Wednesday, April 28, 2010

Catatan Hujung Kembara 19 | Luka Dan Ubat

Saya menyeru kepada semua sahabat untuk menghentikan perbuatan mengherdik dan menghina saudara seislam kita, tidak kira sesiapa sahaja. Baik orang itu benar-benar melakukan kesalahan mahupun hampir pasti bahawa mereka melakukan kesalahan. Baik mereka menyebelahi parti apa sekalipun. Saya menyeru kita menghentikan tulisan-tulisan yang melukakan maruah saudara-saudara seislam kita. Sejauh yang saya belajar, bukan itu caranya kita berta-'amul dengan mereka. Sejauh yang saya tahu, bukan begitu cara kita melayan mereka.

Saya fikir, kita boleh menyuarakan pendapat mengenai ketidakbenaran perbuatan mereka, tetapi dengan ayat yang selembut mungkin. Saya fikir, ayat-ayat maki tidak hanya memburukkan hati si pendengar, tetapi juga memburukkan hati kita. Saya sedar kemaharahan selalunya membuatkan kita terlepas cakap, terlepas tulis, dan ketidawajaran perbuatan orang tertentu membuatkan kita geram. Tetapi selagi mana mereka adalah saudara seislam kita, kita juga diajar supaya berlembut melayani mereka.

Saya juga pernah melalui perasaan marah yang sama. Perasaan marah yang apabila kalau saya lafaz sepatah saja, tidak ada yang keluar melainkan perkataan maki dan cela, kerana terlalu marahnya. Tetapi kita sesama saudara bukan berperang. Betul. Perbuatan mereka adalah tidak betul. Benar. Perbuatan mereka adalah melampau. Tetapi mengherdik tidak mendatangkan kebaikan melainkan keburukan juga. Kita harus sedar, betapa perbuatan menghina dan memperlekeh hanya akan membuatkan saudara seislam kita lari, atau lebih teruk lagi, mereka juga melancarkan perang terhadap kita. Sikap tanfiir, iaitu membuatkan orang lari, bukanlah matlamat kita.

Dari seluruh yang saya pelajari dari guru-guru saya, bahawa Rasulullah itu sangat 'memejamkan mata' segan untuk menegur kesalahan orang secara peribadi. Apabila Baginda tidak senang dengan sesuatu perbuatan, Baginda akan menyebut secara am; orang yang berbuat salah akan terasa secara sendiri, tanpa namanya disebut secara jelas. Itulah yang saya pelajari dari Syeikh Yusri yang mengajari kita hadis dan bagaimana berta-'amul dalam keadaan ini. Kalau kita dapat mengelakkan menyebut nama, elakkan. Kalau tidak dapat, tegurlah seberapa lembut yang mungkin.

Sesiapa saja akan terasa hati dengan teguran yang terus kena ke hidungnya, walaupun benar mereka melakukan kesalahan. Tetapi mengherdik dan mencaci mereka bukan saja menyebabkan mereka tidak menerima teguran, bahkan membuatkan mereka bertambah benci dengan kita hingga setiap kalam kita di masa akan datang, sekalipun benar, akan ditolak mentah-mentah. Akan menyebabkan setiap kalam kita di masa akan datang, sekalipun benar, akan disia-siakan bahkan dilaksanakan yang bertentangan dengannya.

Sahabat-sahabat. Saya fikir saya pernah melalui kemarahan yang sama dengan ketidakwajaran perbuatan orang tertentu yang akhirnya membuat saya marah dan benci. Tetapi memaki mereka hanya akan menghitamkan hati sendiri. Sehingga sekarang, saya masih merasakan perbuatan-perbuatan itu adalah tidak wajar, dan kalau mengikutkan hati pasti kalam-kalam yang tidak elok akan terlepas juga di lidah. Tetapi janganlah diturutkan kemarahan itu. Kita berta-'amul, bergaul dengan saudara kita yang sama-sama Islam. Dan kesempurnaan Islam itu adalah saudara seislam kita selamat dari lidah dan tangan kita.

Barangkali kita berasa jemu menegur secara lembut, kerana ia tidak menampakkan kesan. Tetapi menegur secara kasar juga tidak menimbulkan kesan yang baik, bahkan menimbulkan sengketa tambahan. Bahkan menyebabkan keburukan mereka makin tersebar. Bahkan menyebabkan mereka menambah api sengketa dan dendam. Bahkan menyebabkan mereka memerangi kita lagi. Bahkan membuatkan mereka semakin jauh dari mendengar kalam dan teguran kita. Bahkan menyebabkan kita dianggap sebagai musuh dan wajar diperangi. Bahkan menyebabkan kita hanya akan dilayan dengan buruk dan semakin teruk.

