Banyak kali terdetik untuk berehat seketika, namun terasa setiap detik sangat berharga untuk disia-sia. Formula saya sangat senang, selesaikan segera, kemudian nikmati hasilnya, itulah rehat yang saya kejar sebenarnya. Dalam masa 3 tahun sahaja, 8 buah buku sudah saya siapkan, dan itu pun masih belum cukup menyelesaikan tugas. Tahun ini sepatutnya ada tiga buah lagi yang patut saya langsaikan, tetapi masih belum. Ya Allah, bantulah hamba-Mu, tanpa-Mu siapalah aku.
Blog adalah sebuah diari yang besar. Untuk mencari sejarah yang dilupa, rasa yang dikambus, hala yang diukir. Untuk mengimbau setelah menyimpan, untuk muhasabah setelah memadam
Monday, July 22, 2019
Di Sini Bermulanya 11: Tanpa-Mu Siapalah Aku
Banyak kali terdetik untuk berehat seketika, namun terasa setiap detik sangat berharga untuk disia-sia. Formula saya sangat senang, selesaikan segera, kemudian nikmati hasilnya, itulah rehat yang saya kejar sebenarnya. Dalam masa 3 tahun sahaja, 8 buah buku sudah saya siapkan, dan itu pun masih belum cukup menyelesaikan tugas. Tahun ini sepatutnya ada tiga buah lagi yang patut saya langsaikan, tetapi masih belum. Ya Allah, bantulah hamba-Mu, tanpa-Mu siapalah aku.
Wednesday, October 26, 2016
Di Sini Bermulanya : 10 : DSK-LAM
Tanggungjawab inilah yang merisaukan. Di pundak inilah dipikulkan. Ke arah diri inilah akan ditudingkan. Jika berjaya maka segala puji. Jika gagal, apakah tiada rasa salah dalam diri? Namun, tanggungjawab yang dituntut tetap saya sampaikan seperti mana seharusnya. Namun saya tetap berdoa, agar Dia mengirimkan lorongan yang menyampaikan maksud, menunaikan cita, dan menjayakan kata.
Kembali. Memahami DSK sebenarnya memahami kehendak kementerian berkenaan pendidikan. Di dalamnya terkandung hasrat yang padat, dan di celah-celah setiap perkataan mengilhamkan faham tindakan tuntutan yang perlu dilangsaikan. Namun, setiap orang mentafsirkan tindakan mengikut kefahaman. Saya juga menggunakan ilmu bantu konsep pendidikan untuk mentafsirkannya. Bahkan, saya memahami berdasarkan realiti pelajar saya yang perlu bermula dari aras pertama.
Penutup, semoga usaha kita ini dan lainnya berjaya. Amin
Tuesday, April 26, 2016
Di Sini Bermulanya : 9 : Mengumpul Hujah Agar Tidak Disangka Pesong
Antara isi kesimpulan yang saya nyatakan, untuk dijadikan kenangan, adalah kata-kata ulama, yang mendasari akal yang waras. Antaranya, kata-kata Imam Ahmad bin Hanbal yang maksudnya: sesungguhnya hadis dhaif lebih aku sukai berbanding qias. Untuk mengingatkan terlalu banyak perkara agama ini tiada hadis sahih untuk menilainya. Benarkah tindakan kita apabila kita mencampakkan hadis dhaif dengan dakwaan ingin mengambil yang sahih sahaja? Lalu bagaimana dengan hal-hal yang tiada langsung hadis sahih untuk menjadi hukum?
Antara yang memarahkan adalah apabila dituduh bahawa amalan kita ahli sunnah berasal daripada syiah, semata-mata kerana dakwaan sesetengah orang yang mengaku syiah. Kalau saya mendakwa bahawa datuk saya adalah orang yang pertama sekali menaiki gunung everest, lalu diikuti oleh semua orang di dunia, adakah dakwaan saya terus sabit dengan begitu sahaja?
Apa yang sangat menyedihkan, apabila kita tiada asas, lalu masuk dalam perbincangan ulama. Tidak sedarkah kita bahawa kita telah menjerumuskan diri ke kawasan yang berbahaya tanpa dinding kepada diri dengan asas yang kukuh. Kalau bahasa Arab pun tidak mahir, mahu mengakukah kita ahli dalam bidang ini? Lalu dengan hujah apakah akan kita berbekalkan kalau bukan hanya mengikut-ikut kata-kata orang? Adakah mengikut-ikut itu dinamakan berhujah atau dinamakan berilmu kalau kita tidak mampu menerangkan?
