Friday, July 30, 2010

Catatan Hujung Kembara 36 | Inti-khoobaat Dalam Kenangan

Pengalaman bertanding dalam ahli tadbir persatuan mungkin boleh menjadi sesuatu kenang-kenangan bagi saya selama di Mesir. Saya tidak berasa pelik dengan darah saya, kerana saya adalah darah campuran seorang ibu yang berpersatuan hingga ke jawatan ketua, dan darah seorang ayah yang tidak suka dan asyik melepaskan kerusi jawatan walaupun sekecil-kecil pangkat. Pilihanraya kali itu adalah sesuatu yang bermakna kerana ia meyakinkan saya bahawa saya memiliki idea ibu sebagai ketua dan jiwa bapa sebagai pengikut.

Bukan itu sebetulnya pengalaman yang berharga untuk dijadikan kenang-kenangan. Yang berharga bagi saya adalah saya melihat sendiri situasi sebenar pertandingan yang benar-benar panas, sehingga saya sendiri hampir tidak percaya. Mereka yang selama ini mesra dan bergurau senda dengan saya boleh menjadi masam hingga langsung muka saya tidak dipandangnya. Ada yang saya menegurnya setelah duduk di sebelahnya, dia langsung tidak menoleh. Ada yang saya berbicara kepadanya, dia langsung tidak mengangkat kepala menjawab soalan saya sebaliknya diam membisu.

Saya melihat sendiri orang yang selalu akan menyapa saya dan duduk lama berbual menjadi seorang yang tidak banyak cakap dan cepat mahu meminta diri. Orang yang boleh berbalas senda dan sapa menjadi seorang yang langsung tidak mahu membalas percakapan saya padahal saya berdiri di hadapannya dan mengulang ayat yang sama sehingga tiga kali, dan setelah itu pun masih tidak menyahut walau sepatah perkataan saya. Ketika itu, saya sendiri ragu, adakah saya patut ketawa kerana kelakarnya melihat reaksi orang, atau saya patut takut dan kecut perut kerana dilayan sedemikian sekali oleh segelintir orang. Tentulah, mereka yang menyokong saya tidak menyatakan sokongan terang-terang kecuali sedikit.

Barulah saya faham apakah yang berlaku dalam sesebuah pertandingan yang benar-benar. Manusia boleh berubah dan tidak mampu menyembunyikan isi hati mereka. Semuanya jelas terpapar dengan riak muka yang saya sungguh tidak sangka, dan saya menyaksikan dengan mata kepala sendiri. Tentulah. Apabila keputusan keluar dan saya tidak menang kerusi, semua yang masam menjadi manis, yang tidak menjawab pertanyaan walau sepatah bertukar menjadi seorang yang ramah dan bergurau semula, orang yang asyik tunduk sudah mula boleh berbicara dengan saya. Sekelip mata, mereka bertukar menjadi seseorang yang lain, sehingga saya sendiri tidak pasti, yang mana satukah mereka yang sebenarnya.

Ada ketikanya saya jadi buntu mengalami tekanan di pilihanraya, tetapi saya belajar untuk menghadapi bahkan meraih sokongan daripada sebesar-besar tokoh yang menyebelahi pihak lawan. Barulah ayat yang sukar saya lafazkan - iaitu undilah saya - menjadi lafaz yang dilafazkan semudah bergurau senda. Sukar menyebut saya menghantar mesej. Tidak lama setelah itu, semua lafaz-lafaz itu menjadi ringan dan mudah. Bahkan saya berazam untuk mula berhadapan dengan semua pihak lebih awal, kerana lambat laun saya kena juga nanti. Di pilihanraya itu baru saya faham, bagaimana orang boleh sakit perut kerana gementar dan gemuruh. Dan barulah saya faham besarnya erti bersujud dan merayu pada Tuhan. Sungguh bila Tuhan bukakan jalan, pada-Nya syukur yang tak terhingga.

Saya sebetulnya dapat meneka bahawa saya akan kalah hanya pada sehari sebelum pengundian. Ketika itu, orang yang paling saya harapkan menyebelahi saya, dan dia pada awalnya sudah menyebelahi saya, bertukar pihak kepada pihak lawan. Kerana beliau adalah haruman dunia dan keturunan yang tidak akan putus hingga hari kiamat, apabila beliau beralih pihak lantas terdetik saya di sehari sebelum pengundian bahawa saya akan kalah. Begitulah telahan hati saya. Dan apabila tewas, tahulah saya bahawa zaman ini bukan zaman saya. Zaman saya sudah lepas dan berakhir.

Tentulah saya bukan bertanding suka-suka, tetapi kerana memperjuangkan sesuatu yang sebelum ini sudah jenuh saya utarakan tetapi diabaikan lagi dan lagi. Tentulah saya bukan bertanding kerana gilakan pangkat. Kalau benar kerana mahukannya sudah saya masuk sejak dulu lagi, ketika masih ramai yang mengenali saya, bukan ketika di tahun terakhir dan bukan di ketika orang yang mengenali saya cuma tinggal sedikit. Namun, saya bersyukur kerana tewas, kerana setelah itu Tuhan telah bukakan pintu yang lebih baik. Sungguh kurnia Tuhan itu amatlah luas. Anugerahnya itu amat agung. Kalau sekarang ditawarkan semula, sungguh saya akan menolaknya. Haaza hubbun la ya'-diluhu hubbun, wa lau mar-ah fi qimmati l-jamaal.

Sekurang-kurangnya, saya sudah cuba mengubah persatuan ini dengan kedua-dua jalan. Jalan ketika saya cuma bergelar pengikut, dan jalan ketika saya cuba menjadi ketua. Selebihnya saya serahkan kepada Tuhan. Kerana tiada taksir melainkan semua itu di tangan-Nya, di dalam kekuasaan-Nya, dan di bawah kehendak-Nya. Kalaupun saya berjaya dan bergelar ketua, ia tidak pernah menjamin tak-tsir yang pada-Nya sajalah tanpa sebarang pekongsi.

Wednesday, July 28, 2010

Catatan Hujung Kembara 35 | Iza Wa-'adta Fa La Tukhlif

Dulu, saya adalah seorang yang sangat berpegang dengan janji. Dan kadang-kadang saya melebarkan juga kepada kalam-kalam orang, walaupun mereka tidak mengatakan ia sebagai janji. Selagi mana saya melihat keazaman mereka, saya akan bersungguh-sungguh untuk menepatinya. Tetapi apabila melihat dunia kedewasaan ini, saya makin hilang percaya dengan kalam kebanyakan orang, bahkan dengan janji juga. Sesetengah orang ini, janjinya hampir-hampir tidak memberi apa-apa erti bagi saya. Apatah lagi kalam, azam dan perancangannya juga.

Kerana itu, dulu, saya kerap naik darah dan sakit hati apabila berdepan dengan mereka yang mudah dan tanpa rasa bersalah menyalahi janji, menukar perancangan dan membatalkan keazaman. Apabila saya sudah bersedia dengan segala persediaan, mengatur waktu semata-mata untuk mereka, mereka tanpa rasa apa-apa membuat sesuka hati. Saya fikir mereka terlupa bahawa janji itu adalah sesuatu yang mesti ditepati.

Kerana itu, apabila saya cuba memaafkan, saya terpaksa berdepan dengan hakikat, bahawa semua janji mereka itu bukan janji, dan semua azam mereka itu hanyalah kalam kosong, bahkan semua perancangan mereka itu cumalah angan-angan yang belum dipastikan mahu dilaksanakan atau tidak. Saya mengatakan pada diri, mereka sebetulnya tidak merancang apa-apa, dan tidak perlu terlalu serius untuk mencapainya, bahkan anggaplah ia akan batal bila-bila masa sahaja.

Kemudian barulah saya faham mengapa seorang muslim dilarang melanggar janji sehingga digambarkan sebagai memiliki satu cabang nifaq. Kerana melanggar janji akan menghilangkan kepercayaan orang kepada kita. Melanggar janji akan membuatkan semua azam kita menjadi sampah di mata orang lain. Semua kalam kita hanya didengar dengan telinga yang luas dan bolos, yang menembusi kanan telinga ke kirinya. Apabila melanggar janji menjadi sifat kita, tidak ada satu kesungguhan kita akan dipandang serius, bahkan hanyalah khayal dan angan-angan kosong.

Walaupun ya saya tahu, sesiapa saja masih dalam jalan memperbaiki diri. Kekurangan ada saja pada setiap orang, dan sesetengahnya diuji dengan penyakit ini. Walaupun ya, dari sudut hak kita terhadap mereka, mereka dikira bersalah, tapi dari sudut dakwah, mereka belum perlu dijatuhkan hukuman, sebaliknya perlu diberikan peluang menyedari kesilapan diri dan memperbetulkan, diajarkan betapa menyalahi janji adalah sikap yang tidak harus mereka pakai dan perlahan-lahan harus ditinggalkan.

Berdepan dengan janji, kalam dan azam mereka ini, saya kerap kali goyah, antara mahu menyakini atau tidak. Usahlah dikira betapa terkilannya dengan semua ini, tetapi kadang kala kalam guru saya Syeikh Fathi berkumandang di dalam kepala yang maksudnya, "Cukuplah bahawa kamu tidak mengetahui alasan mereka itu sendiri menjadi alasan untuk mereka" lalu ditasamuhi dan di-tak-ambil-kisah-kan.

Sunday, July 25, 2010

Catatan Hujung Kembara 34 | Terima Kasih Tuhan

Tuhan, pada-Mu segala puji dan syukur, kurnia-Mu agung, pemberian-Mu melimpah. Jadikan kami ingat akan pemberian-Mu, berterima kasih di atas kurniaan-Mu. Supaya kami merasai nikmat dan anugerah, memanfaatkannya. Supaya kami bukan tunggangan yang membawa air di atas belakang kami, merentasi padang pasir yang luas, lalu mati kehausan padahal di atas belakang kami itulah airnya.

Wednesday, July 21, 2010

Catatan Hujung Kembara 33 | Ulamak Dan Umarok

Dulu saya juga menyangka bahawa hubungan antara ulamak dan kerajaan itu adalah hubungan permusuhan dan pertembungan, hubungan berlaga dan bertempur, kerana itulah sebahagian realiti yang berlaku dan dikisahkan. Tetapi sejak saya mendengar sendiri jawapan dari Syeikh Usamah Said beberapa tahun lalu mengenai hubungan dua pihak ini, terbaliklah sangkaan, terputar pemikiran, kerana beliau menyatakan dalam muhadaroh yang bertajuk "Manhaj Azhari" (lebih kurang begitu tajuknya), dalam sesi soal jawab antaranya menyebutkan, bahawa hubungan ulamak dan kerajaan itu adalah hubungan kasih sayang dan mahabbah, walaupun kadangkala berlaku perselisihan dan saling tegur menegur dengan hormat dan ihtirom.

Asas pemikiran ini bagi saya dibina adalah pada asas, bahawa tidak ada kebaikan yang boleh dicapai, apabila kita mengambil pendirian bermusuh, berseteru, berlaga. Tidak setuju dari pihak dia bukan bermakna dia adalah musuh, kerana bukankah sudah banyak berlaku dalam kehidupan ini, kita tidak bersetuju hatta pada kawan sebilik, teman sebantal, sahabat sejalan-jalan cari makan. Kerana itu, baik nasihat mahupun cadangan, apabila ia tidak diterima, keadaan ini tidaklah menukarkan orang tersebut menjadi musuh dan wajib diperangi dan disengketai. Kerana nasihat teguran akan semakin susah diterima apabila ia berisi dengan kebencian dan permusuhan.

Maksud yang saya fahami ini semakin jelas apabila saya membaca kalam Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihyaknya, di bahagian mukaddimah (kitabu l-'ilm) bahawa yang terlibat pengislahan dan pembaikpulihan masyarakat itu empat golongan, yang tertinggi adalah para Nabi yang mentadbir golongan khusus dan awam, pada perkara zahir dan batin, diikuti dengan pemerintah yang mentadbir golongan khusus dan awam, pada perkara zahir sahaja, dituruti oleh ulamak yang mentadbir golongan khusus dan awam, pada perkara batin sahaja, dan akhirnya para khatib, penceramah, pendakwah, yang mentadbir golongan awam sahaja pada perkara batin sahaja. Batin itu maksudnya adalah urusan akhlak, jiwa, perangai dan sebagainya.

Di dalam pembahagian ini, Imam al-Ghazali menjadikan pemerintah itu lebih tinggi daripada ulamak, dari sudut zahir, kerana mereka mentadbir urusan kehidupan yang zahiriah, kemudian dalam masa yang sama meletakkan ulamak lebih tinggi daripada pemerintah dari sudut batin, kerana mereka lebih utama dalam bahagian ini. Kerana itu, dari sudut perlaksanaan dan tanfiz, ulamak terpaksa akur dengan pemerintah, tetapi apabila sampai ketika menegur dan menasihati, pemerintah haruslah mendengar dengan rasa hormat.

Sebetulnya terdetik di fikiran saya, mengapakah al-Imam tidak membuatkan satu kelompok yang bernama, ulamak yang memerintah? Kemudian kalam daripada Saidina 'Umar menjelaskan kekeruhan: (maksudnya) bertafaqquhlah (menuntut ilmu) sebelum kamu menjadi ketua. Hakikat kalam ini mudah difahami, bahawa kesibukan seorang pemerintah itu memerlukan masa yang banyak untuk mentadbir, sama seperti seorang ahli ilmu itu juga sibuk dan memerlukan masa yang banyak untuk belajar dan mengajar, juga mendidik.

Pertentangan dua kesibukan ini bukanlah mustahil akli untuk menghimpunkan kedua-duanya, tetapi mustahil 'aadiy. Saya tidak fikir kedua-dua kesibukan ini boleh dilaksanakan sekemuncaknya, dan dengan fokus sepenuhnya. Saya tidak fikir kalau dihimpunkan kedua-duanya, hasilnya adalah maksimum untuk kedua-duanya. Kalaulah seorang perempuan yang bergelar isteri saja sudah digelar oleh sebahagian ulamak sebagai mazbahatu l-'aalim (tempat sembelihan seorang alim), atau dinaqalkan dalam lafaz asal (zubiha l-'ilmu baina fa-khizaiyi l-mar-ah) iaitu ilmu itu disembelih di antara dua peha isteri; apatah kalau menguruskan keluarga sudah menyibukkan dengan tanggungjawab dan banyak perkara rumah tangga, inikan pula sebuah negara?

Kerana itu saya berpegang pada bahawa golongan ini tidak wujud. Mereka yang menghimpunkan kedua-duanya ini akan memilih salah satu. Kerana tumpuan yang berbelah bagi tidak menghasilkan hasil yang maksimum. Mungkin boleh berlaku, tetapi ini separuh jadi, dan itu separuh jadi. Atau kedua-duanya tidak menjadi. Atau satu bahagian menjadi, dan satu bahagian terabai, atau tidak mempunyai hasil yang sangat. Saya tidak fikir bahawa seseorang mempunyai masa yang cukup untuk menumpukan kepada kedua-duanya, dan melaksanakan kedua-duanya. Kerana itu saya fikir, wujudnya khalifah, dan wujudnya ulamak yang menjadi rujukan di zaman khilafah dahulu. Khalifah wujud untuk mentadbir, dan ulamak wujud untuk menasihati.

Bahkan tugas seorang alim bukan terbatas kepada mengislahi, menegur pemerintah, bahkan ia melebar kepada mengislahi masyarakat juga. Saya tidak faham bagaimana persepsi ini boleh timbul. Seolah-olah itulah tugas seorang ulamak dan tiada tugas lain. Tetapi hakikat adalah sebaliknya. Ini saya fahami daripada kalam Syeikh Yusri, ketika beliau mengulas mengenai kemangkatan Syeikhu l-Azhar ar-Rahiil Ila Rahmatillah, bahawa pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat almarhum tidak seharusnya menyerang peribadinya. Kerana dia berada di tahap yang kamu tidak berada. Dia berada di kawasan ijtihad yang kamu tidak duduk di situ, di mustawa dan tahap negara, bukan di kawasan perbatasan daerah atau lingkungan yang kecil.

Kerana itu apabila kamu tidak dapat mencapai gambaran lingkungan posisi ijtihadnya dan kamu tidak setuju, adalah tidak patut kamu menyerang peribadinya. Bahkan boleh jadi dia adalah benar setelah mendapat pendedahan yang jauh lebih luas, dan kamu adalah betul berdasarkan posisi kamu di ruang yang agak terhad. Kerana faqih itu adalah yang hidup bersama zamannya, dan berta-'amul, memberi respon dan reaksi kepada tuntutan zaman, bukan semata-mata menukilkan pendapat ulamak kurun terdahulu semata-mata.

Bukan itu hujah saya, tetapi saya nyatakan juga secara selingan. Syeikh kemudian melebarkan penerangan kepada pemilihan pemerintah pula. Beliau menyatakan antaranya bermaksud; bahawa orang kerap mendakwa mahukan pemerintah seperti Saidina 'Umar al-Farouk, yang memisahkan antara hak dan batil. Tetapi, kalaupun Saidina 'Umar itu sendiri menjadi pemerintah mereka, pasti Saidina 'Umar itu akan digugurkan dari jawatan. Kerana pemerintah itu ditampilkan berdasarkan keadaan rakyat. Apabila rakyat adalah para auliyak dan solihin, para Sahabat ridwanullahi 'alaihim al-kiraam, maka pemerintahnya adalah ketua para wali dan kemuncak para solihin, iaitu Saidina Abu Bakar, kemudian Saidina 'Umar dan seterusnya.

Syeikh mempertikaikan, adakah kita mahu seorang wali menjadi pemerintah dengan rakyatnya adalah masyarakat yang fasid, rosak. Bahkan kalaupun ia dinaikkan, pasti masyarakat yang rosak ini akan menjatuhkannya, kerana tidak tahan. Syeikh menambah lagi, bahawa tugas kita adalah mengislah diri, memperbaik masyarakat, supaya apabila masyarakat menjadi baik, barulah pemimpin yang baik akan terpilih. Terdetik di fikiran saya bagaimana ketidaksenangan orang-orang besar terhadap Khalifah 'Umar bin Abdu l-'Aziz yang terkenal dengan keadilannya hingga Khawarij yang kuat memberontak menjadi senyap dengan keadilannya. Tetapi beliau dibenci, hingga wujud perancangan untuk menggugurkannya.

Saya dapat merasakan bahawa kalam Syeikh Yusri adalah petikan dan kefahaman beliau daripada hadis, tetapi saya tidak dapat mencatatnya kerana ilmu yang masih terlalu kurang. Buat masa ini, anggaplah ia pandangan beliau. Apa yang jelas, bahawa tugas ulamak adalah terlalu banyak, dan tumpuan mereka bukan kepada pemerintah semata-mata. Saya tidak faham mengapa sesetengah orang membataskan tugas kepada ini, hingga menutup mata kepada yang lain. Barulah terdetik di fikiran saya mafhum kalam Nabi s.a.w. tentang dua golongan yang menentukan baik buruknya umat; iaitu umarok, dan ulamak. Baginda s.a.w. sendiri mengasingkan antara kedua-duanya.

Ini bukan menafikan wujudnya ilmu di dada seorang pemerintah kerana mentadbir juga perlukan ilmu, tetapi menafikan keluasan kesempatan mereka untuk ilmu, dan menafikan keluasan kesempatan mereka untuk melaksanakan tugas-tugas ahli ilmu kerana mereka disibukkan dengan urusan mentadbir. Bagi saya adalah satu kesimpulan. Pilihlah jalan yang akan dilalui, dan tumpahkanlah sepenuh usaha kamu untuknya. Wallahu A'-lam.

Catatan Hujung Kembara 32 | Pantun

Beberapa pantun setelah lama tidak mengideakan pantun.

Pantun seorang ayah.

Kamu "cempedak di luar pagar",
Kenalah "berakit-rakit ke hulu",
Ayah kan "pisang emas belayar",
Kenapa "keranjimu" masih "di perahu"?

Pantun kekasih.

"Antara masak" - "menuai padi",
"di tapak tangan" - "anak sembilang",
Dia "tiga kucing berlari",
tawakkalmu masih "sumur di ladang"?

Thursday, July 15, 2010

Catatan Hujung Kembara 31 | Fa -s-alu Ahla z-Zikri, Ta'-lamuu

Banyak pengalaman menarik yang pernah dilalui, namun tak semuanya mampu dikisahkan. Sesetengahnya tidak membanggakan pun. Sesetengahnya membanggakan, tetapi pada orang lain, ia adalah perkara biasa. Atau sebahagiannya membanggakan pada kita, tetapi merupakan aib pada orang lain. Itu belum ambil kira kebarangkalian kita sendiri terlupakan pengalaman tersebut, sehingga apabila diingatkan pun kita masih tidak boleh mengingatinya.

Saya masih ingat ketika saya bertanya dalam satu kelas kepada Syeikh Saiyid yang membacakan Murghni l-Muhtaaj - walaupun saya kerap ponteng, terutamanya hari Khamis - tentang satu soalan yang saya dahulukan dengan sebuah fakta. Saya katakan; waktu solat contohnya Maghrib akan tamat apabila masuk waktu Isyak. Pantas Syeikh membidas dan membetulkan, sampai mengajarkan; adakah fakta itu berdasarkan bahawa waktu Maghrib berkekalan hingga masuk waktu Isyak, atau berdasarkan bahawa waktu Maghrib hanya sehingga kadar sekitar 30 minit dari mula waktu Maghrib mengikut khilaf mazhab berkenaan akhir waktu Maghrib, berdasarkan mazhab qadim dan jadid?

Kemudian Syeikh bersyarah panjang menerangkan maksud sebelum membenarkan saya menyatakan soalan. Saya membetulkan fakta sebelum mula bertanya. Saya tanyakan; waktu solat pertama akan tamat dengan masuknya waktu solat kedua. Pantas Syeikh membetulkan sampai mengajarkan, bahawa fakta itu tidak betul kerana Subuh tamat bukan kerana masuknya waktu Zuhur, tetapi kerana terbitnya matahari. Dua kali kena pancung, dan saya masih belum dapat bertanya soalan. Syeikh kemudian menerangkan maksudnya lagi. Kemudian kerana ingin supaya saya tidak segan barangkali, maka Syeikh membiarkan fakta itu supaya dapat mendengar soalan saya.

Pengalaman bertanya ada banyak. Tetapi soalan yang baik bukanlah dengan maksud untuk menunjukkan diri pandai, atau mahu mendebati guru. Memadai dengan beradab bertanya, membentangkan fakta yang berlegar, dengan suara bukan menentang tetapi mahukan penjelasan, walaupun fakta itu menentang penjelasan guru, tetapi dengan nada bahawa yang bertanya mahukan penjelasan, bukan mahu menunjuk kelebihan. Kalau mahu menunjuk kelebihan, carilah tiang dan bukalah pengajian.

Pernah sekali di dalam kuliah saya bertanya tiga soalan yang sebenarnya merupakan soalan gabungan menjadi satu. Doktor menerangkan tetapi kerana saya kurang pendengaran, saya tidak dapat mendengar dan bila ditanya, adakah kamu faham, lalu saya angguk kerana tidak mahu ia diulang semula dan sekali lagi tidak mendengarnya. Tamat kelas, seorang Arab datang kepada saya bertanya adakah doktor memberikan apa-apa muqarrar atau soalan ramalan, saya dengan yakin menjawab, tentu tidak! Adakah dia ingat saya murid emas?


Tetapi dari soalan, kita dapat mempelajari banyak perkara. Memahami diri, memahami yang ditanyakan kepadanya, menyusun fakta mana yang perlu dinyatakan dahulu, mana dikemudiankan, dan menyedari betapa jahilnya diri tetapi walaupun malu tetapi biarlah, asalkan dapat membuatkan diri kita berasa jahil lalu dapat bertanya. Cuma yang saya jadi serba salah bertanya, kalau-kalau dibidas dengan kata-kata; ini sudah diterangkan kali dulu. Apasal kamu tidak datang?

Wednesday, July 14, 2010

Catatan Hujung Kembara 30 | Ubat

Setiap kali saya rasa sedih kerana tempoh yang berkurang dan penghasilan yang tidak bertambah banyak, apabila saya mendengar dan mendengarkan madih ini yang juga doa, terubatlah rasa dan tertampallah jiwa.ٍSebanyak-banyak selawat untuk Baginda, Seri kewujudan makhluk.