Wednesday, January 30, 2008

Mengenai KELAP Kali Kedua, Perincian


Saya ambil ini dari blog KELAP. Ada sedikit perbezaan dengan maklumat awal yang saya paparkan dulu. Iaitu hari pertama bermula dengan pembentangan pengurusan suara kampus. Dan ada sedikit perincian. Tarikh dan tempat tidak berbeza.

Saturday, January 26, 2008

Kegilaan Di Musim Pesta Buku Antarabangsa

Maarad Kitab Kaherah. Atau lebih mesra, Maarad Kutub. Kali ke 40. Atau dipanggil Pesta Buku Antarabangsa. Ikutlah anda suka yang mana.

Musim pesta buku ini memang bisa membuatkan orang gila. Gila dalam erti kata yang pelbagai dan berbeza. Kalau tidak terasa gila, itu barangkali belum biasa, atau belum terjebak sama.

Bagi pecinta, pastinya cintanya ada sasaran, dan sering membuatkan ia teringat. Cuma dalam mana dia boleh menyeluk saku sendiri, akan dibanding beza dengan dalam mana niat membacanya. Ada juga yang menjadi gila pada buku, hingga sanggup membantu kawan-kawan beli dengan menjadi ejen. Jadilah, gila jual.

Walaupun ada juga yang menjadi gila, kerana tak dapat membeli. Kerana dalamnya cinta, dan tebalnya halangan. Ini gila cinta terlarang. Ada juga yang menjadi gila untuk berjumpa penerbit, penulis dan pengedar buku. Itu satu pengalaman dan kegilaan yang menarik juga. Ia boleh dinamakan, gila sumber asal, atau skunder.

Tetapi, gila kerana tak tahu apa yang patut dibeli satu kegilaan juga. Resah dan serba salah. Ini dipanggil gila gundah. Bahkan gila kerana tak tahu apakah buku yang bagus, sehingga kalau-kalau tak beli pun boleh juga pinjam. Ini saya bagi nama gila buta.

Tapi, ada juga yang menjadi gila kirim di musim pesta ini. Malas nak ke maarad dan bersesak-sesak, jadi berkirim saja dengan kawan. Pantang ada, kirim. Pantang celah, kirim. Dan ada yang gila untuk kirim ke Malaysia. Sibuk dah terfikirkan, berapa kotak akan habis untuk menghantar kitab ke Malaysia, walaupun boleh saja ia dibayar ketika penerimaan dibuat di Malaysia. Namakan saja gila kirim.

Kegilaan musim pesta bukan itu saja. Gila bergambar dan gila bersiar-siar. Melihat ragam dan perangai manusia. Itu ada juga. Gila suasana. Ada juga yang gila promot. Jumpa kawan A, promot kitab A. Jumpa kawan B, promot lagi kitab A. Hingga setiap orang yang dijumpanya dipromot. Itu gila promot.

Belum lagi anda berjumpa dengan gila debat. Bergaduh apakah kitab yang bagus, dan apa yang kurang bagus. Apa yang patut, dan apa yang kurang patut. Dari sudut penulis, cetakan, kualiti, harga dan lain-lain. Sebahagiannya pula menjadi orang yang gila tanya. Kerana tak tahu kitab apa yang bagus dibeli, maka tanya dengan beberapa jenis orang dan beberapa jenis bidang. Ada juga yang gila catat; catat nama buku, catat nama pengarang. Dan ada juga yang catat harga, untuk banding beza.

Dan kegilaan sebenar ketika berhadapan dengan buku, adalah gila ziarah. Oleh kerana banyak maktabah, dan banyak solah, maka berpindah dari satu ke satu yang lain. Bukan gila apa, tapi gila ziarah. Ada juga yang gila harga. Tanya maktabah A, berapa harga kitab B. Tapi tak beli. Kemudian ke maktabah lain untuk tanya harga kitab yang sama, untuk memastikan harga.

Dan tak lupa, pada golongan yang paling menarik perhatian. Gila beli. Dalam kepala atau di atas tangan sudah ada senarai kitab, dan lebih penting lagi, ada fulusnya. Jumpa, beli, angkat. Jumpa, angkat, beli. Dan di hujung-hujung maarad ini kelak, ada yang jadi gila kira. Berapa sudah habis, berapa sudah beli, berapa aku jimat, berapa aku rugi, dan berapa-berapa yang lain.

Gila tidak tamat di ditu saja. Ada juga gila satu muka. Jumpa kitab, selak dan baca. Baca satu baris, tutup, selak kitab yang lain. Tak kiralah sama ada pada kitab di maktabah, atau kitab yang kawan sudah beli. Ada juga gila rambang mata. Tengok kitab sini, tengok kitab sana. Isi tak sempat dijamahnya. Semua pun bisa membuatkannya jadi rambang mata. Itu belum lagi gila talak. Bila buku yang hendak dibeli terlepas pula. Habis di pasaran. Pasal terlambat beli. Atau terlupa hingga ke akhir maarad.

Ini belum campur gila salah beli. Ibarat lelaki yang sesal ambil kakak, sedang adik lagi mengancam. Atau ibarat lelaki rasa rugi ambil mak, padahal ada anak. Atau gila kerana terlebih beli, dan ingin jual semula. Ini gila sasul. Atau gila terlajak. Kemudian menyalahkan kegesaan sendiri, terlalu gesa bila membeli.

Dan, yang terakhir tentulah gila baca. Ini yang paling menarik antara yang menarik. Bagi sayalah. Kerana kegilaannya adalah kebenaran.

Dalam kegilaan itu, banyak yang pernah dirasa atau dilihat. Tentulah, kerana saya orang biasa. Manusia dan kegilaan adalah satu kelaziman. Tetapi ramai yang selalu mengaku waras. Dalam erti kata yang berbeza. Memang. Pesta buku memang bisa membuatkan orang gila. Adakah anda juga?

Thursday, January 17, 2008

Mawad Yang Tak Ternafi Pentingnya

Setiap kali mempelajari mawad lughah, terutama madah nusus, saya merasakan; selagi tak habis menghafal semua madah dalam kamus, selagi itulah saya akan menghadapi kesukaran pembacaan lancar. Begitu pun, saya tetap merasakan berharganya madah nusus untuk dipelajari, dan untuk tidak ditinggalkan walaupun satu bait.

Kalau saya sebagai orang lughah membenci nusus dan terasa ingin lari, siapa lagi yang tinggal untuk memahaminya? Saya dan sesiapa saja mengakui bahawa, fasoohah (kefasihan) yang tertanam dalam syair-syair itu adalah hakikat, dan adakah kita berani mengaku faham dan tahu bahasa Arab kalau bahagian ini kita tinggalkan?

Dengan ilmu yang masih sedikit, dan kemahuan yang besar, doakan saya!

Perkembangan Bahasa Manusia

Majalah: SUKEJ
Edisi: 110
Kolum : Tharwatu d-Dokhmah
Genre: Artikel
Terbitan: Mac 2007
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Mana-mana bahasa dalam dunia pun akan mengalami perkembangan. Kerana itu bahasa digelar sebagai suatu benda yang hidup ( كائن حي ), membesar, dewasa, tua, dan sekiranya tidak dapat bertahan, ia akan mati. Bahasa berkembang dengan cara bertambah, berkurang, bertukar; kerana itu berlaku beberapa perbezaan sekiranya kita membuat kajian yang lebih teliti dan mendalam.

Dan di antara perkembangan-perkembangan ada yang disebut sebagai ظاهرة الإشتراك اللفظي (zohiratu l-isytiraki l-lafzi) iaitu, kemunculan fenomena perkongsian makna. Keadaan ini telah menyebabkan satu-satu kalimah memiliki lebih dari satu makna, sekalipun pada asalnya kalimah tersebut cuma mempunyai satu maksud sahaja. Fenomena perkongsian makna ini telah dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu apa yang disebut sebagai ظاهرة التضاد (zohiratu t-tadoodth) dan yang kedua, apa yang dipanggil sebagai ظاهرة الترادف (zohiratu t-tarooduf).

Zohiratu t-tarooduf adalah keadaan di mana satu kalimah tertentu mempunyai lebih dari satu makna, namun di antara satu makna dengan yang lain mempunyai saling kaitan dan hubungan yang bersifat sejenis. Sebagai contoh, kalimah daqiq دقيق bererti tepung, dan dalam masa yang sama, ia bermakna terperinci, mendalam. Seperti yang dapat kita perhatikan, ia mempunyai persamaan dari sudut kehalusan. Kalimah daqiq yang bererti terperinci boleh diperhatikan dalam contoh berikut. ( أنت رجل دقيق في عملك )

Kalimah daqiq juga bererti sesuatu yang tersembunyi. Oleh kerana ia bersifat halus, ia seharusnya lebih mudah tersembunyi daripada zant-zat yang besar. Lafaz daqiq yang bererti tersembunyi boleh diperhatikan dalam contoh berikut. ( وهو يعرف دقائق الأمور )

Di antara ketiga-tiga makna, dapatlah kita perhatikan saling kaitan yang bersifat ‘sejenis’, iaitu sifat kehalusan. Namun secara peribadi, saya tidak dapat memastikan makna yang manakah merupakan makna pertama sebelum berkembang kepada makna kedua.

Manakala zoohiratu t-tadoodth pula adalah satu keadaan di mana satu kalimah memiliki lebih dari satu makna, namun antara makna yang pertama dan makna kedua, ia bukan bersifat sejenis, tetapi bersifat bertentangan. Fenomena ini adalah agak istimewa, kerana perkembangannya melampaui had yang biasa terjadi, seperti yang berlaku pada zoohirotu t-tarooduf.

Di antara contoh yang boleh diperhatikan adalah pada lafaz مولى (maula) yang bermaksud tuan, dan dalam keadaan yang lain, ia bermakna hamba. Makna (tuan) dan makna {hamba) adalah dua makna yang mempunyai sifat yang saling bertentangan di antara sesama keduanya.

Ia tidak seperti tepung, terperci dan tersembunyi, di mana ketiga-tiganya mempunyai perkaitan dengan sifat yang sejenis. Ia mempunyai sifat yang bertentangan. Contoh kalimah maula dengan makna tuan dapat diperhatikan dalam contoh yang berikut.

نعم المولى و نعم النصير (ni’-ma l-maulaa wa ni’-ma n-nasiir; sebaik-baik tuan dan sebaik-baik pembantu)

Manakala contoh maula dengan makna hamba boleh diperhatikan dalam contoh berikut. مولى أبي سفيان (hamba Abu Sufyan).

Contoh lain yang boleh turut diperhatikan adalah pada kalimah taaba تاب . Kalimah taaba termasuk dalam kelompok kalimah yang mempunyai lebih dari satu maksud, dengan maksud yang pertama mempunyai sifat yang bertentangan dengan makna kedua.

Kalimah taaba boleh bererti meminta maaf (bertaubat) dan boleh juga bererti (dalam keadaan yang lain sebagai memberi maaf (mengampunkan). Kalimah taaba dengan makna meminta maaf (bertaubat) boleh diperhatikan dalam contoh berikut.

إن الله يحب التوابين ويحب المتطهرين (sesungguhnya Allah suka kepada orang yang suka bertaubat / banyak bertaubat dan orang yang bersih)

Manakala taaba dengan makna memberi maaf (mengampunkan) boleh diperhatikan dalam contoh berikut. إن الله كان توابا رحيما . (sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani)

Tawwab dalam erti pertama bermaksud banyak meminta maaf (bertaubat) dan tawwab dalam erti kedua bermaksud sangat pengampun (menerima taubat). Kedua-dua makna ini adalah dalam kelompok zoohirotu t-tadoodth, satu kalimah yang mempunyai lebih dari satu maksud, dengan makna-makna tersebut mempunyai sifat bertentangan.

Ini adalah antara bentuk perubahan dan perkembangan bahasa yang bersifat hidup dan berkembang. Ada juga bentuk lain di mana sekelompok kalimah, berbilang kalimah, yang bersama-sama berkongsi pada satu makna yang sama.

Ini dapat diperhatikan dalam contoh berikut. Contohnya, kalimah البر, الحنطة, القمح (alkomhu, alhintoh, alburru) memiliki makna yang sama dengan ketiga-tiga kalimah ini membawa makna yang sama – gandum. Begitu juga dengan kalimah kalimah berikut, iaitu العام, السنة, الحول, الحجة (alhujjah, alhaulu, as-sanah, al-‘aam) adalah lafaz-lafaz yang membawa makna tahun.

Wednesday, January 16, 2008

Kritikan Sastera Untuk Cerpen Sinar Hati Kama

Majalah: SUKEJ
Edisi: 110
Kolum: Kritikan Sastera
Genre: Artike
Terbitan: Mac 2007
Oleh: Mohd Zaki M.Noor

Meneliti 'Sinar Hati Kama' karya Mohamad Fairuz Tamjis mempamerkan penggunaan bahasa pasar dengan ejaan sesuka hati. Lihat ejaan 'ker' dalam ayat (…sampaikan aku ajak minum pun kau tak dengar, ada musykilah ker?)

Sebaiknya, penulis menggantikan dengan lafaz 'kah'. Ia lebih sesuai. Lafaz 'ker' tidak wujud hattakan dalam kamus. Sekalipun mahu menggunakan ia secara 'pasar', ejalah dengan lafaz 'ke'. Begitu juga apabila mengeja kalimah 'ye', seharusnya digantikan kepada 'ya'.

Penulis tidak mengakrabi kamus apabila mengeja beberapa kalimah dengan ejaan yang salah. Lafaz 'kuliyah' seharusnya dieja sebagai 'kuliah', kerana begitulah ejaan yang didaftarkan dalam Kamus Dewan.

Kesalahan penggunaan huruf kecil dan besar ketara amat. Lihat kesilapan itu dalam ayat ini. (Aku Terkejut.) Apakah wajar huruf besar digunakan di tengah-tengah ayat, sedangkan ia bukan nama khas? Huruf T seharusnya ditulis dengan huruf kecil.

Penulis juga (secara sesuka hati) telah menggunakan huruf besar pada lafaz (dia) dalam ayat berikut (Ada orang kata istikharohku sudah tidak berguna. Kerana dalam hatiku hanya ada Dia.) 'Dia' yang dimaksudkan dalam ayat adalah 'Sara'. Mengapa ditulis dengan huruf besar padahal haknya adalah huruf kecil?

Lihat betapa lafaz yang seharusnya dieja dengan huruf besar dieja pula dengan huruf kecil. (Bukan sara sengaja menolak lamaran Afif). Nama khas semestinya dieja dengan huruf besar.

Kesalahan seterusnya adalah apabila penulis menggabungkan dua dialog dalam satu perenggan. Dua dialong tersebut seharusnya dipisahkan kepada dua perenggan. Lihat perenggan itu di bawah ini.

(“Maksud kau Sara?” Sahut Akhmal keliru. “Ye Mal. Sara yang aku kenal rupanya sudah berpunya.” Berat lidahku ingin meneruskan bicara.)

Penulis tidak peka dengan kesalahan tanda baca. Lihat ayat (“Dari mana kamu tahu” Aku bertanya meminta penjelasan.) Penulis tidak menzahirkan tanda soal, sedangkan ayat itu terang-terangan adalah ayat soal. Dalam perenggan yang sama juga, kita dapat lihat dua dialog digabungkan dalam satu perenggan.

Ayat (“Ah… malunya.” Batinku menjerit.) tidak seharusnya ditulis dalam pembuka kata dan penutup kata, kerana ia adalah jeritan hati. Jeritan hati bukanlah dialog. Dialog hati harus ditulis begini. (Ah… malunya, batinku menjerit.)

Tanda baca seperti tanda seruan mahupun tanda tanya, seharusnya diletak sebelum penutup kata. Lihat (“Ataupun kamu juga ingin bermut’ah denganku”!!?). Ayat ini seharusnya ditulis (“Ataupun kamu juga ingin bermut’ah denganku?"). Tanda soal perlu diletakkan di dalam penutup kata, dan bukan di luarnya.

Bahkan, tanda soal sudah memadai dan tidak perlu kepada tanda seruan di tempat yang sama. Tanda soal sudah mempunyai ritma dan nadanya, dan ia adalah berbeza dengan ritma dan nada tanda seruan. Kita tidak menyeru sesuatu dan dalam masa yang sama menyoalnya.

Lihat juga (“Boleh Pak Cik masuk”?) Tanda soal seharusnya diletakkan sebelum penutup kata. Frasa (ku rasakan) seharusnya dieja rapat menjadi (kurasakan), (ku jauhi) perlu dieja sebagai (kujauhi) begitu juga frasa (kawan-kawan ku) seharusnya dieja (kawan-kawanku)

Pembaziran penggunaan perkataan terlalu ketara dan dilakukan tanpa penjimatan yang sewajarnya. Cerpen sepanjang 6 muka word sebenarnya boleh dikurangkan kepada 4 atau 5 muka dengan membuang beberapa ayat dan perenggan yang tidak membantu penceritan. Penulis telah melakukan pembaziran apabila memasukkan dialog (“Rileks laa kawan! Apa main jiwa-jiwa ni”!! Ayat yang sering ku lafazkan dahulu) sedangkan intipati maksud lafaz tersebut telah dijelaskan dalam ayat yang sebelumnya (Dulu aku sering mengutuk kawan-kawan ku yang sedang dilamun perasaan begini.) bahkan dalam ayat yang selepasnya (Namun kini semuanya terpalit padaku sendiri.)

Begitu juga apabila memasukkan petikan lagu yang panjang dan berjela-jela, dan dalam masa yang sama, maksud yang tersebut telah dinyatakan dalam perenggan-perenggan sesudahnya. Di sini memperlihatkan, betapa unsur lewah telah berlaku, dan kelihatan 'berleter-leter'.

Beberapa tip perlu diperjelas kepada penulis-penulis baru. Pernahkah anda berjumpa dengan perkataan seperti (hidayahNya) dan (petunjuk Mu). Sepatutnya, kata ganti diri (nya) dan (mu) haruslah dirapatkan kepada kalimah sebelumnya. Namun, (nya) dan (mu) adalah kata ganti bagi 'Allah', dan berhajat kepada penggunaan huruf besar. Apa yang perlu dilakukan adalah dengan meletakkan tanda sempang seperti berikut. (hidayah-Nya), (petunjuk-Mu).

Persoalan pertama selepas semua ini adalah, apakah setinggi itu sahaja mahasiswa seperti kita mengungkapkan tema 'mut-'ah' di dalam karya? Rasanya, terlalu 'sayang' apabila kita hanya menceritakan 'cinta' secara panjang lebar, tetapi mengupas ilmu 'mut'ah' secara tipis, ala kadar dan ringkas. Mengapa tidak menjadikan 'mut-'ah' sebagai fokus penceritaan, dan cinta sebagai sampingan? Barangkali, ia lebih wajar dengan sebeban ilmu yang kita miliki, bukan?

Kedua, cerpen menekankan aspek 'penjimatan' sehingga tidak 'berleter-leter', memadai sekiranya ia telah jelas. Lakukan perpindahan dari babak ke babak dengan segera dan jauhi unsur lewah.

Apapun, tahniah kepada penulis kerana memahami latar masa dengan baik. Ada juga imbas balik dalam karya yang memberikan kesan tersendiri.

Tuesday, January 15, 2008

Kesan Banjir

Majalah: SUKEJ
Edisi: 110
Kolum: Tumpuan
Genre: Artikel
Terbitan: Mac 2007
Oleh: Mohd Zaki M.Noor

Banjir yang melanda negara kita beberapa ketika dulu sudah cukup untuk membangkitkan persoalan; adakah dunia ini selamat didiami lagi? Tidak kira di mana kita berada, kita dikepungi lautan dengan 70 peratus permukaan bumi adalah air. Maka, kewujudan air sangat berkait rapat hampir pada setiap aspek kehidupan, lebih-lebih lagi aspek keselamatan dan nyawa.

Kesan paling buruk yang boleh dibawa oleh banjir adalah kehilangan nyawa. Sama ada kerana lemas, tercedera akibat banjir, putus bekalan makanan, putus bekalan air bersih, penyakit dan ketiadaan ubat, kesukaran menemui doktor, bahkan keganasan dan rampasan barang keperluan asasi akibat kekurangan dan keterdesakan mangsa-mangsa banjir. Semua itu mungkin. Bagaimana sekiranya air naik dan tidak surut-surut? Bukan saja boleh membunuh manusia, bahkan boleh melenyapkan negara.

Kesan paling buruk yang boleh dibawa oleh banjir adalah kehilangan nyawa. Sama ada kerana lemas, tercedera akibat banjir, putus bekalan makanan, putus bekalan air bersih, penyakit dan ketiadaan ubat, kesukaran menemui doktor, bahkan keganasan dan rampasan barang keperluan asasi akibat kekurangan dan keterdesakan mangsa-mangsa banjir. Semua itu mungkin. Bagaimana sekiranya air naik dan tidak surut-surut? Bukan saja boleh membunuh manusia, bahkan boleh melenyapkan negara.

Kerosakan harta benda sudah membayangkan kesannya kepada ekonomi manusia. Sekurang-kurangnya, kita memerlukan belanja dalam jumlah yang sama untuk mengembalikan keadaan kepada sediakala. Bank, premis perniagaan, semuanya mengalami kerugian teruk bukan sahaja kerana kerosakan harta, bahkan kerana aktiviti perniagaan yang terhenti.

Apabila barangan yang seharusnya dijual tidak dapat dijual, bahkan kerosakan barangan juga berlaku, maka ia menyebabkan kerugian di pihak peniaga. Syarikat yang menyertai bursa saham akan terjejas dan menyebabkan pelabur merasa tidak selamat dan mula mengalihkan modal kepada negara-negara lain sebagai alternatif. Justeru, minat pelabur yang luntur akan menyebabkan kesan yang lebih buruk kepada industri pelaburan dan tidak mustahil, krisis kewangan tahun 1999 boleh berulang.

Maka, banjir yang melanda Johor secara dahsyat bukan saja memberi kesan buruk kepada negeri Johor, bahkan memungkinkan risiko kepada ekonomi negara kita seluruhnya. Walaupun ini cuma logika sebab dan musabbab, namun risiko ini tidak harus dipandang remeh.

Banjir juga mengancam kesihatan. Bermula dari kegagalan fungsi hospital dan farmasi, berlanjutan kepada penularan penyakit-penyakit berjangkit. Penyakit seperti cirit-birit, taun, demam kepialu, denggi, hepatitis A dan kudis buta menjadi ancaman akibat daripada bahana banjir yang menjejaskan kebersihan makanan, minuman, persekitaran. Bahkan kesesakan di pusat-pusat pemindahan mangsa banjir turut memudahkan penularan sebarang penyakit berjangkit.

Penyakit Leptospirosis yang mula menyerang dengan dua kes kematian dicatat pada awal Januari 2007 adalah berpunca daripada bakteria Leptospira yang didapati daripada air kencing haiwan berdarah panas di mana penyakit ini boleh merosakkan organ dalaman manusia. Bakteria yang tersebar melalui air banjir mengancam keselamatan kerana penularan yang tidak terkawal.

Sekolah yang menjadi tempat penempatan sementara mangsa banjir turut terpaksa ditutup. Akibatnya proses pendidikan terganggu dan menghadapi masalah. Murid-murid dan pelajar tidak dapat ke sekolah dan proses mengajar terbantut di tengah-tengah. Keadaan boleh menjadi lebih buruk yang membabitkan masa depan generasi kecil kita.

Realitinya, banjir bukan saja memberi kesan buruk kepada semua mangsa yang terlibat, bahkan ia juga memberi kesan kepada kesedaran manusia terutamanya, dalam persiapan menghadapi banjir. Banjir telah membuka mata kita berkenaan sistem perparitan yang dilaporkan bermasalah, serta beberapa aktiviti pembalakan yang tidak terancang. Dakwaan tambakan pasir oleh Singapura menyebabkan banjir juga mendapat perhatian yang tidak sedikit, sekurang-kurangnya banjir telah menyebabkan kita lebih peka kepada banyak perkara yang sebelum ini lebih bersifat tersembunyi.

Monday, January 14, 2008

Ucapan Minta Maaf.

Ini adalah ucapan minta maaf dari saya, kepada semua yang saya cerobohi haknya. Untuk Syafiq Zulakifli, BPP, PMRAM, juga kepada semua yang saya lakukan segala urusan sesuka hati saya, YDP BKPJM dan orang perseorangan. Anggaplah saya belum matang dan gelojoh dalam berbuat urusan sehingga menungganglanggangkan segala yang sedia. Saya menarik balik kembali segala yang silap, dan harap kalau dapat dimaafkan.

Saturday, January 05, 2008

Hafiizullah, Bagaimana Boleh Ditakdirkan Betul

Hafiizullah, Bagaimana Boleh Ditakdirkan Betul

Sebelum membaca tulisan ini, anda perlu membaca tulisan saya sebelum ini bertajuk, ‘Hafizullah, Mengapa Salah’. Tidak membacanya terlebih dahulu boleh menyebabkan silap faham.

Pertama, saya sering menilai kembali hujah saya, dan tidak menolak kemungkinan saya ada terlepas pandang, kerana barangkali, dengan ilmu yang cetek, saya boleh tersilap.

Kedua, setelah meneliti beberapa komen mengenai lafaz ini, saya masih menganggap tarkib ini adalah salah secara asal, kerana meletakkan Allah sebagai maf-‘uul, dengan kedudukan hafiiz tidak mungkin menjadi isim maf-‘uul. Dan sekalipun ia adalah isim maf-‘uul, Allah dalam lafaz ini akan menjadi naib fa’-il, kerana isim maf-‘uul berhajat kepada naib dan menghilang-langsung kewujudan fa-‘il. Bagaimana mungkin fa-‘il dinyatakan bersama dengan isim maf-‘ul/sighah majhuul?

Ketiga, kedudukan hafiizullah tidak sama seperti hafazatullah. Hafiizullah tidak boleh dimaknakan dengan makna ‘milik/pempunyaan’, seperti hafazatullah yang bererti malaikat hafazah milik Allah. Milik dan pempunyaan adalah makna pecahan bagi min, yang mana min terkandung secara tersembunyi dengan kewujudan tarkib idofah. Hafiizullah tidak boleh diletakkan sama kedudukan atau sama teori dengan hafazatullah kerana ia bukan lafaz istilah, seperti lafaz hafazah menjadi istilah dan nama tertentu bagi malaikat.

Keempat, saya pening kenapa apabila kita cuba mentakdirkan makna ayat ini secara salah faham, kita sering meletakkan Allah sebagai fa-‘il, sedang lafaz ini berada di tempat maf-‘uul. Bahkan dengan memahaminya sebagai, ‘yang dipelihara Allah’. Apakah kita tak boleh melihat bahawa sekalipun memahaminya sebagai ‘yang dipelihara Allah’, bukankah Allah dalam kedudukan ini masih dan kekal bererti fa-il? Padahal ia berada di kedudukan maf-‘uul atau naib fa-‘il yang asalnya adalah maf-‘uul.

Bahasa Melayu, apabila menterbalikkan kedudukan maf-‘uul ke hadapan, atau dalam istilah Arab, maf-uul muqaddam, atau dalam bahasa mudah, maf-‘uul letak depan, fa-‘il letak belakang; ia menukarkan imbuhan ‘me’ kepada ‘di’. Contoh ayat; Allah memelihara dia; bertukar kepada; Dia dipelihara Allah, adalah sama, dan perbezaannya cuma dan hanya, keterbalikan kedudukan. Itulah realiti Bahasa Melayu, dan tidak sama dengan hakikat Bahasa Arab.

Apakah dengan hanya menukarkan bunyi ‘me’ kepada ‘di’ kita sudah menjadikan ia berbentuk majhul padahal bukan? Majhul atau sighah maf-‘uul memaksa kita menghilangkan fa-‘il, dan apa ertinya lafaz fa-‘il disebut sedangkan ia menuntut kehadiran naib fa-il yang asalnya adalah maf-‘uul.

Kesimpulan kepada hujah saya cuma ada dua. Bentuk idofah akan menuju kepada dua arah, dan tiada lain. Sama ada ia bererti ‘min’, atau ‘li’, dan bagi sebahagian ulamak bererti ‘fi’ walaupun ia kecil dan lemah; atau sama ada ia mempunyai makna yang mempunyai campur tangan dari fe-‘el, sehingga mewujudkan nilai fa-‘il dan maf-‘uul, atau naib fa-‘il. Baca keterangan hujah saya dalam tulisan dulu, dan tambah sedikit lagi dengan fakta ketiga yang saya nyatakan di atas, berkenaan lafaz hafazatullah. Lafaz Hafiiz tidak menjadi istilah, atau sesuatu benda yang dimiliki oleh Allah, bahkan Dialah yang menjadi Hafiiz, bukan benda lain menjadi hafiiz kepada zat-Nya.

Kembali kepada tajuk; bagaimanakah kesalahan ini masih boleh ditakdirkan betul.

Dalam tulisan dahulu, apabila hendak membetulkan lafaz hafiizullah, ia tidak boleh menjadi betul melainkan menukar lafaz hafiizullah kepada satu – hifzullah dan dua – alhafiizullah. Tetapi, saya baru mendapati bahawa hafiizullah yang selama ini saya katakan salah boleh ditakdirkan betul dengan satu cara yang lain, tanpa menukarkan lafaz, hanya menukarkan takdirnya.

Iaitu, menjadikan ia sebanding dengan apa yang disebutkan Nabi dalam lafaz hadisnya, ihfzillaha yahfazka. Peliharalah Allah, maka Allah akan memeliharamu. Allah dalam lafaz hadis ini adalah maf-‘uul, dan hafiizullah yang menjadikan lafaz Allah pada kedudukan maf-‘uul adalah sebanding dengan kedudukan Allah yang menjadi maf-‘uul di dalam hadis ini. Tetapi, penting dan mesti diketahui, apakah makna sebenar hadis ini, sehingga lafaz Allah berada di tempat maf-‘uul.

Hadis ihfazillaha yahfazka, sebenarnya bererti, ihfaz huquuqallah, atau ihfaz huduudallah. Bermakna, peliharalah hak-hak Allah, atau peliharalah had-had Allah. Allah setelah ditarkibkan dengan dengan huquq atau hudud, akan kembali kepada makna idofah (min), seperti yang saya jelaskan. Ia bermakna milik dan pempunyaan.

Kerana itu, lafaz hafiizullah akan bermakna menurut cara ini sebagai hafiizu haqqallah. Pemelihara hak Allah. Lafaz maf-uul dalam tarkib asal adalah lafaz mudofun ilaih dalam makna sebenar. Kaedah ini banyak digunapakai dalam kalam Arab, iaitu menjadikan mudof dan mudofun ilaih yang asalnya tarkib dua kalimah menjadi kalimah mufrad, dengan menghilangkan salah satu daripada keduanya.

Tetapi saya, sekalipun mentakdirkan bahawa hafiizullah boleh menjadi betul dengan cara ini, masih dan kekal melarang Allah menjadi maf-‘uul. Kerana dalam takdir yang saya sebutkan tadi, hafiizullah adalah bererti hafiizu haqqallah, dan lafaz yang menjadi maf-‘uul bukanlah Allah, tetapi haqq. Allah kekal berada suci daripada dimaknakan sebagai maf-‘uul.

Sebetulnya, satu-satunya perkara yang mengganggu fikiran saya, dan menggoyahkan hujah saya adalah adalah takdir yang kedua ini. Tetapi takdir pertama (iaitu yang di atas ini) adalah paling tepat dan paling sabit. Dan takdir kedua ini adalah tidak pasti dan masih dalam kajian.

Iaitu mentakdirkan bahawa lafaz hafiizullah bermakna hifzullah. Lafaz hifzullah adalah betul secara makna, dan ia telah dijelaskan dalam tulisan saya dahulu. Sekiranya lafaz hafiizullah yang saya hukumkan sebagai salah secara tiba-tiba bermakna hifzullah secara praktikalnya, maka ranap dan gugurlah hujah saya. Akan tetapi, hafiizullah masih kekal salah secara asal, cuma menjadi betul setelah dikadarkan bererti hifzullah.

Inilah takdir kedua yang saya katakan tidak pasti tadi. Kewujudan zohiroh (fenomena) ini dalam bahasa Arab memang wujud, dan saya masih belum menemukan kaedahnya, baik secara mulahazoh mahupun secara teori yang tersebut sedia dalam kitab-kitab. Ia berasal dari firman Allah yang bererti ‘hijab yang menutupi’. Dalam lafaz, ia berbunyi, hijaaban mastuura. Mastuura adalah lafaz maf-‘uul, sedangkan lafaz yang selayaknya diletakkan di tempat mastuura adalah saatiira. Mastuura bererti ditutupi, dan saatira bererti menutupi.

Hijab sifatnya adalah menutupi, dan bukan ditutupi oleh sesuatu yang lain. Kerana itu, apabila lafaz hijaaban mastuura digunakan, dan ia salah secara asal, ia telah ditakdirkan kepada makna lain iaitu hijaaban saatira, tanpa menghukumkan ia salah, kerana ia suatu yang sedia maklum. Peletakkan lafaz bukan pada tempatnya ini, atau peletakkan wazan bukan pada tempatnya ini, belum begitu jelas kepada saya. Yang belum jelas adalah, di manakah pemisah beza antara betul dan salah? Kita tak boleh melabel semua yang salah secara tiba-tiba dengan betul, hanya mengikut nafsu, melainkan ia ada kaedah tertentu, atau ia bersandar penuh kepada zauk arabie yang saliim.

Saya meneliti masalah ini sejak sekian lama, dan kebanyakan peletakan wazan bukan pada tempatnya, biasanya boleh ditakdirkan betul, pada lafaz masdar. Seperti ayat imaamun ‘adlun, bererti imaamun ‘aadilun. Lafaz masdar iaitu ‘adlun, secara salah letaknya; telah difahami dengan baik sebagai ‘aadilun, kerana lafaz masdar, adalah lafaz yang pertengahan di antara lembut dan keras, di antara lembutnya sifat dan kerasnya zat, tetapi lebih hampir kepada kekerasan zat, sehingga boleh masuk kepada badal dan yang setara dengannya.

Tetapi, ini adalah lafaz masdar. Bagaimana dengan wazan-wazan lain, seperti yang dicontohkan oleh mastuura tadi? Saya masih belum berjumpa kaedahnya, atau mungkin ia disandarkan kepada zauk arabi salim semata-mata.

Kembali kepada hafiizullah, adakah dengan konsep peletakkan wazan bukan pada tempatnya memungkinkan hafiizullah bererti hifzullah, saya sendiri tidak pasti. Tetapi ghalabatuzzan saya mengatakan, ia lebih hampir kepada tidak, daripada hampir kepada ya. Apa pun, kalau hafiizullah dengan makna asal, ia adalah salah, dan perlu ditukar kepada lafaz lain, atau perlu ditakdirkan dengan lafaz lain. Wallahu a’-lam.