Namun, hikmah yang saya pelajari daripada ini adalah ahli sunnah perlu bersedia dengan hujah, walaupun berhadapan dengan orang awam, agar agama ini nampak benar. Inilah fitnah wahhabi di setiap zaman. Dengan propaganda kononnya mereka sahajalah yang menggunakan al-Quran dan as-Sunnah, mereka sahajalah yang menggunakan hadis sahih, mereka sahajalah yang punya dalil. Dan yang paling tak tahan, merekalah kononnya ahli sunnah.
Sunday, September 20, 2015
Di Sini Bermulanya: 8: Ruang Yang Kosong
Walaupun saya sedar, apa yang saya lakukan sejajar dengan tuntutan semasa, kemampuan sedia ada, tahap minat dan kesediaan belajarnya, namun jauh di sudut hati saya, masih ada peluang untuk memperbaiki semua itu, dan tidak mengulangi kesedihan seperti ini di lain-lain kali. Saya percaya, saya mahukan peningkatan dalam hal ini, dan semoga generasi selepas saya lebih baik Bahasa Arabnya berbanding saya.
Allahlah yang mengatur, mentadbir bahkan merancang segala-galanya. Kepada-Nya dipanjatkan segala segala.
Saturday, September 19, 2015
Di Sini Bermulanya : 7 : Mu'allim
Friday, October 24, 2014
Di Sini Bermulanya : 6 : Demi Janji Dan Cinta
Tetapi, bukan cara saya membohongi orang lain, apatah ayah saya sendiri. Bukan juga cara saya menzahirkan perkara yang bukan isi hati saya. Saya cuba berhati-hati dengan perkataan saya, dengan harapan tidak mengguriskan hati orang sekeliling saya. Walaupun saya tahu, menghampakan harapan dan pelawaan itu sendiri boleh mengguriskan.
Namun, sifat asertif yang saya pelajari ketika di sekolah menengah itu saya pegang baik-baik. Bahawa tidak salah menyatakan ketidaksetujuan walaupun kepada orang yang paling karib dengan kita, tetapi dengan bahasa yang paling lembut dan tidak melukakan. Bahkan dari hadis yang saya belajar dan saya pegang bahawa mukmin itu, zahirnya seperti batinnya. Zohiruhu ka batinihi.
Oleh kerana itu, adalah saya saya menzahirkan perkara yang tidak sama dengan isi hati saya. Apatah lagi kepada mereka yang hampir kepada saya. Bahawa saya tidak mahu terlibat dalam perniagaan atau pelaburan yang mereka pelawakan. Bukan maksud saya melukakan atau mengguris, sangat jauh dari niat saya. Tidak pernah saya memaksudkan ia salah atau menyalahi. Hanya saya menolak kerana saya enggan.
Mungkin boleh terdetik di hati yang bertanya, bukankah ia harus, dan harus juga saya mengubah isi hati dan pemikiran saya, lalu menerima pelawaan si pempelawa. Di situlah sebenarnya jawapan mengapa saya menolak perniagaan yang mereka cadangkan dan pelaburan yang mereka war-warkan. Mengapa saya tidak menyertainya? Mengapa saya berkeras enggan, walaupun dalam bahasa yang cuba seberapa boleh lembut agar diharap tidak melukakan.
Saya sudah menginfakkan diri saya untuk Bahasa Arab. Itulah janji saya pada diri saya sendiri ketika saya masih di Mesir lagi. Bukan sahaja isu duit, ke mana saya habiskan, bahkan isu masa dan tenaga juga sangat mengesankan di hati saya. Terasa bersalah kalau masa dan tenaga saya habiskan bukan untuk Bahasa Arab yang sangat saya cintakan. Walaupun ya, banyak juga masa dan tenaga saya habis bukan untuk itu, kerana kehidupan memang ada yang di luar kawalan.
Dan kerana itu juga, kerana wang duit ini bukanlah banyak sangat, jadi rasanya mudah untuk dikawal, kerana selalu habis. Bagaimanakah saya harus melabur pada yang tiada berkenaan dengan Bahasa Arab dan ilmu kalau dengan dua perkara itu sahaja belum seringgit saya laburkan? Bukankah itu menambah rasa kesal dan bersalah saya, dan rasa kesal itu saya pikul seorang, dan yang tidak memahaminya bagaimanakah mereka menyedarinya?
Jauh di lubuk hati saya rasa maaf dan kesal kerana berisiko mengguriskan hati kerana menolak hajat mereka yang memintanya, tetapi saya juga harus ada pegangan diri, bahawa inilah cara saya hidup, dan inilah cinta saya. Adakah pernah terfikir, hingga mencari calon isteri yang telah saya temukan sekarang inipun pada ketika saya menyelidiknya, bahawa dia suka mahu belajar Bahasa Arab yang sangat saya cintakan ini. Dan bahawa kalau dia membenci bahasa yang saya cintai, barangkali orang lain yang saya akan cari.
Alhamdulillah, saya bersyukur kerana saya mempelajari Bahasa Arab ini dan bahasa-bahasa yang lain. Namun cinta saya pada bahasa ini, janji saya pada bahasa ini, dan azam saya bukanlah sebab untuk melukakan sesiapa sahaja. Saya mohon maaf kerana melukakan. Bukan itu tujuan matahari terbit
Saturday, August 09, 2014
Di Sini Bermulanya 5: Silaturrahmi
Kalau kita sekadar membalas, itu pun sudah cukup baik. Apabila kita mengekalkan hubungan, itu lebih baik. Tetapi kalau kita mampu merendah diri dan berbaik semula menyambungkan hubungan yang putus, itu sangat besar ganjarannya.
Waktu ini sebetulnya waktu saya melihat diri, melihat ramai lagi saudara mara yang belum pernah saya ziarah setelah bergelar suami dan bapa. Saya bersyukur sudah ada yang saya mampu ziarah sekali dan beberapa kali. Ziarah ibu bapa itu perlulah kerap. Jauh lebih kerap daripada mana-mana saudara mara. Ziarah rakan sahabat taulan teman baru ada beberapa wajah. Ziarah guru-guru juga sama. Masih terlalu ramai yang perlu saya lunaskan.
Tetapi, sekalipun pencapaian saya dalam hal ini masih sangat cetek untuk dikatakan cetek, bahkan sangat lewat untuk dikatakan lewat, tetapi saya bersyukur kerana saya sudah memulakannya sedikit. Wallahu min waro-i l-qasdi wahuwa yahdi s-sabil
Monday, January 13, 2014
Di Sini Bermulanya 4: Muriidullah
Friday, August 23, 2013
Telah-Telahku
Telah kukumpulkan
Kenamaan yang mengenal-arifkan
Si bawah tempurung
Dari negara paling hujung
Akan diri
Untuk kujadikan modal
Bergelar hamba-Mu yang tidak bernama
Apa apa
Telah kutabungkan
Hujah dalil yang mendiambisukan
Pemidato pendebat pemilik hujah
Dari puncak kebijaksana-ilmuan
Untuk kulaburkan
Menjadi hamba-Mu
Yang paling jahil
Telah kuhimpunkan
Kemewahkayaan
Dari langit paling tinggi
Ke bumi paling dalam
Dari timur paling utara
Ke barat paling selatan
Supaya boleh kuasetkan
Bergelar hamba-Mu
Paling kedana-papa
Telah-Telahku
Namun
Laku mampukah aku
Wednesday, August 21, 2013
Di Sini Bermulanya 3 : Sebuah Perjalanan Dengan Seribu Cerita Panjang Yang Diringkaskan
Terlalu banyak yang berlaku akhir-akhir ini. Daripada yang paling rutin hinggalah yang mendadak dan mentiba-tiba. Daripada pemergian seorang anak murid ke hadrat ilahi yang mengejuthibakan hinggalah perkara tanggungjawab yang menuntut peluh dan cungap nafas. Daripada pernikahan adik yang mengujakan hinggalah ke isu semasa yang menuntut hujah dan dalil perdebatan. Akhirnya semua akan kembali kepada yang paling basis yang menerasi perkara, muhasabah diri yang dhaif jahil dan memalingkan segala kekurangan pada diri sambil menghalakan pengharapan dan pergantungan pada pencipta. Bahawa kita ini hamba-Nya.