Monday, March 28, 2011

Macet, Kesibukan Dan Komitmen

Sebetulnya, masa yang tidak sempat-sempat dan halangan-halangan maknawi yang saya redahi dalam tempoh beberapa bulan sedikit menyukarkan saya aktif membuat pos ke blog ini. 9 Januari 2011, setelah dua bulan merancang, akhirnya Al-Husna Arabic Centre selamat dilancarkan, walaupun pada hari bersejarah itu saya tidak dapat datang. Pada pertengahan Februari, kelas kedua dilancarkan. Kedua-dua kelas yang merupakan kelas bahasa Arab untuk orang awam. Kemudian kelas untuk kanak-kanak dirancang, namun sedikit masalah teknikal berlaku. Kini, kelas ketiga untuk orang awam dibuka untuk ambilan Mei, dengan kuantiti terhad, 20 orang sahaja.

Aktiviti Al-Husna separuh rancak secara puratanya. Adakalanya saya hampir tiada rehat dan kepala sentiasa penuh dengan pelbagai tugas untuk dilaksanakan, dan adakalanya saya boleh mengambil nafas dan tidak terkejar-kejar. Yang macet benar, adalah apabila ada projek yang perlu ditunaikan segera. Mungkin kadang-kala sedikit tekanan itu wujud dan ketenangan sudah retak dan berkecai.

Saya cuba untuk memberikan tumpuan tidak berbelah bagi kepada semua komitmen, dan cuba untuk tidak membazirkan walau sepuluh saat. Tetapi minggu yang sudah, apabila menolak diri sendiri sampai ke batasan dan melebihi batasan, saya hampir-hampir tumbang jatuh tergolek sakit. Berselang-seli saya lakukan, antara bersungguh-sungguh, dan bersantai-santai. Pun begitu, tugas yang meminta diselesai segera juga semakin memundak di bahu.

Saya sudah bertugas di Sekolah Menengah Islam Hidayah, mengajar bahasa Arab. Tugas sebagai guru saja sudah menuntut komitmen yang tinggi dan persiapan yang berkesan, supaya saya sendiri boleh berpuas hati dengan pengajaran hari ke hari. Berkali-kali juga saya mengkaji sebab kegagalan pengajaran di dalam kelas dengan kejayaan-kejayaan dalam kelas yang lain, di samping tidak henti-henti merancang sesuatu untuk melakukan pengajaran yang berkesan.

Kini, sebuah projek di bawah Al-Husna menanti untuk dilaksanakan. Targetnya adalah 31 Mac, dan kerjanya pun agak boleh tahan mencabar. Saya berdoa kepada Tuhan, membantu saya melaksanakan, di samping dapat mempersiapkan diri mendepani tugas-tugas dan komitmen lain dengan berkesan dan berkualiti. Walaupun waktu suntuk, saya cuba juga untuk pulang ke kampung halaman, di Ayer Hitam seminggu sekali, walaupun untuk sekejap. Semoga Allah memberkati kita semua.

Saturday, February 05, 2011

Entri Pendek Di Waktu Yang Suntuk

Sudah sebulan juga saya menjadi warga Johor Bahru. Meneroka satu jalan demi satu, alam baru dan mengharapkan harapan dan kenangan yang saya hubungkaitkan kedua-duanya tidak dihanyutkan leka-leka dan pesona. Bila teringatkan Bumi Anbiyak dan Auliyak, sesekali rindu itu mengingatkan pada keputusan yang saya ambil di akhir kembara, yang menjadi pilihan langkah di permulaan perjalanan. Semoga Tuhan memberkati kita semua, membantu dan menunjukkan jalan ke arah-Nya.

Sunday, December 05, 2010

Al-Khairu Kulluhu Biyadih | Kebaikan Itu Seluruhnya Adalah Di Dalam Percaturan-Nya

Kebaikan itu semuanya di dalam genggaman Tuhan, bukan di dalam genggaman kita. Kita tidak pernah menguasai suatu apa pun, melainkan apa yang Tuhan perkenankan untuk kita. Lalu kita akur bahawa kita adalah manusia paling lemah, yang bukan saja tidak punya apa-apa, bahkan tidak mampu apa-apa, kerana apabila kita melakukan sesuatu, walau sekecil-kecil perkara, adalah dengan perkenan Tuhan.

Kita selalu menyangka bahawa kekayaan itu adalah kebaikan, tetapi berapa banyak sudah kita perhatikan orang yang binasa kerana kekayaan. Kita kemudian menyangka bahawa kegembiraan itu adalah kebaikan, tetapi kedapatan banyak mereka yang hanyut dengan kegembiraan yang lalai. Kita menyangka bahawa kebijaksanaan itu adalah kebaikan, tetapi betapa banyak yang membuat bencana dengan ilmu yang mereka ada. Kita menyangka itu dan ini adalah kebaikan, tetapi betapa banyak yang kita sangkakan itu diterbalikkan menjadi bencana kepada mereka.

Sebetulnya, kebaikan itu seluruhnya di genggaman Tuhan. Tidak satu pun di capaian kita, melainkan apa yang Dia capaikan untuk kita. Lalu mintalah kepada Maha Pemurah untuk mencapaikannya kepada kita, kerana Dia adalah Maha Pemurah, bukan seperti kita yang maha kedekut. Pintalah apa saja, dan ketahuilah bahawa Dia pasti menunaikan permintaan, atau menunaikan maksud pintaan.

Bukan bererti apabila kita masih dalam kemiskinan walaupun setelah meminta menjadi kaya itu bererti Dia kedekut dan menolak doa, bahkan itulah sebenarnya tanda pemberian, kerana Dia Maha Tahu. Sesetengah kita tidak elok keadaannya setelah kaya, kerana kekayaan membuatkannya sombong dan dosa, takbur dan besar diri, menghinakan orang, lalu dengan rahmat-Nya, Dia menjadikan sesetengah kita itu miskin, hatinya luluh dan penuh rendah diri, menjadi hamba-Nya yang selalu meletakkan harap kepada Pencipta, hingga kemiskinan itu merupakan rahmat dan berkat kerana kekayaan itu tidak membawanya kepada kebaikan.

Kerana kebaikan itu adalah di tangan Tuhan, bukan di tangan kita.

Pernahkah kita berjumpa dengan orang yang belum belajar bercakap, lalu dia banyak terdiam. Tidak pandai bergaul dengan orang. Tetapi setelah belajar bercakap, menjadi seorang yang fasih, lidahnya dia gunakan untuk mencaci orang, bahkan dengan cara yang seni dan indah, menghasut dan menimbulkan permusuhan sesama manusia dengan kesenian lidah dan tutur, lalu apakah kebaikan lebih dari dia mendiamkan diri, dan apakah manfaat lebih dari dia menjadi seorang yang tidak terjebak kepada semua itu?

Kerana kebaikan itu di dalam kekuasaan Tuhan, bukan di dalam capaian kita.

Akuilah kejahilan diri, bahawa kita bukan saja tidak mengetahui dunia apa lagi akhirat, bahkan jahil dengan kebaikan diri dan keburukannya. Lalu kita menjadi seorang yang tahu mengharap kepada Tuhan, meletakkan baik sangka terhadap apa saja yang Dia tetapkan untuk kita, supaya sifat kehambaan itu terpakai kepada diri bahawa kita adalah hamba-Nya yang jahil dan lemah, tidak mampu menguasai sesuatu walau sekecil apa-apa pun hinggalah diperkenankan-Nya. Semakin banyak yang mampu kita lakukan, semakin itulah menjadi tanda kemurahan Tuhan, belas ihsan-Nya, dan kasih sayang-Nya.

Kemudian janganlah menjadi takbur, kerana kita tidak mengetahui di manakah letaknya kebaikan, di mana letaknya keburukan. Kerana kita tidak mampu memutuskan sesuatu. Tetapi pohonlah, supaya Dia menghalakan kita kepada kebaikan, menyabarkan kita di atas ujian, kerana mukmin itu segala-gala mengenainya adalah kebaikan, apabila dia diberi dia bersyukur, apabila dia diuji dia bersabar. Pohonlah agar kita dijauhkan dari istidraj, zahirnya adalah kebaikan, namun intinya adalah bencana.

