Tuesday, October 12, 2010

Catatan Hujung Kembara 47 | Baina l-Amrain

Mungkin ada beberapa sebab dan alasan mengapa seseorang boleh berasa suka, atau berasa tidak suka untuk berada di Mesir. Sesetengahnya tidak suka kerana tidak tahan dengan perangai sesetengah orang Arab. Itu bagi saya adalah normal kerana kita adalah bangsa yang lemah lembut sesuai dengan peradaban Melayu. Tetapi berada beberapa tahun dan melalui kehidupan yang sebegini sedikit sebanyak menukar cara dan gaya kebanyakan orang. Kelihatan juga mereka yang menyalin penuh perangai sesetengah Arab yang kasar, hingga sudah tidak kelihatan lagi tatacara Melayu yang lemah lembut. Dan kebanyakannya, terkesan dengan sebahagian cara dan muamalat yang kurang enak ini, kerana al-mar-u ibnu bii-atihi, seseorang itu adalah anak kelahiran persekitarannya.

Namun bagi saya, masih terdapat cara dan muamalat yang elok yang patut disalin oleh kita. Sejak dulu, kalam seperti "Arab adalah kasar, tidak boleh dipercayai, suka menipu" dinukilkan dari generasi ke generasi menyebabkan sangkaan menjadi buruk. Ia adalah nukilan tidak wajar. Walaupun ya, berhati-hati adalah perlu, tetapi bersangka buruk bukanlah cara dan akhlak kita. Ia sebetulnya bisikan nafsu dan syaitan yang seharusnya kita jawab dengan bersangka baik, dan bisikan-bisikan itu bukanlah bisikan kita sebetulnya, kerana kita adalah muslimin yang berbaik sangka kepada muslimin, walaupun ya, dari sudut langkah dan cara, berhati-hati adalah amalan kerana tanpa berhati-hati, sangkaan buruk akan lebih mudah menerjah dan menjadikan kita lebih terdedah dengan bisikan tersebut. Kerana itu, sikap berhati-hati, bukan kerana kita bersangka buruk terhadap saudara seislam kita, tetapi demi mengelakkan diri terdedah kepada bisikan sangkaan buruk godaan nafsu.

Namun, menjadikan diri suka berada di Mesir juga mempunyai beberapa takwilan. Adakah kerana sesuatu faedah padanya, seperti rasa lapang dan selesa, atau kerana sumber pendapatan yang memudahkan, atau kerana kebaikan seperti pengajian yang menumbuh banyak lalu dapat diikuti, atau kerana pautan hati pada seseorang atau tokoh tertentu, semua ini mempunyai banyak pandangan orang terhadapnya. Bagi saya, sebab yang baik itu baik, dan sebab yang tidak itu tidak. Namun, bagi saya, menjadikan diri suka kepada Mesir, kerana benci kepada tanahair adalah tidak betul. Tetapi tidak suka kepada tanah air atas sebab yang mendesak seperti peperangan adalah suatu yang fitrah, tetapi lebih sempurna kalau ia ditambah dengan azam mahu mengubahnya. Siapa lagi yang akan mempertahankan tanah air kalau bukan pertiwinya sendiri?

Saya sendiri, ketika pulang tiga tahun lalu, berasa janggal dengan negara sendiri. Bahkan terdetik mahu segera pulang ke Mesir. Barangkali detikan seperti itu bukanlah kerana benci, tetapi kerana suasana yang banyak berbeza. Sebetulnya, saya perlukan masa menyesuaikan diri, walaupun sebetulnya menurut sesetengah orang, saya cepat menyesuaikan diri. Atau mungkin lebih tepat, kehendak menyesuaikan diri. Tetapi kalau perkara ini ditimbang secara akal, neraca akan memberat kepada tanggungjawab dan kewajipan, bukan kerana hati dan perasaan. Dan sekarang, di sebulan terakhir, saya rasa sedih kerana akan meninggalkan bumi yang belum cukup saya mengutip ilmunya, kerana singkatnya peluang disebabkan terlewatnya kesedaran, ceteknya kefahaman disebabkan rendahnya kemampuan. Walaupun ya, kerap juga saya menyatakan secara berselang-seli antara tugas kewajipan yang menanti dengan tugas kewajipan yang masih berbaki.

Sebetulnya, saya berazam untuk belajar lagi di sini kalau dibukakan peluang lagi, dan dalam kemampuan yang mencukupi. Tetapi benar juga, hutang budi perlu saya lunaskan supaya tidak terpundak sesal itu dan ini. Kerana itu, saya akan pulang juga. Insyaallah, saya akan pulang pertengahan November ini, 16 haribulan mengikut cadangan, tetapi tidak pasti kalau dicepatkan seminggu atas perbincangan. Kalau benar ini adalah kunjungan akhir saya ke bumi ini, saya berdoa kepada Tuhan, agar anak cucu cicit keturunan saya (kalau direzekikan) akan melengkapkan cita-cita ini, dan mahu saya mengutip pula dari mereka. Dan kalau ini ada sambungannya, saya berdoa kepada Tuhan, supaya di kali akan datang saya lebih bersedia untuk mengutip peluang, dan semoga dikurniakan yang lebih baik dan sempurna.

Biarlah kalam ini muncul lebih awal. Supaya bila tiba waktunya semua sudah terlupakan. Selamat tinggal. Entah bila akan bertemu lagi.

No comments: