Siapa yang dapat menyangka bahawa saya berpeluang mempelajari mengenai tahqiq, ataupun sebetulnya, mengenai takhrij. Walaupun secara hakikatnya, saya tidak dapat menunaikan sepenuh penunaian terhadap walau salah satu daripada kedua-duanya, kerana ia terlalu dalam dan detail, dan perlukan pengetahuan yang luas, sumber yang banyak, kecerdasan yang memuaskan, kefahaman yang pantas, daya kreatif yang tinggi, dan penting juga, penguasaan bahasa yang mencukupi dan sifat sabar yang tak pernah putus asa.
Sebetulnya tahqiq setahu saya, tidak dipelajari oleh mana-mana pelajar di peringkat ijazah ini, tetapi kedapatan dipelajari oleh sebahagian pelajar ijazah lanjutan. Tahqiq atau dalam bahasa Melayunya, mengesahkan, bertujuan memastikan teks tersebut benar seperti hakikatnya, dan kalau dilakukan pada kitab-kitab lama, adalah memastikan kesahihan teks lama ini bebas dari kesilapan atau kesalahan, atau tahrif.
Sebetulnya itulah projek bahas diberikan doktor, tetapi apalah kadar mampu diri ini sehingga ke tahap itu, melainkan saya mencuba-cuba belajar mengenai takhrij sebetulnya. Takhrij, atau apa yang kita boleh gelarkan sebagai pemaparan semula sumber asal, bertujuan memastikan isi kandungan kitab itu baik ayat al-Quran, hadis, pendapat ulamak, syair, a'-laam (tokoh), aujuh qiraat (bentuk-bentuk bacaan qiraat), masal (perumpamaan) dan lain-lain dikeluarkan dan dijelaskan sumbernya. Itulah yang saya kira pelajar-pelajar dari kuliah Usuluddin cawangan hadis mempelajarinya ketika mereka mentakhrij hadis.
Lima helai daripada kitab Lisaanu l-Arab bukanlah banyak, kerana ia tidak sampai 0.1 peratus helaian sebenar kitab asal, namun bagi seseorang seperti saya, ia terasa seperti berpuluh-puluh muka untuk diselesaikan. Melakukan takhrij ini sebetulnya menuntut kita mempunyakan sebuah maktabah yang lengkap dengan tumpuan yang tajam, atau kalau tidak, memerlukan anda menjadi seorang penghafal yang kuat, dan kerajinan membaca yang tinggi. Kerana saya tidak memiliki kedua-duanya, maka jalan yang sukar sedia menanti.
Saya fikir penting kita memahami mustalahat-mustalahat (istilah) ini, dan penting juga, mempraktikkan pengamalannya. Sebagai contoh, istilah 'syarah' merujuk kepada tambahan penjelasan kepada teks, atau kita gelar sebagai huraian. Kemudian 'hasyiah' merujuk kepada teks huraian, yang menghuraikan huraian. Atau kita sebut, huraian ke atas huraian.
Kemudian istilah taklik atau disebut sebagai komentar, merujuk kepada menghuraikan atau mengkritik sebahagian nas kitab, bukan semuanya, berbeza dengan syarah, atau hasyiah, merujuk kepada keseluruhan nas kitab. Kemudian barulah apa yang dipanggil sebagai takhrij, iaitu pengsumberan semula, atau menyatakan sumber asal bagi nas-nas dalam kitab.
Sekiranyanya kita menulis kitab sendiri tanpa memetik daripada kalam orang lain, itu dipanggil kitaabah (penulisan) atau tahrir; dan kita digelar kaatib (penulis) atau muharrir. Tetapi sekiranya kita memetik pendapat orang lain, lalu menyusun di dalam kitab, bagi menguatkan, menyokong atau menjelaskan tulisan anda, maka usaha memetik dan menyusun ini dipanggil tasnif atau taklif, dan kita digelar musonnif atau mu-allif. Sekiranya kita melakukan ringkasan kepada kitab orang, itu dipanggil talkhis atau tahzib, dan kalau kita melakukan editan kepada isi kitab, itu dipanggil tanqih, atau tazyid.
Adapun sekiranya kita menyemak dan mengkaji keseluruhan kitab, memastikan kebenaran isinya, mengesahkan penulisannya, maka itu dipanggil tahqiq. Seorang kawan yang juga merupakan seorang guru pernah menyebut, bahawa tahqiq ini sukar seolah-olah kita mengarang semula kitab tersebut, kerana memastikan dan mengesahkan memerlukan kefahaman yang sangat tinggi dan jitu. Namun, jika rujukan mencukupi dan kelengkapan dan persediaan memadai, maka ia boleh menjadi sedikit mudah.
'Ala kulli haal, syukur.
No comments:
Post a Comment