Saya baru menyedari perkara ini beberapa ketika lepas. Sebelum itu, baik saya mengimbau beberapa perkara yang saya lalui beberapa minggu ini.
Saya menonton beberapa siri kartun dengan terjemahan Inggeris, menyebabkan saya secara tiba-tiba mempunyai sedikit keyakinan untuk membuat dialog bahasa Inggeris. Dengan keyakinan yang sama, saya cuba menulis entri di blog bahasa Inggeris, tetapi saya gagal, tersangkut-sangkut, dan terasa payah. Mengapa?
Tiba-tiba, teori ini muncul dalam kepala, barangkali memerlukan sedikit pemastian sejauh mana benar tidaknya.
Kebolehan berbahasa, seperti mana yang saya selidiki, mempunyai banyak tahap, bahkan dalam setiap tahap, mempunyai beberapa cabang. Memberikan gred kemampuan bahasa juga tidak sempurna hanya memandang kepada satu bahagian, tetapi memerlukan beberapa kali pengiraan pada setiap cabang.
Kembali dahulu kepada soalan. Saya merasakan, sebab kegagalan itu adalah kerana cerita-cerita yang saya tonton adalah dialog, bukan fakta. Maksud saya, uslub. Dengan perbezaan uslub – dialog dan fakta – menyebabkan keyakinan untuk berbual, tetapi gagal untuk menulis dengan baik. Dalam blog, entri yang cuba ditulis adalah beruslubkan fakta, atau ayat penyata, bukan dialog atau perbualan. Dalam konteks yang sama, kelemahan bertutur bahasa Arab bukan berpunca kerana tidak hadir kuliah, atau tidak membaca kitab, tetapi kerana kurangnya dialog yang masuk dalam telinga.
Imma berbual secara langsung dengan bahasa Arab, ataupun mendengar, menonton dan melihat cerita-cerita berdialog Arab.
Kitab-kitab kuliah secara terus terang, adalah ayat penyata dan fakta, bahkan sekiranya ada dialog, ia adalah dalam kadar yang sangat sedikit.
Saya, barangkali dengan sedikit kecacatan pendengaran yang membentuk sikap malas mendengar, mengakibatkan semakin kurangnya dialog yang masuk dalam telinga, kerana enggan banyak komunikasi. Tetapi, cerita yang berdialog Arab juga sangat kurang.Di tangan saya, cuma ada beberapa cerita seperti Maryam dan Ashabul Kahfi.
Saya mengkaji perkara ini selama setahun, dalam tahun tiga ini. Maksud saya, sambil mencuba praktikalnya secara sedikit-sedikit. Barangkali, selepas terleka dua tahun lamanya, baru saya mencari cara baru dalam pengkajian bahasa ini. Tapi, masih sangat lemah dan banyak kekurangan.
Antara perkara yang saya dapati dalam kelemahan bertutur adalah, pertuturan memerlukan kepada pengetahuan bunyi, dan bunyi akan kembali kepada pengetahuan baris. Itu pertama. Bermakna, mengetahui ya-ha-ra-ba bermaksud lari, memungkinkan anda memahami makna, tetapi, tidak memungkinkan anda tahu bunyinya, dan tidak memungkinkan anda tahu bagaimana menyebut dan menggunakannya. Maksud saya, bertutur dengannya.
Itulah yang terpapar dalam kitab. Hanya huruf tanpa baris. Ini sebenarnya menyebabkan pelajar faham maksud ayat, tetapi gagal menuturkannya.
Kedua adalah apabila baris bagi satu-satu kalimah, memungkinkan dibaca dengan dua tiga empat lima enam bunyi. Atau lebih. Bahkan, wazan dalam bahasa Arab ada banyak, tetapi tidak semuanya sesuai untuk semua jenis mauzun. Bermaksud, pengajian Saraf adalah penting, tetapi membaca kamus demi merujuk baris juga adalah sangat penting. Lihat saja, tidak semua fe’el boleh diwazankan dengan semua jenis wazan. Apatah lagi, dengan perbezaan baris, makna juga akan bertukar.
Saya pernah mencadangkan kepada seorang kawan ide pembacaan kamus tetapi dia sambil tersenyum menanyakan – mengapa, buat apa?
No comments:
Post a Comment