Selamat Hari Raya Aidil Adha. Itulah ucapan lazim untuk antum. Juga saya tujukan khas untuk keluarga, mak ayah, abang adik dan juga kak long.
Waktu-waktu begini, antara yang paling menarik untuk diperhatikan adalah binatang korban. Kelajuan Arab menyelesaikan kambing mahupun lembu, bahkan meminimumkan jumlah tenaga (2 atau 3 sahaja) untuk satu-satu binatang, juga teknik seperti menggunakan salur untuk memasukkan angin hingga menjadikan kambing kembung, lalu memudahkan kulit diceraikan dari daging ketika proses melapah.
Dan, seperti kita juga, sebelum raya, atau lebih tepat, malam raya, akan sibuk mencari daging supaya boleh dimasak untuk makan pagi raya. Jadi, kemeriahan sembelih bukan bermula pada hari pertama raya korban, tapi dua tiga hari sebelumnya. Apa yang sedikit menyedihkan barangkali kerana darah membanjir mengalir di jalan-jalan, mungkin sebab kelemahan sistem perparitan, tak banyak parit, jadi darah mengalir dan menunggu masa untuk menyejat kering.
Kerana itu, antara sebab mengapa raya korban lebih meriah berbanding raya puasa, pertama, adalah kerana raya itu 4 hari, dan selama 4 hari jugalah, pada setiap lepas solat, takbir yang membangkitkan semangat berteriakan. Kedua, kerana hampir pada setiap rumah ada korban. Atau lebih tepat, pada hampir setiap tempat. Ketiga, kerana semua orang mencari daging. Memberikan daging. Atau lebih betul, hampir semua orang. Bukan saja daging, bahkan kulit dan perut.
Mungkin di Malaysia, ia kurang meriah kerana tak semua tempat ada sembelih. Kadang-kadang, ada kampung yang tiada korban. Kerana itu, kurang kemahiran. Dan menyebabkan kurang kemeriahan. Di sini, hampir semua tempat. Lori kecil berkeliaran dengan corong speaker menjerit mencari kulit. Lelaki perempuan menunggu di tempat-tempat sembelih. Kain rentang digantung menyatakan ada tabarru' daging untuk aitaam dan fuqorok. Hingga kita terlupa, dengan kemeriahannya, hampir-hampir membuatkan kita menyangka semua yang ada adalah Islam, padahal ada sahaja yang bukan Islam.
Apa yang menarik juga adalah, pada beberapa hari sebelum raya, saya ternampak seekor kambing gemuk terbungkus dalam plastik, dan tersepah di sebelah tong sampah. Masih baru. Barangkali kalau pegang, masih panas. Dan serasa, kalau diangkat seorang diri, tidak kuat. Gemuk. Sihat. Cuma dah bangkai. Sebetulnya bukan tersepah. Tetapi tong sampah tumbang dan menaburkan isi. Tong sampah besar maksud saya.
Juga menarik, apabila di waktu-waktu seperti inilah, baru berpeluang melihat unta hidup. Yang besar, tinggi. Dua kali kadar tinggi saya. Atau dua setengah kali. Dan kalau teringin, bolehlah cuba-cuba naik. Untuk kenang-kenangan. Bukan untuk ditunggang atau digunakan. Yalah, binatang korban, bukan binatang sembelih saja-saja.
Di waktu ini jugalah merasa sendiri pengalaman bermula dari menumbangkan unta, menyembelihnya, melapahnya, mengeluarkan isi dalamnya, memotong dagingnya. Saya cuma sempat bantu tumbang dan lapah. Atau lebih tepat, belajar-belajar tumbang dan lapah. Ada yang lebih pakar. Yang lebih arif. Orang sejahil saya, mana-mana yang tahu sajalah.
Juga menarik, adalah mengenai penetapan raya. Mesir pada asalnya kedengaran seperti raya hari Khamis. Tapi Saudi raya Rabu. Jadi, kedengaran kemudiannya dan menjadi ketetapan, raya hari Rabu. Ikut Saudi. Sebab sana Arafahnya. Bukan sini. Lagi menarik, ikut kata seorang kawan di Maghribi, sana raya Jumaat. Bagai-bagai. Begitulah menariknya raya ini.
Dalam kemeriahan, imtihan juga makin dekat. Jadual sudah keluar. Kuliah sudah tutup. Kernih sudah ada yang dapat. Selamat Hari Raya semua.
No comments:
Post a Comment