Monday, December 07, 2009

Jalan Yang Lebih Panjang

Saya tidak menafikan zaman ini adalah zaman teknologi yang canggih. Saya tahu zaman ini sudah tiba ke zaman kesimpulan; menghimpunkan rumusan lalu membentuk pengkaedahan yang jitu dan rumit, menepati kepada semua cabang-cabang permasalahan.

Tetapi bagi saya, tidak semua boleh diteknologikan, disimpulkan, dirumuskan, dikaedahkan. Masih ada yang terkeluar dari kaedah dan rumus, dan berputar di falaknya sendiri. Masih terlalu banyak yang takkan mampu disistemkan, atau dikomputerkan. Itulah hakikat yang saya fahami sejak beberapa tahun dahulu.

Walaupun benar, saya juga mengambil manfaat dari kewujudan teknologi-rumusan-pengkaedahan ini, lebih-lebih lagi apabila didesak keadaan, disempitkan jalan, dan dipaksai tuntutan. Namun secara peribadi, kalau tidak kerana disebabkan semua itu, saya lebih suka menjalaninya secara manual, tradisional, tatih sebelum jalan. Ia jalan yang panjang, berliku, menderai diri, perlahan, leceh; tetapi dapat merasai anginnya, udaranya, suaranya, bahkan nadinya.

Itu bukan bermakna saya memandang rendah teknologi-rumusan-pengkaedahan ini. Tetapi saya sudah bertukar memilih jalan yang panjang dari yang singkat. Barangkali kerana saya kurang bijak dan perlukan masa yang panjang. Tapi saya yakin, seperti mana masal Arab - Man saaro 'ala darbihi wasol - Siapa yang berjalan di jalannya, dia akan sampai.

No comments: