Tuesday, July 15, 2008

Media Perdana Dan Pelapis

Rasanya sudah setahun juga saya tidak menghantar karya ke mana-mana penerbitan dalam negara. Mungkin kerana berasa sedikit marah kerana ada karya saya diterbitkan tanpa pengetahuan saya. Walaupun perkara ini pernah dibangkitkan oleh Kak Nisah mengenai sikap sebahagian editor yang tidak memaklumkan kepada penulis berkenaan karyanya diterbitkan.

Penulis-penulis muda sebenarnya sangat-sangat berharap dapat mengetahui jika karya mereka tersiar. Terutama dari editor. Bahkan sekiranya dapat, mahu melihat sendiri helaian terbitan itu di depan matanya. Tetapi saya masih terkilan sehingga sekarang, kerana ada karya saya yang terbit tetapi saya masih tidak pernah melihatnya. Saya cuma boleh ternganga bila orang-orang bercerita mengenainya di depan saya. Mungkin helaian itu sudah jadi sejarah yang entah di mana saya mungkin dapat menatapnya di atas tangan sendiri.

Sebetulnya bukanlah menjadi rungutan sekiranya sasaran terbit bertukar ke majalah lain. Saya boleh terima, cuma rasa terkilan apabila tidak dimaklumkan, bahkan terlepas untuk mengetahui hakikat perkara ini. Apakah yang mengejutkan daripada ia terbit di tempat yang saya tidak pernah hantar, dan tidak dimaklumkan? Bahkan tiada peluang untuk berkirim beli, apatah lagi untuk menatapnya sendiri.

Itu memang membuatkan saya terkilan. Mungkin itulah dugaan menghantar dari luar negara. Dalam masa setahun ini juga saya asyik berfikir, bahawa saya juga mahu meredakan ketegangan salah faham keluarga berkenaan penulisan. Tiada eloknya saya bertengkar dan berdebat. Tetapi itu tidak bermakna saya menukar pendirian saya terhadap penulisan ini. Saya bukan budak kecil yang tidak tahu berfikir, walaupun saya sedar saya kurang pengalaman dalam hidup. Dan saya tidak mahu melepaskan azam penulisan ini, walaupun tanpa sokongan dari sesiapa.

Bercakap mengenai menembusi media arus perdana, selalunya menimbulkan beberapa persepsi dalam minda saya. Terutama mengenai tujuan karya itu sendiri. Juga kualitinya. Bahkan, sejauh mana ia memenuhi objektif saya. Kalau saya yang dulu, menembusi media bererti mencipta nama. Tetapi bagi saya yang sekarang, menembusi media bermakna mencipta imej. Atau menilai keberkesanan objektif.

Apabila bercakap mengenai media juga, saya teringat kepada beberapa calon penulis yang sudah mula menempah nama di zaman saya. Nama-nama seperti Sammaituha Najwa, Zainab Haron, Ishaq Hanis, Syafiq Zulakifli, Lailati Mahat membuatkan saya rasa usaha saya banyak berjaya. Walaupun sebenarnya sumbangan saya juga tidak banyak sebenarnya. Tetapi saya juga berbangga dengan beberapa penulis yang menunjukkan kesungguhan beberapa kali dan berterusan; itu saya dapat kesani melalui penyertaan mereka dalam program-program yang dianjurkan dalam pelbagai medan dan peluang. Malangnya saya tidak kenal, dan mudah lupa, kerana mereka bukan senegeri.

Saya percaya, mereka yang bersungguh-sungguh ini akan berjaya. Walaupun ia bukan kejayaan segera, tetapi langkah-langkah itu tetap ada. Saya percaya mereka akan menjadi pelapis dan penggerak yang boleh diharapkan. Saya ada kesani beberapa orang dari pelbagai negeri, tetapi kebanyakannya malu dan suka untuk tidak dikenali. Atau sebahagiannya tidak menerima pelawaan ke adabuna, lalu hilang tanpa dikesan, hanya muncul kembali apabila program diadakan. Begitu juga dengan beberapa bkan dan dpm yang mula menunjukkan kesungguhan yang boleh dibanggakan.

Untuk dunia yang kalian lalui, saya doakan selamat dan diberkati.

3 comments:

Tarbus Merah said...

Salam.

Saudara di antara insan-insan yang mengenalkan 'kami' dengan dunia penulisan. Malah, 'kami' bermain seni ini pun hasil tangan saudara.

Malah sumbangan saudara saya kira amat besar di dalam mencorak mahasiswa di Mesir.

Apabila saya berada di dalam kepimpinan, mereka seringkali mengulangi kalimah aljantanie sekitar tahun 2005-2006.

Seharusnya kita berbangga ada insan seperti saudara yang sanggup membangkitkan resah sahabat kita meladeni dunia kesusasteraan ini.

Kita juga amat berbangga tindakan saudara melahirkan kader-kader penulis Islam di dalam memperjuangkan seni penulisan ini.

Apalagi yang saya harus ucapkan selain daripada tahniah?

Syarifah Salha Syed Ahmad said...

Teruskan perjuangan!

MZP said...

Kalau ini dipanggil berjuang sekalipun, antara yang mesti saya buat adalah membentuk pelapis. Supaya penulisan ini boleh terus hidup. Saya akan pastikan pembentang untuk KELAP awal bulan 8 adalah dari generasi pelapis tentunya.