Tuhan, pandulah kami kepada kebaikan, dan tetapkan kami dalam kebaikan.

Saturday, December 04, 2010

Tiga Buku Dengan Kuantiti Terhad

Saya sudah tiba di tanah air. Membawa bersama saya Antologi Dalam 10 Yang Kugelar Cinta (RM 10), Tasrif Binak Af-'aal (RM 20) dan Kamus Mukjam Arabi Asasi (RM 70). Dengan kuantiti terhad, dengan sebutan harga di atas adalah tidak termasuk kos penghantaran. Bagi yang berminat sila segera hubungi saya di 019-7591984.

Friday, December 03, 2010

Catatan Hujung Kembara 54 | Terima Kasih Yang Terlewat Tetapi Kekal Menjadi Ingatan

Saya terlewat tetapi masih ingin dan ingat untuk mengucapkan sepenuh terima kasih saya kepada semua insan yang membantu terutamanya di tempoh akhir kembara saya di bumi Mesir. Kepada Al-Fadhil Al-Ustaz Nazri Al-Idrisi yang telah banyak menunjukkan jalan sehingga saya menemukan Syeikh Musa di Usfun untuk melengkap bacaan al-Quran saya, menjadi rantai hubung saya kepada Syeikh Mohd Awadh Al-Manquush yang mengajar begitu banyak mengenai ilmu dan hadis. Juga tidak terhingga terima kasih kepada Al-Fadhil Al-Ustaz Afiq Al-Kattaniy yang banyak membantu sehingga dapatlah saya menemui Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattaniy sebelum saya berangkat. Sejambak penuh terima kasih saya juga pada al-Ustaz Luqman al-Ghumari yang banyak berjasa kepada saya dengan menemukan saya pada memori berharga. Tidak dilupakan kepada Fadhilatu l-Ustaz Osman al-Ja'-fariy yang merupakan jalan saya kepada sekian banyak pintu, seorang sahabat yang juga guru.

Juga kepada ramai lagi yang tidak dapat saya sebutkan. Jasa budi baik kalian Tuhan saja dapat membalas dengan berkali-kali ganda. Semoga Dia mengumumi kita dengan rahmat-Nya.

Saturday, November 20, 2010

Catatan Awal Kembara | Mencari Langkah

Suasana Malaysia memang berbeza dan menjanggalkan kalau dibandingkan dengan suasana Mesir. Sama suasananya seperti kali pertama saya pulang dahulu. Semoga Allah memberi jalan kepada saya. Mereka yang mahu menghubungi saya, boleh dail ke nombor ini. +60197591984. Buat seketika ini, pergerakan saya masih agak terbatas. Insya-a -llah, apabila segalanya lancar, mungkin boleh memasang langkah yang lebih jauh.

Wednesday, October 20, 2010

Catatan Hujung Kembara 53 | Hatta Akuuna Ahabba Ilaihi Min Waalidihi Wa Waladihi Wa n-Naasi Ajma-'iin

Perasaan sayang itu sebetulnya aneh. Ia mengikat kuat hati manusia. Manusia sanggup berkorban dari sekecil-kecil harta, kepada sebesar-besar nyawa kerana sayang. Sanggup berusaha menepis secara serangan buruk, dan kalau perlukan kepada perisai, tubuh itu akan sanggup jadi gantian.

Kerana itu, insan yang paling terutama untuk kita sayang adalah Junjungan kita s.a.w. Supaya, hati kita kuat terikat padanya. Supaya kita tidak berasa sayangkan duit semata-mata untuk menziarahinya. Supaya, kita akan bersungguh-sungguh menepis serangan dan kejahilan orang yang ditujukan kepadanya. Kerana kita adalah perisainya, gantinya, tebusannya.

Supaya kita faham, bahawa kalau ada yang perlu kita pertahankan, baginda adalah yang pertama, bukan sebarang tokoh lain. Semoga Allah menyerapkan rasa sayang yang tertinggi ini, kerana seseorang itu tidak sempurna imannya, sehinggalah baginda merupakan orang yang paling dia sayangi, lebih dari ibu bapanya, daripada anak-anaknya, dan manusia seluruhnya.

Tuesday, October 19, 2010

Catatan Hujung Kembara 52 | Semoga Berjumpa Lagi Imaan

Untuk sahabat baik saya, Ustaz Dhiaa-u l-Iimaan, semoga perjalanan ini selamat tiba dan mudah urusannya. Moga dimudahkan lagi kita ketemu di tanah air kelak. Terima kasih atas segala bakti yang tidak ternilai. Semoga Tuhan membalas dengan gandaan kebaikan.

Saturday, October 16, 2010

Catatan Hujung Kembara 51 | Yang Menjadi Sanjungan Setiap Masa

Sebetulnya, saya ada dua perangai yang selalu saya kesalkan setelah terlajak laku. Pertama adalah suka bergurau, hingga apabila tidak berhati-hati, saya kerap menyesali. Walaupun sebetulnya bergurau bukan tabiat asal saya. Ia dibentuk bermula tingkatan empat di sekolah menengah dahulu oleh kawan baik saya, Abdu r-Rahman. Tetapi beliau cekap berhati-hati, itu yang saya tidak sempat belajar darinya.

Namun, dia mengajarkan sikap ini bukan kerana saja-saja, tetapi kerana saya mempunyai sikap yang kedua, iaitu terlalu serius, dan apabila tidak dikawal, ia dituruti bertukar kepada panas baran. Itu barulah sifat sebenarnya saya. Dan kini, saya memiliki kedua-duanya, dan orang yang selalu cuba mendidik sikap panas baran saya adalah ibu, sehingga ketika dia membelikan saya motor dia berkata, supaya saya boleh belajar bersabar.

Kerana itu, saya ingin memohon maaf kepada sesiapa saja kalau-kalau ada laku yang melukakan timbul dari dua kekesalan saya, bahawa saya juga masih dalam peringkat belajar. Kalau dapat, saya tidak mahu memikul rasa bersalah kepada sesiapa ketika pulang ke tanah air kelak. Dan, doakan sama kita akan berjaya menjejaki akhlak kekasih terutama, yang menjadi sanjungan setiap masa.

Friday, October 15, 2010

Catatan Hujung Kembara 50 | Sampai Bila-Bila

Saya sudah tidak ingat berapa banyak atau sedikit usaha saya untuk memajukan dunia penulisan di Mesir. Hanya Tuhan saja yang Maha Tahu apa yang telah saya lakukan, dan apa yang tidak saya lakukan. Pun begitu, saya juga menyedari bahawa, penulisan itu datangnya dari kesedaran dan didasari oleh ilmu. Bahkan, ia juga perlukan perkenan Tuhan. Selalu saya disumbatkan dengan maklumat bahawa penulis itu bukan lahir dari bengkel dan pembentangan, tetapi semua itu adalah perlu juga demi menjayakan matlamat.

Seingat saya, sudah beberapa kali juga saya membina pelapis, dan bilangannya saya kira jejak belasan atau lebih, namun semuanya telah pulang mendahului saya. Barangkali kerana saya tidak sehebat mereka dalam bab pelajaran ini. Dan saya fikir, saya menjalankan tugas yang dipikulkan kepada saya oleh generasi penulis terdahulu, walaupun ia tidak seberjaya yang diharapkan.

Saya tidak tahu, adakah mereka yang saya bina sempat meninggalkan pelapis selepas mereka atau tidak. Namun begitu, saya dapat melihat mereka berusaha membentuk pelapis setelah mereka, dengan bersungguh-sungguh, dan terdetik di kepala, bahawa tidak sia-sia juga usaha saya selama ini. Juga ingin saya tinggalkan pesan bahawa, penulisan itu tidak akan berjalan tanpa bekalan ilmu dan isian di dada. Jangan lupa untuk mengisi, sebelum anda mampu mencurah. Niat yang baik sahaja belum mencukupi untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.

Terima kasih kepada semua yang berkumpul di sekeliling saya di medan ini. Saya ungkapkan di akhir ini ungkapan yang diungkapkan oleh Saudara Ubaidillah Alias kepada saya antaranya bermaksud: saya berazam untuk terus menulis, dan tidak meninggalkan lapangan ini sampai bila-bila.