diceraikan, maka ia bukan lagi nama Allah.

Pandangan saya secara peribadi, kalau merujuk kepada lafaz iil yang bererti tuhan dalam bahasa mereka, maka kita mendapati tidak wujud ha di akhirnya, dan kalaulah ditambahkan maka jadilah iilah, dan ilah dalam bahasa Arab bukanlah Allah. Kalaupun ditambahkan ha di akhirnya, maka apakah sebabnya dan apakah maknanya? Atau lebih penting lagi, adakah ia wujud dalam kitab Injil? Ini belum campur persoalan, adakah kitab Injil itu masih wujud sampai sekarang kerana dalam pemahaman kita orang Islam, pihak Kristian telah membuang, menambah, menyelewengkan isi asal kitab Injil, atau mengarang semula dan mendakwanya adalah kitab Tuhan.

Namun, sekiranya kita mengabaikan persoalan ini pun, masih belum membuktikan bahawa kalimah Allah itu lebih layak bagi mereka, tetapi sabit ia adalah kalimah milik kita orang Islam. Atau sekurang-kurangnya lebih layak bagi orang Arab itu sendiri. Memang, di dalam bahasa Arab, alif dipangkal kalimah Allah itu tidak mempunyai baris. Atau apa yang kita gelarkan sebagai hamzah wasol. Ia bermaksud, sekiranya ada kalimah lain sebelum kalimah Allah, contohnya kalimah fi, maka kita membaca fi-llaah, dengan hilangnya huruf alif, atau didahului kalimah ismu, maka kita membaca ismullaah, juga tiadanya bunyi a dipangkalnya, atau didahului kalimah haqqa, maka kita membaca haqqallah. Namun, semua ini jelas membuktikan lafaz Allah tidak sama dengan ill dalam bahasa mereka.

Perlu saya jelaskan, tulisan panjang ini adalah membicarakan tentang lafaz dan bukan maahiyah. Contohnya, seorang budak bernama Ali, maka kalimah Ali itu adalah lafaz yang menjadi namanya. Adapun jasad si Ali itu, adalah orangnya yang kita panggil. Maka, lafaz Ali kita gelar sebagai nama, atau lafaz yang menjadi nama, adapun batang tubuh si Ali itu kita gelar maahiyah. Perbahasan saya sepanjang ini adalah mengenai nama/lafaz, dan bukan mengenai mahiyah.

Allah itu, Zat yang kita sembah itu, sekalipun kita tidak memanggilnya dengan nama Allah sebaliknya dengan nama ar-Rohmaan, atau ar-Rohiim, zat-Nya itu adalah tuhan kita, dan tuhan kepada semua makhluk tak kira apa agamanya. Zat yang Maha Suci itu, adalah Zat yang bukanlah jisim, dan bukanlah berada pada sesuatu tempat, dan bukanlah berada pada sesuatu masa. Allah itu adalah Zat yang Maha Suci dan tidak layak disamakan dengan kita sebagai makhluk.

Kita akui, bahawa Allah itu, Zat-Nya, adalah tuhan kepada semua makhluk, baik yang beragama Islam mahupun yang bukan, tetapi kalimah Allah itu, adalah kalimah Arab. Seperti mana nama Jibril itu dikenali oleh orang Arab, dan orang Nasrani sebelum itu mengenalinya dengan nama Gabriel. Dan kalaulah di bawa kepada bahasa Nabi-Nabi terdahulu barangkali sebutannya juga adalah lain, walaupun mahiyahnya adalah sama. Seperti nama Musa dibawa kepada Inggeris menjadi Moses atau nama Isa dibawa kepada bahasa Inggeris menjadi Jesus.

Itu semua adalah bukti bahawa nama berubah mengikut bangsa dan bahasa, walaupun mahiyah adalah sama. Kerana itu, nama Musa dan Isa berubah, walaupun orangnya masih sama. Tetapi nama Musa tidak boleh diinggeriskan, seperti mana nama Moses tidak boleh diarabkan. Nama Isa tidak boleh di-ibrani-kan seperti mana nama Jesus tidak boleh diarabkan. Kesimpulannya, kalimah Allah itu adalah lafaz yang merujuk kepada tuhan dalam bahasa Arab, bukan bahasa lain. Wallahu a'-lam.

1 comment:

Anonymous said...

Salam.

Isu ini mmg hangat di Malaysia. Lebih panas bila selalu dibicarakan secara emosi. Namun sayang krna tdk dibincang secara ilmiah.
Jd apabila seorg ahli bahasa menulis mngikut ilmunya (walaupun pajang lebar), maka hujjahnya padat n sangat jitu.

Tahniah!
~org KL