Jadilah insan yang selalu menggantungkan harap pada Tuhan. Ia memang mudah berlaku bila ditimpa kesusahan, musibah dan bencana, ujian dan hampir-hampir kau putus asa, lalu pada Tuhanlah kau papahkan segala sandaran, pohonan, dengan hati yang luluh mengharap. Ya benar, tatkala itu, kau bersaksi bahawa tiada keupayaan dan tiada kekuatan, melainkan dengan kekuatan Allah!
Tapi hakikatnya, di waktu senang dan mudah, di waktu kau rasa engkau mampu melakukan, kau yakin berupaya menghadapi, kau lupa sebenarnya kau masih dan sentiasa berharapkan kekuatan Allah. Walaupun pada secebis-cebis perkara, semudah-mudah urusan, sekecil-kecil tanggungjawab, tetap bersaksilah bahawa tiada keupayaan dan tiada kekuatan, melainkan dengan kekuatan Allah.
Silaplah percaturanmu andai kau berjudikan keyakinan dirimu itu berdepan dengan kekuatan Tuhan. Bahawa andai walau sedetik irodah-Nya kehendak-Nya menyalahi rancanganmu, maka gugurlah segala kekuatan, keupayaan, keberanian, kegagahan, keyakinan. Lalu semua yang kau banggakan itu, tidak bererti apa-apa.
Jadilah insan yang menggantungkan harap pada Tuhan. Hattakan di saat keyakinan menguasai dirimu, di saat tenaga memenuhi jasadmu, di saat fokus memenuhi fikiranmu. Bahawa kau menggantungkan harap pada Tuhan. Bahawa dirimu itu sebenarnya tidak ada kemampuan, dan keyakinan yang kau kumpul itu sebetulnya adalah bukti bahawa setiap satunya merupakan kasih sayang Tuhan yang memperkenankan urusanmu, meluluskan perjalanan hidupmu.
Bahawa keyakinan yang kau bina itu sebetulnya adalah longgokan saksi sifat pemurah dan pemberi Tuhan. Dan kemampuanmu, tiada walau setitis di dalamnya. Dan kemahiranmu, tiada secebis di dalamnya. Yang menggerakkanmu itu adalah kekuatan-Nya. Adalah kehendak-Nya. Adalah ilmu-Nya. Adalah kerana kau adalah hamba-Nya. Apabila kau memilih mahu melakukannya dengan tanganmu.
Tidak bersaksikah engkau bahawa kekuatan Tuhan itu bukan hanya pada ketika kau lemah dan tidak mampu, sebaliknya menyeluruh dan menguasai juga pada yang engkau kuasai dan kau yakini. Bahawa kekuatan Tuhan itu bukanlah tatkala Dia dirayu semata-mata, bukan ketika kau merintih semata-mata, ketika kau mengharap semata-mata, bahkan pada semua situasi dan ketika.
Lalu gantungkan harapmu pada Tuhan pada semua keadaan, dan jadikan keyakinan diri yang kau kumpul adalah tabung rahmat dan rahiim-Nya. Dan usahamu adalah modal kau ingin memohon perkenan-Nya.
No comments:
Post a Comment