Ramadan datang lagi. Beberapa ketika dan detik lagi. Dan debar dalam hati selalunya sama. Masih pekat dengan rasa takzim; barangkali kerana takzim di sini adalah pada Ramadan kurang pada Syawal, menjadikan hati tebal dengan rasa rindu.
Begitupun, sendiri masih harap dapat melayan Ramadan kali ini lebih baik dari kali yang dulu. Itu harap dan doa. Rindu pada tarawih, rindu pada hangatnya suapan buka di sebelah muka-muka a'rabiy, atau mengira langkah ke maa-idatur-rahman, mengambil bahagian iftaar, tak lupa juga pada dingin pagi yang bercampur kantuknya sahur.
Kalau berebut tempat di masjid dan bersesak-sesak hingga ke jalan raya, inilah masanya. Tikar dibentang hingga ke jalan raya. Jalan yang tiga lorong menjadi dua, tetapi tidak rasa janggal kerana arab pun ada sebelah sama. Kalau mahu dengar tilawah dan ceramah bersipongang, inilah masanya. Kalau mahu gamat dari seluruh masjid, kiri kanan depan belakang, inilah pun masanya juga. Dan semua gema, tilawah, sesak, tikar, jalanraya, dingin, membawa rindu dan kenangan Ramadan tahun dulu menjelma di minda untuk Ramadan tahun ini. Bagaimana Ramadanku tahun ini.
No comments:
Post a Comment