Pengalaman bertanding dalam ahli tadbir persatuan mungkin boleh menjadi sesuatu kenang-kenangan bagi saya selama di Mesir. Saya tidak berasa pelik dengan darah saya, kerana saya adalah darah campuran seorang ibu yang berpersatuan hingga ke jawatan ketua, dan darah seorang ayah yang tidak suka dan asyik melepaskan kerusi jawatan walaupun sekecil-kecil pangkat. Pilihanraya kali itu adalah sesuatu yang bermakna kerana ia meyakinkan saya bahawa saya memiliki idea ibu sebagai ketua dan jiwa bapa sebagai pengikut.
Bukan itu sebetulnya pengalaman yang berharga untuk dijadikan kenang-kenangan. Yang berharga bagi saya adalah saya melihat sendiri situasi sebenar pertandingan yang benar-benar panas, sehingga saya sendiri hampir tidak percaya. Mereka yang selama ini mesra dan bergurau senda dengan saya boleh menjadi masam hingga langsung muka saya tidak dipandangnya. Ada yang saya menegurnya setelah duduk di sebelahnya, dia langsung tidak menoleh. Ada yang saya berbicara kepadanya, dia langsung tidak mengangkat kepala menjawab soalan saya sebaliknya diam membisu.
Saya melihat sendiri orang yang selalu akan menyapa saya dan duduk lama berbual menjadi seorang yang tidak banyak cakap dan cepat mahu meminta diri. Orang yang boleh berbalas senda dan sapa menjadi seorang yang langsung tidak mahu membalas percakapan saya padahal saya berdiri di hadapannya dan mengulang ayat yang sama sehingga tiga kali, dan setelah itu pun masih tidak menyahut walau sepatah perkataan saya. Ketika itu, saya sendiri ragu, adakah saya patut ketawa kerana kelakarnya melihat reaksi orang, atau saya patut takut dan kecut perut kerana dilayan sedemikian sekali oleh segelintir orang. Tentulah, mereka yang menyokong saya tidak menyatakan sokongan terang-terang kecuali sedikit.
Barulah saya faham apakah yang berlaku dalam sesebuah pertandingan yang benar-benar. Manusia boleh berubah dan tidak mampu menyembunyikan isi hati mereka. Semuanya jelas terpapar dengan riak muka yang saya sungguh tidak sangka, dan saya menyaksikan dengan mata kepala sendiri. Tentulah. Apabila keputusan keluar dan saya tidak menang kerusi, semua yang masam menjadi manis, yang tidak menjawab pertanyaan walau sepatah bertukar menjadi seorang yang ramah dan bergurau semula, orang yang asyik tunduk sudah mula boleh berbicara dengan saya. Sekelip mata, mereka bertukar menjadi seseorang yang lain, sehingga saya sendiri tidak pasti, yang mana satukah mereka yang sebenarnya.
Ada ketikanya saya jadi buntu mengalami tekanan di pilihanraya, tetapi saya belajar untuk menghadapi bahkan meraih sokongan daripada sebesar-besar tokoh yang menyebelahi pihak lawan. Barulah ayat yang sukar saya lafazkan - iaitu undilah saya - menjadi lafaz yang dilafazkan semudah bergurau senda. Sukar menyebut saya menghantar mesej. Tidak lama setelah itu, semua lafaz-lafaz itu menjadi ringan dan mudah. Bahkan saya berazam untuk mula berhadapan dengan semua pihak lebih awal, kerana lambat laun saya kena juga nanti. Di pilihanraya itu baru saya faham, bagaimana orang boleh sakit perut kerana gementar dan gemuruh. Dan barulah saya faham besarnya erti bersujud dan merayu pada Tuhan. Sungguh bila Tuhan bukakan jalan, pada-Nya syukur yang tak terhingga.
Saya sebetulnya dapat meneka bahawa saya akan kalah hanya pada sehari sebelum pengundian. Ketika itu, orang yang paling saya harapkan menyebelahi saya, dan dia pada awalnya sudah menyebelahi saya, bertukar pihak kepada pihak lawan. Kerana beliau adalah haruman dunia dan keturunan yang tidak akan putus hingga hari kiamat, apabila beliau beralih pihak lantas terdetik saya di sehari sebelum pengundian bahawa saya akan kalah. Begitulah telahan hati saya. Dan apabila tewas, tahulah saya bahawa zaman ini bukan zaman saya. Zaman saya sudah lepas dan berakhir.
Tentulah saya bukan bertanding suka-suka, tetapi kerana memperjuangkan sesuatu yang sebelum ini sudah jenuh saya utarakan tetapi diabaikan lagi dan lagi. Tentulah saya bukan bertanding kerana gilakan pangkat. Kalau benar kerana mahukannya sudah saya masuk sejak dulu lagi, ketika masih ramai yang mengenali saya, bukan ketika di tahun terakhir dan bukan di ketika orang yang mengenali saya cuma tinggal sedikit. Namun, saya bersyukur kerana tewas, kerana setelah itu Tuhan telah bukakan pintu yang lebih baik. Sungguh kurnia Tuhan itu amatlah luas. Anugerahnya itu amat agung. Kalau sekarang ditawarkan semula, sungguh saya akan menolaknya. Haaza hubbun la ya'-diluhu hubbun, wa lau mar-ah fi qimmati l-jamaal.
Sekurang-kurangnya, saya sudah cuba mengubah persatuan ini dengan kedua-dua jalan. Jalan ketika saya cuma bergelar pengikut, dan jalan ketika saya cuba menjadi ketua. Selebihnya saya serahkan kepada Tuhan. Kerana tiada taksir melainkan semua itu di tangan-Nya, di dalam kekuasaan-Nya, dan di bawah kehendak-Nya. Kalaupun saya berjaya dan bergelar ketua, ia tidak pernah menjamin tak-tsir yang pada-Nya sajalah tanpa sebarang pekongsi.
No comments:
Post a Comment