Dulu, saya adalah seorang yang sangat berpegang dengan janji. Dan kadang-kadang saya melebarkan juga kepada kalam-kalam orang, walaupun mereka tidak mengatakan ia sebagai janji. Selagi mana saya melihat keazaman mereka, saya akan bersungguh-sungguh untuk menepatinya. Tetapi apabila melihat dunia kedewasaan ini, saya makin hilang percaya dengan kalam kebanyakan orang, bahkan dengan janji juga. Sesetengah orang ini, janjinya hampir-hampir tidak memberi apa-apa erti bagi saya. Apatah lagi kalam, azam dan perancangannya juga.
Kerana itu, dulu, saya kerap naik darah dan sakit hati apabila berdepan dengan mereka yang mudah dan tanpa rasa bersalah menyalahi janji, menukar perancangan dan membatalkan keazaman. Apabila saya sudah bersedia dengan segala persediaan, mengatur waktu semata-mata untuk mereka, mereka tanpa rasa apa-apa membuat sesuka hati. Saya fikir mereka terlupa bahawa janji itu adalah sesuatu yang mesti ditepati.
Kerana itu, apabila saya cuba memaafkan, saya terpaksa berdepan dengan hakikat, bahawa semua janji mereka itu bukan janji, dan semua azam mereka itu hanyalah kalam kosong, bahkan semua perancangan mereka itu cumalah angan-angan yang belum dipastikan mahu dilaksanakan atau tidak. Saya mengatakan pada diri, mereka sebetulnya tidak merancang apa-apa, dan tidak perlu terlalu serius untuk mencapainya, bahkan anggaplah ia akan batal bila-bila masa sahaja.
Kemudian barulah saya faham mengapa seorang muslim dilarang melanggar janji sehingga digambarkan sebagai memiliki satu cabang nifaq. Kerana melanggar janji akan menghilangkan kepercayaan orang kepada kita. Melanggar janji akan membuatkan semua azam kita menjadi sampah di mata orang lain. Semua kalam kita hanya didengar dengan telinga yang luas dan bolos, yang menembusi kanan telinga ke kirinya. Apabila melanggar janji menjadi sifat kita, tidak ada satu kesungguhan kita akan dipandang serius, bahkan hanyalah khayal dan angan-angan kosong.
Walaupun ya saya tahu, sesiapa saja masih dalam jalan memperbaiki diri. Kekurangan ada saja pada setiap orang, dan sesetengahnya diuji dengan penyakit ini. Walaupun ya, dari sudut hak kita terhadap mereka, mereka dikira bersalah, tapi dari sudut dakwah, mereka belum perlu dijatuhkan hukuman, sebaliknya perlu diberikan peluang menyedari kesilapan diri dan memperbetulkan, diajarkan betapa menyalahi janji adalah sikap yang tidak harus mereka pakai dan perlahan-lahan harus ditinggalkan.
Berdepan dengan janji, kalam dan azam mereka ini, saya kerap kali goyah, antara mahu menyakini atau tidak. Usahlah dikira betapa terkilannya dengan semua ini, tetapi kadang kala kalam guru saya Syeikh Fathi berkumandang di dalam kepala yang maksudnya, "Cukuplah bahawa kamu tidak mengetahui alasan mereka itu sendiri menjadi alasan untuk mereka" lalu ditasamuhi dan di-tak-ambil-kisah-kan.
No comments:
Post a Comment