Saturday, July 12, 2008

Ruin

Sebenarnya, saya selalu putus asa dengan kepimpinan. Atau lebih tepat, dengan hampir semua kepimpinan. Itulah ayat yang saya tahan-tahan selama ini. Kerana ayat ini selalunya menyakitkan kebanyakan yang membacanya. Tapi saya menulis bukan untuk menyakitkan hati orang. Kerana saya tahu, kekecewaan saya, dan keputus-asaan saya sudah jelas terpapar di wajah saya sendiri, tanpa perlu lidah menuturkannya. Atau dalam tindak-tanduk saya.

Apakah ia tidak ketara?

Tetapi kata-kata seorang junior ini (bukan saya tentunya) mungkin akan melegakan kemarahan dan sakit hati anda. "Kepimpinan tidak dapat memuaskan hati semua orang." Jadi dengan hakikat ini, saya selalu berharap, saya adalah kelompok minoriti yang tak dipuaskan, atau berasa puas, sedangkan majoriti yang lain adalah sebaliknya. Kerana sekiranya kelompok majoriti juga tidak puas, maka kepimpinan itu memang bermasalah. Mengandaikan saya adalah minoriti membuatkan saya rasa 'tidak mengapalah'.

Bukankah ia meredakan kemarahan anda?

Apa yang saya selalu terfikir adalah, mengapa saya masih boleh bekerjasama dengan mereka dalam keadaan putus asa ini. Hingga bertahun-tahun, dan bermusim-musim. Mengapa saya boleh menahan diri dan masih juga menyumbangkan tenaga walaupun kurang senyum. Mungkin itulah namanya wala' saya, walaupun tidak seberapa. Tetapi jangan salah faham. Berkerjasamanya saya bukan bererti saya tidak marah dan tidak kecewa. Dan ia juga tidak bererti saya menukar pendirian saya.

Ah, anda juga boleh kata, anda kecewa dengan ahli seperti saya.

Saya sudah tua. Kadang-kadang saya mahu jadi pejuang yang tercicir dari amal jama-'ie, untuk cuba melihat dunia amal fardi. Mereka yang faham akan sedar kepentingan kedua-duanya, baik yang jama-'ie mahupun fardi, tanpa merendah-rendahkan antara satu sama lain. Mereka yang suka merendah-rendahkan ini bagi saya adalah mereka yang tidak faham hakikat, tapi mahu bergelar. Orang yang tidak faham ini adalah tidak sedar erti, tapi mahu bernama.

Adakah ia berbunyi putus asa kepada anda?

Tetapi saya, masih lagi berjaya tersenyum, walaupun ia cuma topeng sepuluh saat. Saya masih berjaya bercakap dengan nada yang tidak mengherdik, walaupun cuma sepuluh minit. Saya masih berjaya singgah dan bertukar khabar, walaupun cuma sepuluh ketika. Saya percaya, saya berjaya menipu anda bahawa saya sama saja seperti biasa, walaupun untuk sepuluh kata pertama. Saya percaya, saya berjaya melakukan semua ini, walaupun untuk sepuluh kali.

Bukankah dengan putus asa dan kekecewaan ini seolah-olah saya sudah tidak peduli dengan apa juga yang bakal terjadi?

Tetapi saya mengalu-alukan usaha-usaha yang baik. Usaha-usaha terpuji tidak saya sangkal. Saya juga mengiktiraf kebolehan anda memuaskan majoriti. Usaha-usaha yang ada mirip dengan usaha saya juga tidak saya tolak. Kerana saya faham hakikat kepimpinan. Masing-masing mempunyai hadaf, dan mempunyai cara sendiri mencapainya. Bahkan mempunyai turutan keutamaan mengikut penialaian masing-masing. Kerana itu, saya tidak mengherdik usaha-usaha mereka, tetapi saya mengherdik ketidak-usaha-usaha-an. Walaupun usaha-usaha itu, bukan usaha-usaha yang berada di kesukaan saya.

Bukankah itu bererti, saya cuba juga mengiktirafkan anda?

Saya percaya, mujtamak ini bukan berdiri kerana saya. Bukan dengan saya sebagai tiangnya. Atau saya sebagai asasnya. Saya mungkin berada di mana-mana dahan, atau di hujung ranting yang kalaupun patah tidak langsung menggoyangkan akar. Saya percaya, kalaupun saya menjadi ranting yang gugur, atau daun yang luruh, akan ada ranting dan daun lain yang akan tumbuh. Bahkan di dahan lain barangkali, bukan di dahan yang patah. Sebab itu ada pepatah menyebut, patah tumbuh hilang berganti.

Jadi?

Tetapi ada benarnya. Kadang-kadang saya sudah tidak peduli apa akan jadi. Atau lebih tepat, saya percaya sesuatu yang baik akan terjadi, walaupun ia sesuatu yang lain, lain dari yang kita boleh bayangkan. Kerana itu saya tidak berpendirian menyekat ia dari runtuh, roboh, sebaliknya saya menyerahkan kepada anda yang menguasai majoriti untuk mencoraknya. Kerana itu saya berpendirian memerhati dan bukannya menggesa, kerana saya yakin bahawa kita semua generasi yang boleh berfikir dan mencorak.

Adakah ia bermakna, putus asa saya sudah tidak bererti sejak mula?

No comments: