Wednesday, November 29, 2006

Ada Awal Mula, Ada Titik Akhirnya

Kita ini, ada awal mula, ada penamatnya. Kembara paling jauh hingga dunia paling hujung, ada titik mula, dan ada noktah akhir. Kerana itu, belajarlah lapang dada, berfikiran terbuka, dan amat penting juga, belajar untuk berusaha sampai bila-bila.

Dan, bila sampai waktunya untuk menunaikan permintaan mak ayah yang ditangguh sejak dulu, barangkali kalau dibahas tentu banyak pro dan kontranya, banyak dalil dan hujahnya, namun bila kita faham ada awal mula dan ada noktah tamatnya, kita juga perlu belajar berlapang dada, berfikiran terbuka, usaha sampai bila-bila, dengan tidak memikirkan hujah siapa menang, dalil siapa kalah.

Dan sudah tentu, bila ada langkah mula, akan ada jejak, dan bila ada titik penyudah, ada tanda akhir; jauh mana langkah, luas mana memandang, tinggi mana mencapai, dalam mana menjejak; kita mengumpul segala yang di sisi, mengheret semua yang di belakang, menggapai apa yang di atas, mengukuh sekelian yang di bawah, menuju apa yang terbentang di depan.

Barangkali, dengan lapang dada, bila kita faham ini semua, belajarlah pula untuk memaafi. Inikan ada titik mula, dan di akhirnya, ada noktah penyudahnya .

Thursday, November 23, 2006

25 - Aku Ingin

Dikarang di tahun ketiga atau keempat di perantauan.

Sajak: Aku Ingin
Oleh: Mohd Zaki

Aku ingin menjadi unggun di atas bukit,
di waktu malam,
tetapi apiku selalu padam.

Aku ingin menjadi rumah api di tepi laut,
di waktu malam,
tetapi cahaya selalu kabur.

Aku ingin menjadi bintang di tengah langit,
di waktu malam,
tetapi langitku selalu tebal.

Akhirnya,
aku cuma menjadi angin musim kemarau,
yang menggantikan kepanasan dengan kehampaan.

Saturday, November 18, 2006

Baru Empat Suku

Cerpen saya, Baru Empat Suku, dimaklumkan seorang kawan terbit di Majalah Remaja. Bulan berapa, saya tak pasti, cuma logiknya, macam bulan 10 yang lepas. Nantilah saya paparkan di blog cerpen.

Saturday, November 11, 2006

Jumaat Tadi

Jumaat tadi macam-macam berlaku. Dari solat Jumaat, saya terlanjur menghantar jenazah ke kuburan (maqbarah mandarah), cuma kelakarnya bila saya tersalah jawab pada seorang Arabiy yang bertanya - di mana mayat dikebumikan. Nak tunjuk hala Mandarah, tertunjuk hala Asofirah. Oleh kerana terlambat sampai ketika azan baru dikumandangkan, saya memilih solat di luar beralaskan tikar, tetapi rasa tersilap sebab lupa pakai baju sejuk, sangka tak sejuk mana, padahal! Arab pun pakai baju dua tiga lapis dan berbaju sejuk, saya berlapis sehelai saja.

Oh ya. Saya solat di masjid yang berhampiran dauran, sebab khutbahnya sedap, bahasa khatib bersih dan kaya dengan uslub, tetapi kurang bernasib baik kerana saya solat di luar, maka pembesar suara bergema dan akhirnya, susah mahu menangkap bunyi kalimah dan semuanya kedengaran kabur plus masalah pendengaran.

Asalnya, mahu beli kibdah sebaik saja pulang dari solat, saya tangguhkan lepas hantar ke dorih. Itulah. Dari maqbarah saya menuju ke mahattah Mandarah, mahu angkat kibdah, tetapi tersangkut di persimpangan jalan antara jalan ke Abu Qir, jalan ke kuliah, jalan ke Asofirah, betul-betul berhadapan kubri, kerana ada muzoharat. Inilah kali pertama ikut sama muzoharat alias tunjuk perasaan aka demonstrasi tentang isu pencerobohan 2 setan dunia; Israel dan Amerika terhadap Palestin.

Tersangkut sekitar 15 hingga 30 minit, saya sendiri kurang pasti, memerhatikan lepas satu satu orang naik ke pentas dan menyampaikan ucapan, kemudian berpuluh-puluh kanak-kanak membawa sepanduk kecil dan mengikat bermacam-macam bantahan di kepala. Ada juga yang naik ke atas kubri membentangkan sepanduk; keretapi melintas berkali-kali; di persimpangan tiga jalan itu juga kenderaan lalu, sesekali menghadang pandangan mata saya. Saya kurang pasti siapa yang menganjurkan, barangkali IM, sebab mereka menang pilihanraya lepas, tetapi yang pastinya sekurang-kurangnya ada 500 hingga 1000 orang berkumpul barangkali juga lebih. Bila jam sudah hampir ke jam dua, saya beransur ke kedai membeli keperluan sebelum pulang ke rumah.

Jumaat tadi juga, saya baru perasan harga telur sudah turun. Dari harga setinggi 80 sen dan kalau murah-murah pun dapat 70 sen menurun hingga ke paras 40 hingga 50 sen sebiji. Daging ayam pun mulai murah. Kemudian, bila sampai rumah, datang mesej dari Lokman via GT katanya kawan saya sudah hampir mahu tiba meminta saya menyambutnya di mahattah berhampiran.

Jumaat tadi, bila berkeliaran berjam lamanya di luar dengan sehelai lapis, saya rasa kantuk amat dan tidur di hujung hari bila malam sudah hampir menetas. Lepas solat maghrib pun sambung tidur juga.

Hm. Bila dah lama tak menulis bahasa sudah agak kaku.

Tuesday, November 07, 2006

Mari Mengenali Diri Sendiri

Mari menulis sedikit hari ini.

Kawan saya pernah bilang, bahawa saya sangat expert dalam bab berkaitan perempuan (saya no komen), lantas saya teringatkan Mak ketika dia memberikan komen tentang cara memilih pasangan, dia menyebut, "orang-orang tua pernah pesan, kalau lelaki dan perempuan itu sama perangainya, ia adalah tidak elok. Lebih baik kalau lain sedikit. Baru padan."

Kemudian, setelah bertahun-tahun, maksud saya, setelah memikirkannya, saya tiba kepada satu konklusi baru. Bagaimana kita nak mengetahui 'ketidaksamaan' itu, sekiranya kita tidak mengenali diri kita sendiri? Maka, langkah pertama dalam memilih pasangan adalah - mengenali diri sendiri terlebih dahulu.

Apabila kita telah mengenali diri sendiri, maka dari situ, barulah kita boleh mendapati apakah yang membuatkan kita berbeza dengan orang yang hendak kita pilih. Tetapi, dalam mengenali diri, apakah kita pernah memikirkan, bagaimanakah caranya? Bagaimanakah cara untuk mengenali diri sendiri?

Secara majoritinya, kebanyakan sikap, sifat dan perangai kita adalah diambil ceduk dari sikap ayah dan emak kita. Kita akan dapati, sebahagian sikap dan perangai diambil dari ayah, dan sebahagiannya lagi ditiru dari ibu. Maka, langkah kedua adalah - mengenali ayah dan ibu terlebih dahulu. Kajilah perangai ayah dan ibu kita dulu.

Kemudian, sebahagian sikap dan perangai, barangkali dalam peratusan yang agak kecil, diambil pula daripada faktor luaran seperti kawan-kawan, persekitaran dan lain-lain.

Begitulah. Langkah yang perlu untuk mengenali diri adalah dengan mengenali ibu bapa, membandingkan dan mengira, di mana kita ambil sikap ini, dan dari mana kita tiru sikap itu. Soalnya, berapa peratus kita mengenal diri, setelah mengenal kedua orang tua kita?

Monday, October 30, 2006

Mari Hargai Orang-Orang Di Sekeliling Kita

Belajar menghargai orang adalah sangat susah. Ia bukan suatu lakonan, kerana lakonan ada mula dan ada hentinya. Bila kita mula belajar menghargai, kita akan mula mengerti betapa kita juga mahu dihargai.

Tabienya, kita selalu menghargai orang yang jauh dari kita, lantas mengabaikan orang yang di sekeliling. Kemudian, apabila orang yang asalnya berlegar di sekeliling kita mula menjauh, dan orang baru lain pula berlegar di sekitar kita, kita bernekad mengejar orang yang menjauh, dan mengabaikan sekali lagi mereka yang baru tiba di sekeliling kita.

Bila namanya menghargai, kita bukan membina tembok agar ia tidak lari, tetapi membina ikatan agar sejauh mana ia lari, ia akan tetap kembali. Tetapi adatnya, kita sedaya upaya membina tembok dan membentang halangan, dan memutuskan tali.

Menghargai tabiatnya adalah pada yang kita suka. Apakah kita pernah menjumpai sesuatu yang kita benci lalu dihargai? Lalu, langkah pertama kepada penghargaan adalah perasaan suka. Dari perasaan suka maka timbul perasaan senang, dan dari perasaan senang, maka menghargai akan jadi lebih mudah.

Setelah beberapa kali mengkaji perangai manusia, saya mendapat satu takrifan singkat mengenai perbezaan lelaki dan perempuan. Iaitu, lelaki berbeza langsung dengan perempuan, perbezaan yang sangat bertentangan. Akan tetapi, ia bertentang seperti sejauh antara A dengan Z, atau sedekat M dengan N.

Cubalah perhatikan. Perempuan mudah menghargai keluarganya, dan lelaki agak sukar menghargainya. Sebaliknya lelaki mudah menghargai kekasihnya, tetapi perempuan pula sangat sukar menghargainya. Hem. Betulkah begitu pada anda?

Saturday, October 28, 2006

Dari Tanah Yang Sama Keluar Pohon Yang Berbeda

Untuk ayah dan ibu. Orang-orang yang ambil kuliah lughah bukan semestinya menjadi lughawi, kerana kuliah lughah bukan sekadar itu saja. Ibu dan ayah tahu? Ada yang cenderung pada Nahu lalu menjadi Nahwiy, ada yang cenderung pada Saraf lalu menjadi Sarfiy, atau boleh juga dipanggil lughawiy, kerana ia ada kaitan dengan kosa kata, ada yang lebih pada Adab lalu menjadi adabiy, sasterawan orang melayu kita panggil, ada yang kukuh pada sejarah lalu menjadi muarrihkh, itu antaranya, ada banyak lagi.

Dan semua itu tidak sama, dan perlu kepada latihan yang berbeza. Seorang ahli bahasa pun tidak semestinya menjadi sasterawan, walaupun tahu hukum bahasa. Sebab ia berbeza zuk dan zuk adabiy manakan sama dengan zuk nahwiy atau pun lughawiy.

Dan kalau tidak keberatan juga ketahuilah, jarang-jarang benar ada yang dapat kuasai semuanya, walaupun ia masih dalam kuliah lughah. Walaupun betul, usaha itu kena dan perlu.

Thursday, October 26, 2006

Nilai Huruf Jar, Dan Kesannya Kepada Makna Dan Ayat

Guru saya selalu mengingatkan - bahawa huruf jar bersama majrur adalah sentiasa bersifat muta'allik bi ma qablahu - iaitu bergantung dan berkait dengan apa yang berada dengan sebelumnya.

Saya menambah kaedah ini dengan menjelaskan - bahawa jar dan majrur, berada di posisi yang paling lemah dalam ayat, kerana jar dan majrur boleh ditakdimkan (di kehadapankan) atau boleh ditakhirkan (di kebelakangkan) dalam sesuatu ayat, selama mana ia bukan bersifat zaidah.

Menerangkan kaedah ini, saya suka membawakan contoh paling mudah supaya dapat menjelaskan posisi dan kedudukan sebenar. Contoh - waqafa muhammadun fi l-masjid - boleh ditukar kepada - fi l-masjid waqafa muhammadun. Dalam contoh yang pertama, jar majrur diletakkan di akhir ayat (ditakhirkan) dan dalam contoh yang kedua, jar majrur di letakkan di awal ayat (ditakdimkan), dengan keadaan kedua-dua makna, masih lagi membawa makna yang sama, sekalipun ia ditakdimkan, atau ditakhirkan.

Saya menambah lagi, bahawa jar dan majrur berada dalam posisi paling lemah (selama mana ia bukan zaidah) kerana ia bukan sahaja tidak membawa perbezaan sekiranya ditakdimkan mahupun ditakhirkan, bahkan ia juga boleh dimahzufkan (dibuang) dan ia tidak menjejaskan struktur ayat, dan ayat masih dianggap sempurna tanpa sebarang cacat.

Kerana sifatnya yang 'muta'allik bi ma qablahu', bergantung kepada apa yang sebelumnya, ia bersifat lentur dan mudah alih. Maka tidak hairanlah, sekiranya anda mempelajari usul feqh, anda akan menjumpai muqaiyad dan mutlak, dan ia ada kaitan dengan sifat istimewa jar majrur ini.

Apabila saya menambah perincian kaedah 'boleh dimahzufkan' dalam konteks ini, adalah penting untuk dijelaskan juga, bahawa makna ayat akan 'berkurang' kesan daripada pembuangan jar majrur. Bahkan, pentakhsisan makna boleh bertukar kepada peng-am-an makna, juga sebaliknya. Ya, ia akan mengganggu isi kandungan sebenar yang mahu disampaikan oleh penutur.

Sebagai contoh, ayat, saya pergi ke sekolah dengan bas pada jam sepuluh pagi (zahabtu ila l-madrasati bi l-utuubis fi s-sa'aati l-a'shirati sobaahan) mengandungi beberapa huruf jar iaitu ila (ila l-madrasah), dan bi (bi l-utuubis) juga fi (fi s-sa'aati l-a'shirati). Sekiranya menggunakan kaedah yang saya sebutkan tadi, kita bukan sahaja boleh mentakdim mahupun mentakhirkan mana-mana jar dan majrur tanpa menjejaskan makna (selama mana ia bukan zaidah), tetapi kita juga boleh menghazafkan jar dan majrur tersebut tanpa 'menjejaskan struktur asas' ayat.

Mari kita hazafkan. zahabtu ila l-madrasati bi l-utuubis fi s-sa'aati l-a'shirati sobaahan. Kita dapat melihat, semua huruf jar dan majrurnya dihazafkan, dan cuma meninggalkan zahabtu. Ia tidak menjejaskan struktur asas ayat, kerana dalam struktur asas ayat 'fe'el', yang semestinya ada adalah fe'el dan fa'el, dan jika ia muta'ddi, maka kena ada maf'ul.

Dalam contoh di atas, zahabtu sudah memiliki fe'el dan fa'el (ta fa-'el), dan struktur ayat telah sempurna. Inilah yang saya maksudkan dengan 'keharusan menghazafkan jar tanpa menjejaskan struktur asas ayat'. Ayat masih lagi sempurna, sekalipun selepas hazaf. Ayat masih lagi betul. Cuma, makna sebenar penutur telah dikurangkan kerana hazaf ini.

Apa pentingnya memahami konsep dan kaedah ini? Ia membantu anda menjejak dan memahami mana satukah struktur asas ayat, dan manakah aksesori tambahan sesuatu ayat. Apakah asas sesuatu ayat dalam sesuatu uslub, dan manakah yang bersifat tambahan semata-mata.

Dalam konsep yang saya terangkan tadi, saya menuliskan 'selama mana huruf jar tersebut itu bukan zaidah'. Ini kerana, sekiranya ia adalah zaidah, maka huruf jar tersebut beserta majrurnya tidak boleh dimahzufkan, dan adalah lebih baik untuk tidak ditakdimkan atau ditakhirkan. Ini berlaku kerana sekiranya ia dimahzufkan seperti huruf-huruf jar yang lain, maka struktur ayat bukan saja rosak, bahkan makna akan menjadi salah.

Saya harap tulisan ini dapat difahami. Makna yang kurang tetapi masih betul, berbeza dengan makna yang kurang bahkan juga salah. Anda akan lebih jelas sekiranya memahami jar zaidah dengan lebih teliti lagi. Soalnya, bagaimana membezakan jar zaidah, dengan jar bukan zaidah.

Wednesday, October 25, 2006

Rujuklah Kamus

Seorang kawan pernah bertanyakan kepada saya, bagaimana memahirkan diri dengan wazan-wazan (tasrif) di mana perubahan daripada satu tasrif kepada tasrif yang lain akan membawa kepada perbezaan makna.

Secara imbas saya katakan, memang benar, setiap tasrif mempunyai makna-makna tersendiri, seperti ta'diah, taksir, dan lain-lain, dan kaedah ini secara asasnya boleh membantu kita memaknakan dengan lebih tepat. Akan tetapi, adalah lebih selamat untuk kita sentiasa merujuk kamus Arab-Arab supaya kita dapat mengikuti maknanya dengan lebih tepat lagi.

Ini kerana, panduan penambahan makna-makna tertentu adalah beberapa makna asas, dan ia tidak terhad sekadar itu sahaja. Sebagai contoh, sekiranya fa-'ilun memberikan makna 'pembuat' atau pelaku bagi sesuatu perbuatan, tetapi, makna ini adalah makna asas, dan barangkali tidak cukup bagi menerangkan makna tersebut secara penuh, apatah lagi sekiranya ada campur tangan istilah.

qa-bi-la yang bererti menerima, seharusnya akan bererti penerima setelah menerima makna tambahan 'pembuat' atas tasrif fa-'ilun, menjadi qaabilun, tetapi qaabilah, dengan wazan yang sama tetapi ditambahkan ta ta'nis, akan membawa erti lain, iaitu, perempuan yang menerima atau menyambut bayi ketika dilahirkan, iaitu dalam konteks kelahiran di tempat kita, adalah bidan, perempuan yang membantu ibu-ibu melahirkan anak.

Makna pembuat, atau pelaku, bagi sesuatu perbuatan adalah makna asas, tetapi kadang kala, beberapa makna tambahan yang tidak direkodkan juga mempunyai kesan kepada makna asal ini. Oleh itu, adalah lebih selamat untuk kita selalu merujuk kamus dalam menentukan makna, dan lebih baik lagi, kamus Arab-Arab.

Kad Raya

Kad Raya sudah sampai. Tapi belum ambil. Mungkin dari mak ayah, sebab mereka pernah kata baru hantar.

Semalam, bila angin sejuk dari laut bertiup ke mata, mata rasa mudah nak berair. Efek dari kesejukan musim sejuk. Efek yang sama berlaku kalau pusat beli belah yang dingin, rasa nak mengalir saja air mata. Dan raya-raya ni, bila malas nak berjalan, baik puasa, betul tak?