Kita katakan, bahawa mereka tidak menerima teguran kita secara lembut, maka kita gunakan cara yang kasar. Tetapi kita juga pasti, bahawa ayat yang kasar, cela dan maki hanya akan membuatkan mereka menolak dan tidak akan diterima. Tetapi kita sedar, bahawa kalam-kalam cerca hanya membuatkan mereka semakin marah, dan menjadikan mereka lebih terjebak lagi dalam kesilapan mereka. Oh, adakah kita juga punya saham yang mendorong mereka melakukan kesalahan dan kesalahan lagi.

Saya akui, bahawa perbuatan mereka memang tidak dapat diterima dan melukakan hati kita. Saya akui, bahawa tindakan mereka adalah tidak wajar. Tetapi mereka masih saudara seislam kita dan mereka berada di tubuh yang sama dengan kita. Barangkali anggota itu sakit, dan apabila kita cuba letakkan ubat, ia sedikit melawan dan tidak menerimanya. Barangkali apabila kita cuba memulihkannya, ubat itu tidak berkesan secara terus. Tetapi adakah ia akan pulih kalau kita semakin melukakannya? Adakah ia akan pulih kalau kita semakin menorehnya? Barangkali kita lupa, bahawa kita tidak ada kuasa memulihkan mana-mana anggota, baik dengan ubat atau apa sekalipun, sebaliknya taksir dan kesan itu hanyalah di tangan Tuhan semata-mata.

Ya, sesiapa saja akan tergelincir dan melakukan kesilapan. Saya sendiri sama. Bila terlalu marah, kalam-kalam yang lama saya pendam dulu kadangkala terkeluar juga. Tetapi kita harus menyedari bahawa ia adalah tidak patut.Kita harus faham bahawa orang yang kita lukakan itu adalah saudara seislam kita, tidak kira betapa teruk dan dosa perbuatan itu. Tegurlah secara lembut. Simpanlah semua kemarahan kita. Sesungguhnya menahan kemarahan itu dapat pahala. Itulah yang disebut dalam al-Quran sebagai al-Kaazimiina l-Ghaiz. Bahkan memaafkan itu dapat pahala. Itulah yang disebut dalam al-Quran sebagai al-'Aafiina 'Ani n-Naas. Menegur itu perlu, tetapi berlembutlah supaya mereka menerimanya.

Kemudian, berdoalah. Kerana kita memang tidak mempunyai apa-apa taksir kepada mana-mana manusia dan makhluk Allah yang lain, walau dengan apa cara sekalipun. Taksir dan kesan itu cuma di tangan Tuhan. Tidak kira betapa tepat tindakan kita, tidak kita betapa hebat perancangan kita, tidak kira betapa sempurnanya plan kita dan cukupnya kelengkapan kita, namun taksir itu di bawah kehendak-Nya juga. Sedarilah ketidakmampuan diri.

2 comments:

Ibnu Ali said...

qaulan layyinan dah diberi. Tetapi dipersetankan sahaja. Bahkan diperlekehkan sahaja.

Kemudian berganda-ganda masalah yang ditimbulkan bukan nampak seperti "kesilapan" tetapi seperti sebuah "agenda".

Tidak dinafikan apa yang Ustaz Zaki sebut. Cuma kalau ustaz zaki pernah duduk di tempat saya, mungkin lain pandangan ustaz Zaki.

Kemudian, kena lihat dari segi suasana sekarang yang rata-rata hangat dengan isu mahasiswa. Terutama di muhafazah. Mungkin tidak kena di batang hidung kita.

Cuma nak tak nak kita kena sedar apa yang membuatkan kita marah ialah "agenda" yang kita tak nampak kesannya tetapi mungkin dirasai oleh generasi akan datang.

Terima kasih atas entry nasihat ini, ianya amat berguna.

Wallahua'lam

Mohd Zaki M Noor said...

saya pernah merasai pengalaman yang sama ustaz akmal. kalam saya diperlekehkan saja, ditolak, maruah saya dirobek, kemudian, semua kesalahan ditolak kepada saya, dan orang yang sebenarnya bersalah buat macam tak tahu apa-apa.

Saya ketika itu sangat terkilan, kerana dikhianati. tapi takpe. saya dah lupakan.

seperti yg saya tulis, kalaulah sepatah saya luahkan, yang keluar pasti adalah kata cerca. saya sangat marah.

saya rasa isu pelajar muhafazah kita terlibat sama. paling kurang, kemungkinan2 lain akan terkena kita juga.

saya tak menafikan ia seperti agenda. tapi ada beberapa perkara lain yang saya fikir turut bercampur sama dalam hal ini.

apapun, saya setuju ust akmal kumpul tanda tangan membantah fitnah 90 peratus itu. saya nak bersama tanda tangan.