Barangkali, dua tahun adalah angka yang kecil bagi sesiapa sahaja. Tetapi dua tahun membangunkan blog bagi saya adalah amat manis kerana melalui pelbagai liku. Blog atau jurnal, dan penulisnya dipanggil blogger atau jurnalis, adalah saya dan jurnal ini. 2 tahun. Sejak 30 Ogos 2004.
Biar saya menulis dengan santai.
Saya tidak pernah menganggap blog semata-mata suratkhabar, sehingga isinya perlu ditatap setiap hari, bahkan bukan juga semata-mata buku ilmiah hingga isinya dijadikan bahan perbincangan, dan bukan juga semata-mata diari hingga boleh bertukar-tukar rahsia hati. Ia kompleks, ia gabungan bermacam-macam rasa, fikir, ide, tajuk, bahan, isi, isu, dan menjelma perlahan-lahan menonjolkan identiti kepengarangan individu.
Membina blog ketika di zaman saya itu, adalah sangat sukar, kerana tiada sesiapa yang datang mengajar, menunjuk, memandu. Bahkan, yang memiliki blog boleh dikira. Blog waktu itu tidak seperti sekarang, sudah banyak, berlambak-lambak; tidak popular seperti kini, dan semua itu mengajarkan saya sesuatu, waktu itu - bahawa jalan ini sangat sepi.
Waktu itu, kalau menziarah blog saya, ia tidak ada gambar, semata-mata tulisan, tidak ada bunyi atau lagu, tidak ada link, tidak ada shoutbox, tidak ada pengira pengunjung, tidak ada apa-apa melainkan bahagian utama yang berisi tulisan memanjang ke bawah. Ia tidak cantik. Kerana saya tahu, saya jahil, dan saya tak mampu menyoleknya.
Waktu itu, siapa pembaca saya, pasti imma bosan, atau sebenarnya tidak ada langsung. Kerana itu saya bertekad - biarlah tidak cantik dan kosong semata, tetapi isinya mampu menarik orang membaca, datang dan datang lagi. Isi. Itulah target saya, sebagai ganti kejahilan. Pun begitu, saya yang cuma jurnalis muda waktu itu, menulis entah apa-apa.
Saya tidak pernah berkata - kalau mahu menjadi penulis, binalah blog. Adakah anda sudah benar-benar jadi penulis dengan hanya punyai blog? Saya cuma pernah kata - binalah blog, supaya bahasa kita menjadi lancar, dan esok lusa kalau-kalau mahu menulis buku, masalah bukan lagi pada bahasa. Tulat langkat, kalau-kalau mahu menulis novel cerpen, masalah bukan lagi pada bahasa. Dan waktu itu, cuma perlu mengumpul isi, menghadap komputer, dan mula menulis tanpa perlu berhenti henti mencari perkataan yang sesuai, ayat yang sesuai, uslub yang sesuai, tanda baca yang sesuai, nama yang sesuai....
Dan itulah jalan hidup blog saya. Lancarkan bahasa.
Ada orang menggelar saya penulis, dan ada yang menggelar saya jurnalis. Sebenarnya, adakah mereka faham benar-benar, apa itu penulis, apa itu jurnalis, dan, benarkan apa yang mereka gelar?
Pun begitu, macam-macam perkara telah masuk dan menjadi cerita dalam blog ini. Dari perbincangan ilmiah, masuk kepada perdebatan hujah, beralih kepada sastera dan kritikan, bercampur ide dan pendapat, bergaul dengan hati dan perasaan, suka dan benci, hingga sampai kepada mempamerkan dari satu minat kepada satu minat saya yang lain - motivasi, psikologi, sastera, kritikan, matematik, bahasa, logikal, design, komputer, teknologi, dan lain-lain. Masih, ia adalah blog saya.
Namun, ada juga yang kurang senang saya menulis. Dengan beberapa sebab. Tetapi, kedegilan, saya, niat, dan diri, sudah sebati, dan perlahan-lahan, menampakkan identiti saya yang sebenarnya.
2 tahun. Saya akan katakan - anda tidak mampu mengenali orang hanya dengan membaca tulisannya. Anda masih sangat jauh dari memahami.
2 tahun. Bermula tanpa menentukan mana satu langkah yang pertama, kerana kita juga tidak tahu mana satu langkah yang terakhir. Tapi, saya bangga, saya juga punya blog.
No comments:
Post a Comment