Thursday, September 07, 2006

Ikroob Dua Lapis

Ikrab Dua Lapis.

Pertama, ana bukanlah orang yang paling hebat untuk mencipta apa-apa, mahupun menerangkan apa-apa. Kedua, ana juga tidak pasti, adakah ini kali pertama ana membincangkan tajuk ini. Ketiga, ana ingin kongsikan dengan antum semua.

Ide ikrab dua lapis, adalah satu ide yang timbul ketika mendalami kitab Nahu di tahun satu. Ana rasa, ide ini timbul hasil pertembungan corak pengajian nahnu penuntut Melayu yang berbeza dengan corak pengajian pengaji berbangsa Arab.

Dan mungkin juga, ide ikrab dua lapis tidak wujud dalam mana-mana kitab Bahasa Arab, tetapi timbul di sini, kerana bagi ana, ia dapat merapatkan jurang antara konsep ikrab nahnu sebagai ajnabi (orang asing) dengan realiti ikrab bangsa Arab itu sendiri.

Jika antum berada di tempat ana, adalah tidak sukar membuktikan bahawa, ramai juga di kalangan penuntut berbangsa Arab sekalipun, tidak mengetahui ikrab. Tetapi, dengan darah mereka sebagai Arab, sekiranya mereka berusaha, mereka mampu sampai ke dasar pemahaman yang lebih dalam daripada apa yang mampu nahnu sebagai ajnabi capai.

Begini. Ana cuba membawa antum mendalami erti ikrab dalam lapis pertama, dari kaca mata nahnu sebagai penuntut Melayu. Ikrab adalah tanda yang boleh dikenalpasti dalam sesuatu ayat yang akan menzahirkan nilai makna ayat tersebut. Dalam kata lain, memahami ikrab akan membolehkan nahnu mengetahui bukan sahaja makna ayat secara jelas, tetapi secara dalam dan tepat.

Secara ringan, ada baiknya nahnu menilai ikrab pertama sebagai, tanda yang nampak, dan boleh dikesan, dan kadang kala, tanpa mengetahui makna setiap lafaz dalam ayat pun sudah cukup untuk membolehkan nahnu mengikrab sesuatu ayat. Ikrab lapis pertama memberikan nahnu sebagai ajnabi peluang mengikrab kepada ikrab yang betul, dengan berdasarkan tanda-tanda yang ada, yang membantu nahnu mengikrab sesuatu ayat.

Pemudah bicara, ada baiknya perhatikan contoh.

أكلت كثيرا

Dibaca dengan [ akaltu kathiiran ]

Ikrab lapis pertama yang ana maksudkan adalah, memerhatikan tanda dan dalil yang ada, di mana dalil dan tanda ini sudah membantu nahnu mencapai ikrab yang betul. Akaltu adalah fe-‘el, dan ta dhamir sebagai fa-‘el, dan ia adalah fe-‘el muta-‘addi yang memerlukan maf-‘ul. Maka, kathiran adalah maf-‘ul. Ini adalah tanda-tanda yang terdapat dalam ayat, di mana tanda-tanda ini membantu nahnu untuk menjejaki ikrab yang betul bagi ayat.

Sekiranya antum mengikrab ayat sebagai – fe-‘el, fa-‘el dan maf-‘ul, maka ikrab ini sebenarnya sudah betul. Tetapi bagi ana, ini adalah ikrab lapis pertama.

Jarang-jarang penuntut bangsa seperti nahnu yang ana lihat membincangkan lapis ikrab yang lebih dalam. Maksud ana, ikrab dua lapis. Menerangkan lapisan kedua ikrab, adalah berdasarkan kepada konsep kedua, bahawa orang Arab, sebagai penutur asal adalah orang yang seharusnya lebih hampir kepada pemahaman yang paling betul. Maksud ana, si fasih di kalangan Arab, adalah lebih hampir kepada faham, lebih dari si fasih dari kalangan ajnabi.

Berdasarkan konsep ini, maka kelebihan orang Arab adalah, mereka memahami makna kalimah itu dahulu, lebih awal dari memahami ikrabnya. Maksud ana, walaupun tanpa menguasai ikrab, dengan hanya mengetahui makna kalimah, mereka mampu memahami maksud ayat.

Perhatikan. Nilai lapis ikrab yang kedua adalah pada nilai makna, bukan semata-mata tanda. Dan lapis ikrab pertama adalah pada tanda semata.

Ayat yang sama. Akaltu kathiran. Sekiranya nahnu melihat makna ayat ini, [aku makan banyak], dan kemudian nahnu melihat ikrab yang dinyatakan seperti di atas, iaitu, fe-‘el, fa-‘el dan maf-‘ul, nahnu akan mendapati ada sesuatu yang tidak kena dengan ikrab.

Perkara yang pelik adalah, yang dimakan [maf-‘ul] adalah perkataan [banyak], sedangkan hakikat sebenar benda yang dimakan bukanlah [banyak], tetapi [makanan]. Maksud sebenar ayat ini bukan [aku makan banyak] tetapi [aku makan –makanan- yang banyak ]

Kenapa? Kerana hakikat sebenarnya dimakan adalah makanan, dan banyak adalah sifat yang menggambarkan sifat makanan itu. Maka, secara teori, ayat sebenar adalah seperti di bawah.

أكلت طعاما كثيرا

Tetapi, lafaz [makanan] dalam ayat dimahzufkan kerana barangkali umum mengetahuinya, maka tiada hajat mengulangsebut dalam ayat. Barangkali juga, untuk meng-umum-kan benda yang dimakan, bukan terhad kepada makanan. Bukankah boleh dan harus sekiranya nahnu mentakdirkan bahawa, aku makan –kayu- yang banyak? Tetapi, ia kurang sesuai dengan situasi ayat. Atau halnya.

Lebih-lebih lagi, lafaz khatiran yang bererti [banyak] ini, bukanlah isim zat yang memungkinkan ia dimakan, tetapi adalah isim sifat, yang berfungsi menjelaskan isim zat. Contoh, tinggi adalah isim sifat, Ali adalah isim zat.

Inilah maksud ana dengan lapis kedua ikrab. Berfungsi meneliti makna selangkah lebih jauh, bukan semata-mata dengan mengetahui tanda dan dalil, walaupun tidak dinafikan bahawa kedua-duanya sangat penting dan membantu nahnu memahami sesuatu nas ayat dengan maknanya yang paling tepat. Mungkin contoh yang ana bagi adalah terlalu mudah. Harap antum memahaminya. Selamat memahami.

No comments: