Friday, October 24, 2014

Di Sini Bermulanya : 6 : Demi Janji Dan Cinta

Saya rasa bersalah. Rasa itu berat di hati. Apabila diajar melabur dan menyertai perniagaan, terutama apabila yang mempelawa itu ayah saya sendiri. Atau rakan-rakan karib. Atau guru saya sendiri. Kerana mereka itu dekat di hati saya, menolak itu sangat berat dan sangat merasakan bersalahnya.

Tetapi, bukan cara saya membohongi orang lain, apatah ayah saya sendiri. Bukan juga cara saya menzahirkan perkara yang bukan isi hati saya. Saya cuba berhati-hati dengan perkataan saya, dengan harapan tidak mengguriskan hati orang sekeliling saya. Walaupun saya tahu, menghampakan harapan dan pelawaan itu sendiri boleh mengguriskan.

Namun, sifat asertif yang saya pelajari ketika di sekolah menengah itu saya pegang baik-baik. Bahawa tidak salah menyatakan ketidaksetujuan walaupun kepada orang yang paling karib dengan kita, tetapi dengan bahasa yang paling lembut dan tidak melukakan. Bahkan dari hadis yang saya belajar dan saya pegang bahawa mukmin itu, zahirnya seperti batinnya. Zohiruhu ka batinihi.

Oleh kerana itu, adalah saya saya menzahirkan perkara yang tidak sama dengan isi hati saya. Apatah lagi kepada mereka yang hampir kepada saya. Bahawa saya tidak mahu terlibat dalam perniagaan atau pelaburan yang mereka pelawakan. Bukan maksud saya melukakan atau mengguris, sangat jauh dari niat saya. Tidak pernah saya memaksudkan ia salah atau menyalahi. Hanya saya menolak kerana saya enggan.

Mungkin boleh terdetik di hati yang bertanya, bukankah ia harus, dan harus juga saya mengubah isi hati dan pemikiran saya, lalu menerima pelawaan si pempelawa. Di situlah sebenarnya jawapan mengapa saya menolak perniagaan yang mereka cadangkan dan pelaburan yang mereka war-warkan. Mengapa saya tidak menyertainya? Mengapa saya berkeras enggan, walaupun dalam bahasa yang cuba seberapa boleh lembut agar diharap tidak melukakan.

Saya sudah menginfakkan diri saya untuk Bahasa Arab. Itulah janji saya pada diri saya sendiri ketika saya masih di Mesir lagi. Bukan sahaja isu duit, ke mana saya habiskan, bahkan isu masa dan tenaga juga sangat mengesankan di hati saya. Terasa bersalah kalau masa dan tenaga saya habiskan bukan untuk Bahasa Arab yang sangat saya cintakan. Walaupun ya, banyak juga masa dan tenaga saya habis bukan untuk itu, kerana kehidupan memang ada yang di luar kawalan.

Dan kerana itu juga, kerana wang duit ini bukanlah banyak sangat, jadi rasanya mudah untuk dikawal, kerana selalu habis. Bagaimanakah saya harus melabur pada yang tiada berkenaan dengan Bahasa Arab dan ilmu kalau dengan dua perkara itu sahaja belum seringgit saya laburkan? Bukankah itu menambah rasa kesal dan bersalah saya, dan rasa kesal itu saya pikul seorang, dan yang tidak memahaminya bagaimanakah mereka menyedarinya?

Jauh di lubuk hati saya rasa maaf dan kesal kerana berisiko mengguriskan hati kerana menolak hajat mereka yang memintanya, tetapi saya juga harus ada pegangan diri, bahawa inilah cara saya hidup, dan inilah cinta saya. Adakah pernah terfikir, hingga mencari calon isteri yang telah saya temukan sekarang inipun pada ketika saya menyelidiknya, bahawa dia suka mahu belajar Bahasa Arab yang sangat saya cintakan ini. Dan bahawa kalau dia membenci bahasa yang saya cintai, barangkali orang lain yang saya akan cari.

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana saya mempelajari Bahasa Arab ini dan bahasa-bahasa yang lain. Namun cinta saya pada bahasa ini, janji saya pada bahasa ini, dan azam saya bukanlah sebab untuk melukakan sesiapa sahaja. Saya mohon maaf kerana melukakan. Bukan itu tujuan matahari terbit

Saturday, August 09, 2014

Di Sini Bermulanya 5: Silaturrahmi

Menghubungkan silaturrahim berpahala besar. Menyambung silaturrahim yang diputuskan bahkan lagi. Membalas semula kunjungan itu tahap yang paling rendah. Ketiga-tiga ini ada dinyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud, (( bukanlah orang yang menyambung silaturrahim itu adalah setakat membalas semula hubungan silaturrahim orang lain terhadapnya, akan tetapi penyambung silaturrahim itu, apabila terputusnya hubungan, dia sambungkannya))

Kalau kita sekadar membalas, itu pun sudah cukup baik. Apabila kita mengekalkan hubungan, itu lebih baik. Tetapi kalau kita mampu merendah diri dan berbaik semula menyambungkan hubungan yang putus, itu sangat besar ganjarannya.

Waktu ini sebetulnya waktu saya melihat diri, melihat ramai lagi saudara mara yang belum pernah saya ziarah setelah bergelar suami dan bapa. Saya bersyukur sudah ada yang saya mampu ziarah sekali dan beberapa kali. Ziarah ibu bapa itu perlulah kerap. Jauh lebih kerap daripada mana-mana saudara mara. Ziarah rakan sahabat taulan teman baru ada beberapa wajah. Ziarah guru-guru juga sama. Masih terlalu ramai yang perlu saya lunaskan.

Tetapi, sekalipun pencapaian saya dalam hal ini masih sangat cetek untuk dikatakan cetek, bahkan sangat lewat untuk dikatakan lewat, tetapi saya bersyukur kerana saya sudah memulakannya sedikit. Wallahu min waro-i l-qasdi wahuwa yahdi s-sabil

Monday, January 13, 2014

Di Sini Bermulanya 4: Muriidullah

Alhamdulillah, sedar tak sedar, sudah bergelar bapalah saya. Sudah empat bulan, dan sudah empat bulan lebih usia Muriidullah. Yang mesra saya panggil muriid. Sudah menggelarkan diri saya abi dan isteri saya ummi. Sudah kembali ke sekolah dan berkhidmat. Pengalaman-pengalaman sejak zaujah saya mula mengandung, merasai ragam isteri mengandung yang pelbagai, hinggalah menyambut cahaya mata pertama dan mengasuhnya, mendidiknya, menjaganya, meninggalkannya di hospital, di rumah mertua dan di rumah pengasuh tatkala waktu bekerja. Semua pengalaman yang baru dan kadangkala terasa letih dan kucar kacir tetapi alhamdulillah, dapat dilalui berkat bantuan soohibah tercinta yang biasalah, terkadang sedikit selisih faham itu ada, gaduh-gaduh sayang itu ada, dan marah tegur itu ada. Alhamdulillah, dia seorang yang sabar, dan segalanya dapat berlangsung akhirnya dengan baik. Alhamdulillah, saya mula belajar menyesuaikan diri dengan alam baru, dan cuba untuk mengembalikan diri kepada tugasan saya yang selama ini perlu dilangsaikan.

Friday, August 23, 2013

Telah-Telahku

Telah kukumpulkan
Kenamaan yang mengenal-arifkan
Si bawah tempurung
Dari negara paling hujung
Akan diri
Untuk kujadikan modal
Bergelar hamba-Mu yang tidak bernama
Apa apa

Telah kutabungkan
Hujah dalil yang mendiambisukan
Pemidato pendebat pemilik hujah
Dari puncak kebijaksana-ilmuan
Untuk kulaburkan
Menjadi hamba-Mu
Yang paling jahil

Telah kuhimpunkan
Kemewahkayaan
Dari langit paling tinggi
Ke bumi paling dalam
Dari timur paling utara
Ke barat paling selatan
Supaya boleh kuasetkan
Bergelar hamba-Mu
Paling kedana-papa

Telah-Telahku
Namun
Laku mampukah aku

Wednesday, August 21, 2013

Di Sini Bermulanya 3 : Sebuah Perjalanan Dengan Seribu Cerita Panjang Yang Diringkaskan

Terlalu banyak yang berlaku akhir-akhir ini. Daripada yang paling rutin hinggalah yang mendadak dan mentiba-tiba. Daripada pemergian seorang anak murid ke hadrat ilahi yang mengejuthibakan hinggalah perkara tanggungjawab yang menuntut peluh dan cungap nafas. Daripada pernikahan adik yang mengujakan hinggalah ke isu semasa yang menuntut hujah dan dalil perdebatan. Akhirnya semua akan kembali kepada yang paling basis yang menerasi perkara, muhasabah diri yang dhaif jahil dan memalingkan segala kekurangan pada diri sambil menghalakan pengharapan dan pergantungan pada pencipta. Bahawa kita ini hamba-Nya.

Friday, May 24, 2013

Di Sini Bermulanya: 2: 'Aqiilatii l-Habiibah

Sungguh lama rasanya tidak ke sini mencoret sesuatu. Sungguh banyak benar isu berlalu berputar di keliling dan tidak sempat disisipkan sesuatu. Bergelar suami bagi saya benar-benar mencabar, dan banyak juga kelam kabutnya. Namun saya bersyukur mendapat teman hidup yang memahami saya, banyak bertimbang rasa, banyak juga berkorban untuk kesejahteraan rumah tangga, bahkan berkongsi panduan dan cerita. Selalu saya berdoa di samping merancang dan berfikir ke hadapan, walaupun kepenatan menggalas pelbagai tugas dan tanggungjawab, namun kewujudan isteri tersayang menyumbangkan dorongan psikologi untuk terus mara. Saya akui, perlahan-lahan, saya cuba membiasakan diri dengan semua perkara, dan membiasakan keazaman yang saya pikul selama ini. Saya berdoa kepada Tuhan agar memberkati saya sekeluarga, dan membimbing semua ke rahmat-Nya. Amin.

Tuesday, February 05, 2013

Di Sini Bermulanya : 1 : Alam Baru

Alhamdulillah, pada 7 April 2012, saya selamat bertunang dan pada 15 Disember, saya selesai diijabkabulkan dengan pasangan tercinta, Nurulain binti Md Noh, seorang lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia. Dia kebetulan bertugas lebih kurang sebulan lebih awal dari saya. Majlis di tempat keluarga perempuan pada 16 Disember dan di tempat keluarga lelaki pada 25 haribulannya. Bersyukur sangat-sangat kerana begitu ramai yang hadir, terutamanya guru-guru yang saya hormati. Semuanya saya pohonkan doa, almaklum ketidakmatangan diri menghadapi pelbagai perkara boleh mengkelamkabutkan, menggundahgelanakan. Alhamdulillah, hajat saya mendapat doa dari sekelian yang saya hubungi tercapai, itu benar-benar menggembirakan.

Alhamdulillah, memang keributan sedikit di awal-awal melalui alam berumahtangga, tetapi itulah, sabar, tenang, berfikir beberapa puluh langkah ke hadapan, belajar memahami perasaan pasangan dan kehendaknya, adalah antara kunci yang perlu ditekuni, diamali. Seperti mana ujaran guru saya, Ustaz Fuad, "pandai saya mencari isteri yang penyabar", banyak menginsafkan saya, terutama terhadap kegopohan saya dalam perkara. Beliau insan yang hebat. Saya bersyukur mengenalinya.

Untuk isteri tercinta, abang doakan Tuhan meliputi kita sentiasa dengan rahmat-Nya. Amiin.

Tuesday, December 11, 2012

Di Sini Kutemukan 14: Debaran

Debaran menamatkan zaman bujang sangat terasa. Tinggal 4 hari lagi. Mampukah saya memikul tanggungjawab ini dengan baik? Aku mohon petunjuk dan pertolongan-Mu ya Allah. 

Tuesday, December 04, 2012

Di Sini Kutemukan 13: Hak Kita

Kita tidak pernah menafikan setiap orang mempunyai hak. Dan hak itu wajib ditunaikan. Bahkan kita berhak menuntut sesuatu yang merupakan haknya. Bahawa orang yang dinafikan haknya adalah dianggap dizalimi. Bahkan orang yang mengambil alih hak orang lain dianggap zalim. Dan dalam hubungan dua pihak terdapat banyak jenis hak, kerana terdapat pelbagai jenis hubungan.

Namun, adakah kita mesti menuntut hak kita? Adakah jika hak kita dinafikan, kita wajib memprotesnya? Adakah apabila kita tidak menuntut hak kita, kita dianggap lemah, tiada harga diri? Adakah kita boleh membiarkan sesuatu yang merupakan hak kita diambil orang, atau kita mesti mempertahankan hak kita?

Bagaimana tindakan Nabi dalam hak ini? Hak Tuhan Nabi sentiasa pertahankan. Dan Nabi juga menjaga hak orang lain, kerana hak orang lain apabila tidak dijaga akan menyebabkan permusuhan. Tetapi Baginda s.a.w. tidak menuntut hak Baginda s.a.w., tanda luasnya sifat belas kasihan Baginda s.a.w., dan baiknya layanan Baginda s.a.w. terhadap orang di sekeliling Baginda s.a.w.

Bukankah kita kerap mengucapkan atau mendengar kata-kata yang sama. "Tuhanku, aku tidak layak masuk syurga-Mu namun tidak pula aku sanggup ke neraka-Mu". Bahkan, seperti maksud sabda Baginda s.a.w., tiada orang yang layak masuk ke syurga kerana amalannya, tetapi masuk ke syurga adalah kerana belas kasihan Tuhan.

Kalaulah dihitung semua amalan, dan kalaulah Tuhan menuntut semua haknya, maka tidak ada yang sanggup menunaikan haknya. Seperti maksud firman Tuhan, "Tidaklah engkau menyembah Tuhan dengan hak sembah yang sepatutnya". Jadi, adakah kita perlu berkeras menuntut hak kita sekiranya ia terpulang kepada kemurahan hati kita dan hanya membabitkan kita sahaja? Fikirkan. 

Sunday, December 02, 2012

Di Sini Kutemukan 12: Dua Minggu

Tinggal dua minggu lagi untuk saya menamatkan zaman bujang, insyaallah. Tetapi, banyak tugasan berkaitan itu dan berkaitan dengan kerja belum saya lunaskan. Kadang-kadang, terasa diri tidak boleh diharap lalu membuatkan saya rasa sedih. Betul-betul saya mengharapkan Tuhan memperbaiki diri saya dan membantu memudahkan jalan. Wallahu min waro-i l-qasdi, wahuwa yahdi s-sabiil.