Kitab pertama yang saya perkenalkan ini adalah sebuah mukjam, yang diberi nama, al-Mu'-jamu l-'Arabii l-Asaasii, yang diterbitkan oleh al-Munazh-zhomah al-'Arabiah Li t-Tarbiyah Wa ts-Tsaqafah Wa l-'Uluum (Pertubuhan Pendidikan, Pengetahuan dan Sains, Arab). Ia dikarang secara khusus untuk orang 'ajam (bangsa selain Arab), dan di dalam prakatanya juga menyebut, bahawa ia juga untuk bangsa Arab, kerana Bahasa Arab itu adalah satu, untuk ahli dan bukan ahlinya.
Mukjam, bukanlah bermaksud meng-'ajam-kan anda (menjadikan anda 'ajam), seperti yang diwakili oleh wazan af-'ala, tetapi adalah untuk menghilangkan ke-'ajam-an (ketidakfasihan bahasa Arab) anda. Itu anda akan fahami apabila banyak meneliti wazan af-'ala. Mukjam ini bagi saya sangat bermanfaat dan memudahkan, terutamanya bagi kita yang di peringkat awal mengenali Bahasa Arab. Saya sendiri masih di peringkat awal mengenali Bahasa Arab.
Sekalipun jumlah mawad (kalimah yang didaftarkan) kurang berbanding dengan mukjam lain seperti al-Wasiit, tetapi kedapatan juga beberapa kalimah yang terdapat di mukjam ini dan tidak terdapat di lainnya. Antara kelebihan lain mukjam ini adalah, ia banyak menyediakan contoh-contoh ayat yang membantu mubtadi-iin (golongan permulaan) seperti kita ini memahami dengan lebih baik lagi. Diselitkan juga masal (perumpamaan) Arab, bahkan menyertakan bersama beberapa bentuk tarkiib (frasa) yang membawa maksud tambahan, lebih dari sekadar maksud asal kalimah.
Dari mukjam ini saya mempelajari banyak perkara mengenai bahasa Arab. Walaupun ya, pada sesetengah ketika terdapat mawad (daftar kata) yang sukar kerana ia merupakan mustolahaat (istilah) ilmu dan sains. Menyelak lembar ke lembar anda akan mengetahui bahawa ia bukan dikarang oleh satu orang bahkan ramai pakar-pakar dalam bahasa Arab, yang juga merupakan orang Arab. Ia juga merupakan mukjam yang menghimpunkan majaami' lughah arabiah (pelbagai akademi bahasa Arab) dari beberapa negara, yang bertanggungjawab mengawasi Bahasa Arab.
المعجم العربي الأساسي
No comments:
Post a Comment