Saya terfikir idea yang besar. Untuk penulis dan penulisan. Di Mesir. Tetapi, sebagai seorang yang memahami bagaimana sesebuah program terjadi, tentulah saya selalu memikirkan banyak perkara, bahkan halangan dan persoalan yang perlu diselesaikan. Kerumitan yang perlu dan kerumitan yang sia-sia. Birokrasi. Campur tangan. Belanjawan. Promosi. Dan lain-lain.
Mari tinggalkan semua itu dan mendengar idea ini dahulu.
Oleh kerana saya seorang yang mudah, maka saya bencikan kelecehan. Fokuskan pada tugasan, dan meminimumkan tenaga kerja. Menolak formaliti sekiranya ia tidak perlu. Terus kepada mauduk dan jauharnya. Lalu saya mencadangkan agar Hari Baca Novel dibuat secara non formal dan santai.
Kemudian, datang bantuan dari tenaga pakar, dari Malaysia. Lalu dengan kerana itu, formaliti menjadi suatu yang mesti. Harus dimajliskan. Perlu ditetapkan putus dan qat-‘ii. Ia dinamakan, Diskusi CDRK, kependekan bagi Antologi Cinta dan Rona Kinanah. Dari dua pendiskusi yang tidak asing dari tanah air, S M Zakir dan Samsudin Othman.
Sebagai seorang yang suka menyumbang idea dan pengalaman bahkan pendapat, walaupun menyedari kekurangan diri dari segala macam aspek, saya terfikirkan mengenai suara kampus yang suram dan sunyi dari luarnya, padahal dunia itu meriah dan galak di dalamnya. Mengenai pengurusan suara kampus, dari hati ke mata. Atau dalam bahasa yang mudah, bermula dari keinginan membuatnya, hinggalah ia siap di depan mata. Ini juga rasmi dan formal. Dan mensasarkan kepada BKAN dan DPM secara khusus, walaupun terbuka kepada umum.
Dan akhirnya, konferens mengenai teknik dan format menembusi media perdana. Barangkali boleh dijadikan program maya, lalu diisi secara elektronik, atau boleh dijadikan rasmi, lalu diisi tenaga amatur, atau boleh digabungkan.
Empat dalam satu, tetapi empat itu bukan seperti air di dalamnya ada sayur, ada garam, ada santan dan ada telur, tetapi empat yang seperti ayam masak merah satu mangkuk, nasi goreng cina satu pinggan, mee goreng basah satu kuali dan tempe sira sambal satu piring, dengan keempat-empat hidangan dalam satu menu.
Bagaimana harus saya carakan idea ini? Terutamanya meminimumkan formaliti dan merealisasikan mauduk. Haruskan ia digabungkan (walaupun akan berbeza manhaj dan imej pelaksanaan) dalam satu minggu bernama Minggu Penulis PMRAM di akhir bulan Januari atau paling lewat, awal bulan Februari, di bawah nama KELAP?
Selepas idea ini dikemaskinikan, nanti saya paparkan kesimpulannya.
No comments:
Post a Comment