Hukum yang putus adalah hukum yang qat-ie dilalah dan makna. Iaitu hukum yang jelas akan keputusannya, dan tak boleh disangkal-sangkal lagi. Termasuk dalam hukum jenis ini adalah perkara dhoruurah mina d-diin, (perkara kemestian dalam agama).
Berada di tingkat di bawahnya adalah hukum yang zhonni dilaalah, qat-ie makna. Iaitu hukum yang dilalah lafaznya kabur, tetapi makna dan hukum jelas tanpa ikhtilaf di kalangan mujtahid.
Berada di peringkat bawahnya, adalah hukum yang zhonni, tetapi para mujtahid telah ijmak padanya, yang mana menyebabkan hukum yang asalnya zhonni naik tarafnya menjadi kepada qat-ie. Daripada bersifat kurang putus menjadi hukum yang putus-seputus-putusnya. Kerana ijmak para mujtahid. Maksud saya, mujtahid yang benar-benar mujtahid, bukan orang berlakon menjadi mujtahid.
Berada di tingkat bawahnya, adalah pendapat jumhur, kerana ia menghampiri ijmak. Barangkali kerana tidak sama pendapat sebahagian kecil ulama menyebabkan ia tidak sampai ke tahap ijmak. Pendapat ini masih kuat taraf putusnya, masih sangat aula diikuti, mengikutinya lebih aslam, lebih selamat, jauh lebih baik dari menyalahinya, kerana menyalahinya akan memihakkan kita kepada pendapat yang syaz dan lemah.
Berada di peringkat bawahnya, adalah pendapat mufti yang dipercayai ilmunya. Sekiranya ifta'-nya dibincangkan ia boleh menghampiri sepakat umat kepadanya. Namum begitu, ia masih boleh disalahi, selama mana ia belum menjadi ijmak dan kesepakatan. Namun, kerana thiqqah kita pada mufti yang diyakini ilmunya, maka adalah lebih aula untuk diikuti. Namun, masih lagi harus ditinggalkannya.
Adapun pendapat mufti yang tidak diyakini ilmunya, majruh thiqqahnya, barangkali ia berada sedikit di atas pendapat orang-orang awam. Namun ia masih boleh dan layak sangat ditinggalkan akan pendapatnya. Kenapa mufti jenis macam ini pun ada? Tak puaskah menimbulkan kucar-kacir?
Kita menyangka kita terlalu kuat, ikutlah apa pun sangkaan kita, perkara yang putus jangan diingkari. Perkara yang menjadi putus walaupun sebelum itu zhonni, juga jangan diingkari. Perkara yang sudah menjadi ijmak mujtahid juga jangan diingkari. Kemudian, kalau ada sedar dan rasa takut, ikutlah pendapat yang lebih jumhur, tinggalkan yang syaz dan lemah. Peganglah ifta' yang diyakini ilmunya, bukan mereka yang majruh thiqqahnya. Semoga tulisan ini dapat memberikan manfaat kepada kita semua.
Kalau ada salah tolong betulkan. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment